PETALING JAYA : Ketua Polis Melaka, Datuk Chua Ghee Lye dikecam
kerana menyalahkan KEADILAN ekoran kecederaan dua polis ketika
menyuraikan serangan samseng Umno di Bukit Katil, Melaka malam tadi.
Setiausaha
Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, seorang
pimpinan parti dimarahi ketika beliau menghubungi Chua bagi merujuk
insiden serangan terhadap bas Jelajah Merdeka Rakyat.
Menurut Saifuddin, pemimpin berkenaan memberitahunya, Chua
menyalahkan penganjur kerana mengadakan ceramah Anwar Ibrahim di kawasan
Umno.
Beliau malah melempar kata-kata seperti ‘saya tidak hormat Anwar
Ibrahim, saya tidak hormat Ketua Pembangkang, saya tidak hormat Pakatan
Rakyat’.
“Itu adalah kenyataan politik yang sangat bias dan tidak profesional.
“Beliau tidak layak jadi Ketua Polis Melaka. Mana ada dalam Malaysia
ditandakan sebagai kawasan Umno. Kita tidak buat ceramah di markas Umno.
Beliau menuduh penyokong kita yang mengakibatkan dua polis tercedera,”
kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
Kejadian sekitar 10 malam tadi bermula apabila puluhan samseng Umno BN bertindak liar melontar bertalu-talu batu ke arah bas.
Serangan itu mengakibatkan empat cermin bas yang dinaiki Anwar pecah
dibaling batu, malah Ketua Umum KEADILAN itu juga terkena serpihan kaca.
Seorang pengawal keselamatan Anwar turut cedera di mata selepas
terkena serpihan cermin manakala seorang lelaki lain, kepalanya
berlumuran darah akibat dibaling batu.
Wartawan
Keadilan Daily, Mohd Arif Juhani yang membuat liputan siri jelajah itu turut terkena serpihan kaca di muka.
Susulan kejadian tersebut, Saifuddin akan mengutus surat untuk
bertemu Ketua Polis Negara (KPN) bagi membincangkan soal keselamatan
terutama berkaitan kempen pilihan raya.
“Kita
tengok semakin dekat pilihan raya makin banyak keganasan. Memandangkan
ini kejadian keenam, saya akan tulis surat kepada KPN untuk bincangkan
jaminan keselamatan kepada Pakatan Rakyat ketika kempen pilihan raya.
Kita bagi masa untuk dia selesaikan isu Lahad Datu dahulu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu yakin serangan berterusan akan menambah sokongan kepada KEADILAN.
“Serangan samseng seperti ini akan melonjakkan simpati dan sokongan rakyat terhadap KEADILAN.
“Rakyat seluruhnya menolak amalan budaya politik samseng dan ganas Umno BN,” katanya.
Kejadian pertama serangan terhadap bas Jelajah Merdeka Rakyat berlaku
di Kota Bharu pada 1 September 2012 apabila cermin depan retak dan
disimbah cat merah. Seterusnya pada 8 September, kejadian serangan sama
turut berlaku di Jasin Melaka.
Manakala kejadian ketiga dan keempat berlaku di Johor pada 14
September di Tangkak, ketika solat Jumaat, dan di Johor Baharu apabila
paku payung ditabur di atas jalan dan dibaling ke arah bas.
Pada 16 Disember pula, bas itu dibaling dengan objek ketika melalui
lebuh raya berdekatan kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Tapah yang
mengakibatkan cermin penumpang bahagian atas berlubang
0 Komen pengunjong :