LABUAN — Insiden pencerobohan di Lahat Datu dilihat tidak lebih
daripada sandiwara Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai
pewaris takhta Kesultanan Sulu dan para penaja kempen beliau.
Tindakan Jamalul dan militan setianya tidak masuk akal sedangkan
Istana Malacanang sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada
penurunan pewaris selepas Sultan Jamalul Ikram II meninggal dunia
(1884-1936).
Kumpulan militan bersenjata seramai 234 orang yang diketuai sendiri
oleh adik Jamalul yang bergelar Raja Muda Agbimuddin Kiram mendarat di
Kampung Tanduo pada 9 Februari untuk menuntut semula Sabah sebagai
sebahagian daripada Kesultanan Sulu.
Selepas Kerajaan Malaysia bertindak untuk mengusir keluar kumpulan
pengganas itu, dan selepas berpuluh-puluh anggotanya terbunuh Jamalul
yang dalam mahu menjaga air mukanya berkeras bahawa pasukan militannya
tidak akan berundur dari Lahad Datu dan mereka akan berjuang hingga ke
orang terakhir.
Sandiwara “Istana Sulu” dipanjangkan lagi oleh polemik adiknya yang
menggelarkan dirinya sebagai “Sultan Bantilan Esmail Kiram II” dan anak
perempuannya “Jacel Kiram”.
Plot sandiwara itu bertambah rumit dengan tidak kurang enam pihak
yang menuntut takhta Kesultanan Sulu yang tidak lagi diiktiraf.
MUSUH DALAM SELIMUT
Pemimpin tempatan (pembangkang) serta pesimpati dengan ‘perjuangan
Kesultanan Sulu’ juga dipercayai menyumbang kepada sandiwara ini.
Sebelum pencerobohan berlaku, ada pemimpin pembangkang Sabah yang mengakui pernah berjumpa dengan Sultan Sulu.
Bagaimanapun beliau (pemimpin pembangkang) tidak menjelaskan apakah
isu dalam perbincangan dan turut mengakui yang beliau jumpai itu
bukanlah Jamalul yang mendalangi pencerobohan itu.
Pembangkang ini selama ini cukup lantang seperti yang dilaporkan di
dada akhbar memperjuangkan hak-hak Sabah dan memastikan kuasa autonomi
ada pada Sabah.
Namun selepas insiden ini berlaku, suara beliau (pemimpin pembangkang) yang selama ini begitu sengit tidak lagi kedengaran.
ORANG SABAH SUDAH MENENTUKAN TAKDIR SABAH
Sikap degil Jamalul ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Presiden
Filipina Benigno S. Aquino yang menyatakan bahawa “anda tidak akan
berjaya” (dalam perjuangan mereka menuntut Sabah), yang dengan kedegilan
beliau itu menyaksikan 10 anggota keselamatan Malaysia dan 62 militan
terbunuh sehingga hari ini.
Kumpulan Jamalul juga tidak mengendahkan hakikat sejarah yang
penduduk Sabah telah menentukan takdir Sabah (dahulunya North Borneo)
sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Pendirian Kerajaan Filipina semasa pembentukan Persekutuan Malaysia
dapat dilihat pada akhbar ‘Philippine Daily Inquirer’ yang telah
menerbitkan ucapan terdahulu pemimpin kerajaan itu berhubung
pendiriannya terhadap Sabah.
Akhbar itu memetik laporan akhbar Manila Times pada 25 Mac, 1963,
yang memetik ucapan Senator Lorenzo Sumulong dalam ucapan ‘privilege’
berhubung tuntutan terhadap Sabah, (difailkan oleh President Diosdado
Macapagal pada 22 Jun, 1962), menyatakan adalah lebih baik menyerahkan
kepada rakyat di Sabah sama ada mereka mahu menyertai pembentukan
Malaysia atau sebaliknya.
“Apa gunanya melibatkan diri di Borneo Utara, jika selepas semua,
walaupun jika kita berjaya memperolehnya, kita komited kepada idea
membenarkan rakyat Borneo Utara menentukan apa nasib mereka akan datang?
“... tindakan yang lebih baik untuk diikuti adalah untuk kerajaan
kita memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu
apabila Rancangan Persekutuan Malaysia dikemukakan untuk pertimbangan
PBB, bahawa kita secara sukarela melepaskan apa-apa tuntutan kedaulatan
kita di mana-mana bahagian North Borneo dalam usaha mempercepatkan
perubahan status wilayahnya daripada bukan pemerintahan sendiri kepada
negeri pemerintahan sendiri atau bebas dan bahawa kita bersetuju dengan
pungutan suara di bawah naungan PBB untukmemberi rakyat Borneo Utara
peluang untuk menyatakan dengan bebas kehendak dan hasrat mereka ...”
TIDAK ARIF DENGAN SEJARAH
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti
Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Shariff AK Omang berkata pencerobohan itu
tidak akan berlaku sekiranya klausa dalam pungutan suara Suruhanjaya
Cobbold difahami oleh kumpulan militan Filipina ini.
Ketiadaan pengetahuan akan hasil pungutan suara Suruhanjaya Cobbold
antara Filipina dan North Borneo berhubung pemilikan Sabah dalam
kalangan kumpulan pengganas ini membolehkan mereka diperalatkan dan
terkorban sia-sia.
Shariff berkata rakyat dan kerajaan haruslah sentiasa bersedia dan
selaras dengan kenyataan Perdana Menteri pencerobohan ini adalah satu
panggilan “wake-up call”, untuk meningkatkan perancangan dan strategi
masa depan bagi menangani sebarang ancaman khususnya yang melibatkan
kedaulatan negara.
Berikutan pencerobohan ini, UMS mewujudkan Pusat Kajian Strategik
Sabah sebagai platform untuk memberi pandangan, nasihat dan maklumat
tentang isu dan perancangan masa depan yang melibatkan isu keselamatan,
ekonomi, sosial, sejarah, pendidikan, politik dan yang berkaitan isu
domestik negara.
“Kini kita berdepan dengan ancaman pencerobohan yang melibatkan
keselamatan, kita tidak tahu masa depan mungkin kita akan menghadapi
ancaman ekonomi dan sebagainya. Dan inilah UMS memainkan peranan dan
wujudkan pusat ini,” katanya.
Tetapi semua ini dan hakikat sejarah tidak cukup untuk meyakinkan
Jamalul dan penyokongnya yang tindakan mereka itu umpama mencari sungai
yang tiada berhulu.
0 Komen pengunjong :