GEORGE
TOWN, 17 April — Bekas ahli parlimen Tasik Gelugor Datuk Seri Mohd
Shariff Omar mengumumkan malam tadi beliau akan bertanding di kerusi
tersebut walaupun Barisan Nasional (BN) telah memilih calon lain untuk
pilihan raya 5 Mei.
Shariff telah menjangkakan untuk mendapat kerusi tersebut selepas Tan
Sri Nor Mohamed Yakcop bersetuju untuk tidak bertanding walaupun menang
di situ pada Pilihan Raya 2008. Ia merupakan salah satu daripada dua
kerusi parlimen dimenangi oleh BN di Pulau Pinang dalam pilihan raya
umum tersebut.
Bekas timbalan menteri yang mempunyai ramai penyokong di Tasek
Gelugor itu mengkritik kepimpinan BN kerana memilih calon yang tidak
dimahukan oleh penduduk setempat.
“Saya akan menjadi calon mesra Pakatan Rakyat untuk kerusi ini,” kata
lelaki berusia 65 tahun itu kepada pemberita selepas perhimpunan
spontan lebih 2,000 penyokong di luar rumahnya di sini.
“Saya boleh jadi calon bebas, atau di bawah tiket DAP, saya boleh
bertanding di bawah PKR dan PAS kerana semua pemimpin mereka adalah
kawan saya,” tambah beliau beberapa jam selepas BN mengumumkan Shahbudin
Yahya akan bertanding di kerusi Tasek Gelugor.
Shariff menjangkakan mungkin berlaku perlawanan beberapa penjuru di
kerusi Tasek Gelugor dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam
kawasan tersebut.
Bekas ADUN Sungai Dua Datuk Jasmin Mohamed yang digugurkan
berkemungkinan akan mempertahankan kerusi tersebut sebagai calon bebas
oleh kerana BN telah mengemukakan calon baru Muhamad Yusoff Mohd Noor
untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut.
Apabila ditanya apakah beliau bersedia untuk
berhadapan dengan kemungkinan dibuang parti oleh kerana bertanding
sebagai calon bebas, Shariff mengatakan pimpinan parti boleh
melakukannya pada bila-bila masa.
“Jika mereka mahu membuang saya, lakukan sekarang dan jangan hanya mengugut kami,” katanya.
Shariff bertegas beliau akan bertanding sebagai calon “tidak kira apa
terjadi” sebelum memberi amaran BN akan kehilangan Tasek Gelugor yang
merupakan kubu kuat gabungan tersebut.
“Jika mereka tidak berhati-hati, mereka tidak harus menjangkakan
Tasek Gelugor sebagai kerusi selamat kerana risiko besar mereka telah
ambil di sini,” katanya.
Bekas timbalan menteri Pertanian dan Asas Tani pertama kali
bertanding di Tasek Gelugor pada 1999 apabila beliau menang dengan
majoriti 4,236 undi. Pada 2004, beliau mengalahkan calon PAS Datuk Dr
Mujahid Yusof Rawa dengan majoriti 10,183 undi.
Akan tetapi beliau memberikan kerusi tersebut kepada menteri kewangan
kedua pada ketika itu Nor Mohamed yang berjaya mempertahankan kerusi
tersebut dengan 4,547 majoriti undi, mengalahkan Ismail Salleh dari PAS.
Seorang lagi pemimpin BN, A. Mohan memberitahu sidang akhbar sebelum
ini mengenai niatnya untuk bertanding di kerusi parlimen Batu Kawan dan
meletakkan jawatan daripada Gerakan.
“BN tidak mengambil kira pengorbanan yang saya lakukan sepanjang
empat tahun untuk berkhidmat kepada rakyat akan tetapi parti dengan
jelas tidak menghargai kerja keras saya,” kata koordinator BN Batu Kawan
itu.
Dengan kecewa, Mohan mengatakan beliau telah membuat keputusan untuk
keluar parti akan tetapi tidak mempunyai niat untuk menyertai parti lain
buat masa ini.
“Saya yakin kita (BN) boleh kembali menang di kerusi Batu Kawan jika
diberikan peluang akan tetapi sekarang mereka meletakkan calon muka baru
di kawasan ini, yang mungkin tidak akan menang,” katanya.
0 Komen pengunjong :