KUALA LUMPUR:
Pimpinan Pakatan Rakyat mengesyorkan satu sidang meja bulat diadakan
antara Pakatan Rakyat dengan Kerajaan bagi membincangkan usaha menangani
ancaman pencerobohan bersenjata di Sabah.
Pada masa sama, mereka
juga mahu satu sidang khas Parlimen diadakan dengan segera, demi untuk
mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah itu.
Cadangan
tersebut dinyatakan melalui satu kenyataan media hari ini yang
ditandatangan oleh ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat iaitu Ketua
Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
"Pakatan Rakyat
juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong
pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa
moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan
rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh.
"Pakatan Rakyat menggesa
supaya isu ini tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya
kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta
tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka," kenyataan itu
dipetik.
Berikut kenyataan penuh:
Setiap pimpinan mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab
mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan anggota
pasukan keselamatan.
Kegagalan mempertahankan kedaulatan negara
dan keselamatan rakyat merupakan satu pengkhianatan serta menodai amanah
rakyat. Justeru Pakatan Rakyat berhasrat mengingatkan pimpinan negara
agar tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa
memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah
ekoran dari insiden pencerobohan sekumpulan bersenjata warga asing di
sekitar Lahad Datu serta Semporna. Setiap inci tanah Sabah dan
keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan.
Pencerobohan di Lahad
Datu telah mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala insiden
terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara. Kita
merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah serta
berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat.
Pakatan Rakyat juga
mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan
keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga
mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat
Malaysia dari ancaman penceroboh.
Pakatan Rakyat sedar keadaan
mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan kebimbangan, akan tetapi kita
menyeru agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan
terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh
menimbulkan keresahan. Pakatan Rakyat ingin menyatakan dengan jelas
keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan
keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional
sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campurtangan
politik.
Sehingga kini, kita merasa kesal dan kecewa dengan sikap
kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam
menyelesaikan masalah ini. Pimpinan negara juga gagal menyalurkan
maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan terhadap apa
yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin tersebar
luas.
Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini tidak dijadikan
arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan
kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat
dari kelemahan mereka. Sewajarnya mereka menyedari, keutamaan adalah
demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan perwira
negara yang bertungkus lumus di perbatasan.
Pakatan Rakyat
menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi
membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran
sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan
satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan
pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung
isu ini.
YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum KEADILAN
YB DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
YB LIM KIT SIANG
Penasihat DAP
0 Komen pengunjong :