PAS selar Dr M kerana cetuskan ketegangan kaum


KUALA LUMPUR, 13 April — PAS menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dilihat cuba mencetuskan ketegangan kaum melalui tulisan di blognya bertajuk “Gelang Patah” dan berjanji akan melindungi semua kaum jika insiden tidak diingini seperti konfrontasi kaum itu benar-benar berlaku.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut mendesak agar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail segera mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan ke atas Dr Mahathir .
“PAS bukan sahaja sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang percubaan mencetuskan huru-hara akibat sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh Umno seperti yang terbukti dalam tulisan Dr Mahathir di dalam blognya yang bertajuk ‘Gelang Patah’,” kata Mahfuz dipetik dari portal Harakahdaily.
“Malah, kita memberikan komitmen untuk melindungi dan menjaga keselamatan semua rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina atau India jika berlaku konfrontasi kaum seperti yang cuba diilhamkan oleh Dr Mahathir di dalam blognya itu,” tegas beliau lagi.
Mafhuz turut mengatakan, jika Abdul Gani tidak mengambil tindakan kepada bekas perdana menteri itu, beliau akan dilihat bekerjasama dengan Dr Mahathir dalam mencetuskan konfrontasi kaum sekiranya ianya benar-benar berlaku.
“Bukan rahsia lagi Dr Mahathir sangat takut menghadapi pilihan raya kali ini malah beliau pernah dilaporkan berkata bahawa beliau lebih bimbangkan keselamatan anak cucunya berbanding keselamatan dirinya sendiri jika Pakatan Rakyat (PR) menang.
“Tulisannya itu jelas merupakan usaha terdesak Dr Mahathir untuk menyebarkan ketakutannya itu kepada rakyat dan mengajak rakyat berkongsi ketakutan peribadinya,” kata Mahfuz.
Dalam tulisan tersebut Dr Mahathir mengatakan kemenangan Lim Kit Siang di Gelang Patah akan menyebabkan konfrontasi kaum, serta menyatakan kerjasama ekonomi antara masyarakat Melayu dan Cina akan hancur.
“Kit Siang akan membawa konflik dan permusuhan antara kaum, untuk menimbulkan sentimen benci dikalangan orang Cina ke atas orang Melayu,” tulis Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc.
Menurut Mahfuz, PAS telah terbukti melindungi semua kaum apabila tercetusnya tragedi berdarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 apabila kerajaan negeri di bawah pimpinan Tan Sri Asri Muda melindungi kaum Cina daripada diserang.
“Sebaik sahaja tercetus percubaan untuk merebakkan rusuhan di Kuala Lumpur ke Kelantan, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tan Sri Asri Muda terus mengumpulkan pemimpin-pemimpin masyarakat berkumpul di kediaman Menteri Besar Kelantan di JKR 10.
“Beliau memberi amaran, jika berlaku kejadian menganiaya kaum Cina di mana-mana tempat di Kelantan, beliau akan pegang penghulu tempat berkenaan,” tambah Mahfuz lagi.

0 Komen pengunjong :