Putrajaya,
adalah pusat pentadbiran kerajaan Malaysia, lambang kuasa kerajaan
Barisan Nasional yang memerintah Malaysia lebih setengah abad. Dengan
itu Umno yang menjadi tulang belakang BN selama ini diasosiasikan dengan
kekuasaan di Putrajaya.
Namun Putrajaya terlalu kecil jika dibandingkan dengan empayar Rom
dan Parsi di zaman klasik yang berkuasa ratusan tahun lamanya. ia lebih
kecil lagi Constantinople dibandingkan dengan empayar Rom di sebelah timur, iaitu empayar Byzantine/Constantinople Istanbul/Turki.
Dalam sejarahnya Empayar Byzantine/Constantinople
dapat ditakluki dan dibebaskan oleh seorang pemuda, berumur 21 tahun –
Sultan Muhamad atau bergelar Muhamad Al-Fateh, perwira muda yang luar
biasa, anak Sultan Murad sekitar abad ke-15.
Saya mengingat semuanya ini ketika berdiri di depan Datuk Husam Musa,
calon PAS/Pakatan Rakyat untuk parlimen Putrajaya. Lawannya, Tengku
Adnan Tengku Mansor dari BN.
Husam adalah pemimpin politik heavyweight, yang dianggap oleh
sesetengah orang sebagai ‘tokoh politik yang suka berdepan dengan
cabaran besar’ sesuai dengan sifatnya yang sangat dinamik, lincah
terbuka, suka membaca dan berstrategi.
Husam adalah produk dari kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat, justeru selama puluhan tahun beliau bukan saja belajar mengenal
tasawuur Islam seluas-luasnya, bahkan belajar kaedah kepimpinan Islam
seperti yang diserlahkan oleh Mursyidul Am PAS itu.
Oleh itu melihat watak Husam yang luar biasa itu, Tuan Guru Nik Abd
Aziz, barangkali, ‘melepaskannya’ bertanding di luar Kelantan – Parlimen
Putrajaya, suatu langkah yang disafatkan oleh beberapa kalangan sebagai
‘berani dan berisiko tinggi’ - memandangkan kawasan Parlimen Putrajaya
ini kononnya adalah sebagai ‘kubu kuat’ Umno/BN yang tidak akan
terkalahkan, justeru di sana pusat pentadbiran kerajaan di mana ada
persepsi umum mengatakan bahawa kakitangan kerajaan biasanya akan
mengundi BN atas sebab-sebab yang diketahui umum.
Husam bercita-cita untuk membawa Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi imam
solat Jumaat di Masjid Putrajaya kiranya Putrajaya dapat dikuasai
Pakatan Rakyat selepas PRU ke-13 ini. Bagaimanapun pada pendapat saya,
semangat perjuangan Tuan Guru sudahpun berada di lubuk hati penghuni
Putrajaya.
Memang pelbagai tekanan dilakukan kepada penjawat awam di Putrajaya
supaya tidak menghadiri ceramah dan program Husam yang lain, tetapi
beliau mempunyai strategi sendiri menemui pengundi yang lebih 10,000
orang itu.
Setiap ada kesempatan, beliau dan petugasnya menemui pengundi
Putrajaya di mana saja – di kantin, di kafetaria, pasar mini, hentian
teksi dan bas, orang-orang perseorangan yang bersiar-siar di tepi tasik
dan di mana saja.
Puluhan ribu orang telah menghadiri beberapa majlis ceramahnya
bersama pemimpin Pakatan yang lain di Putrajaya minggu lalu dan ini
sangat membimbangkan pihak lawannya. Bagi pemerhati politik, ini tanda
pengundi di situ, dari golongan manapun, sudah mahukan perubahan.
Saya menemui Husam di pejabatnya di Putrajaya dalam keadaan cuaca dingin dengan hujan di luar berterusan.
Beliau kelihatan tenang saja, ceria dan yakin. Beliau mengatur
strategi dengan formula mengetahui sedalam-dalamnya kekuatan dan
kelemahan musuh, membaca suasana persekitaran, bila masa bertahan dan
bila masa menyerang, di samping menyediakan secukupnya peralatan
lojistik.
Semua langkah Husam ini mengingatkan saya mengenai teori dan strategi
peperangan panglima perang termasyhur China Sun Tzu atau Sunzi di zaman
klasik China, Dinasti Zhou. Mungkin juga Husam telah membaca buku Sun
Tzu ini.
Baru-baru ini, Husam melahirkan rasa kecewa berhubung peristiwa di
mana ada AJK di sebuah surau di Putrajaya dipecat berkuatkuasa serta
merta hanya kerana membenarkan beliau mengadakan majlis suai kenal di
surau tersebut.
"Saya mohon pada semua sahabat yang baru saya kenali di Putrajaya,
penduduk Putrajaya dan seluruh rakyat negara Malaysia yang beragama
Islam supaya berdoa mohon kepada Allah supaya budaya politik sempit
begini ditamatkan pada 5 Mei ini," katanya.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan mood perubahan warga Putrajaya semakin meningkat.
Husam bercita-cita, jika Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara,
beliau akan mengesyorkan supaya dibina satu sekolah Maahad Tahfiz Sains
di Putrajaya seperti di Kelantan yang telah berjaya melahirkan tenaga
profesional dan pada masa yang sama hafiz al-Quran. Dengan kata lain,
golongan profesional dapat menguasai Al-Quran.
Husam juga turut menyatakan harapannya jika Pakatan Rakyat berkuasa
nanti, untuk mengatasi masalah perumahan di Putrajaya termasuklah
masalah harga rumah yang tinggi, bilangan rumah yang tidak cukup dan
keluasan rumah yang tidak selesa yang sangat mendesak kepada masyarakat
di sini.
Saya yakin, tokoh pemimpin seperti Husam ini juga bercita-cita untuk
menjadikan Putrajaya ini sebuah kota pentadbiran yang benar-benar
menjunjung amanah rakyat dan menjadi kota ilmu yang menyinarkan
cahayanya ke mana-mana.
Memanglah harapan kepada Husam sangat tinggi dan jika Pakatan Rakyat
berkuasa, saya kira, Husam antara orangnya, yang mampu membawa perubahan
di Putrajaya ini.
Akhirnya, saya menyimpulkan, jika Allah s.w.t. menghendakinya,
kemenangan Pakatan Rakyat akan tercapai dan Putrajaya akan dapat
dibebaskan seperti Muhamad Al-Fateh membebaskan Constantinople, walaupun Husam tidaklah semuda Muhamad Al-Fateh.
Kini Husam menunggu di gerbang Putrajaya.
0 Komen pengunjong :