SHAH ALAM:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa
buat masa ini tidak perlu timbul sebarang isu mengenai jawatan Perdana
Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU akan
datang.
“Yang penting sekarang ini ialah memberitahu rakyat mengenai
pemerintahan yang adil jika Pakatan berkuasa,” kata beliau ketika
berucap di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya PAS Negeri Selangor 2013 di sini
semalam.
Berucap di depan lebih 800 petugas pilihan raya PAS Selangor dalam
suasana yang sangat ceria, Presiden PAS itu dengan suara paling tegas
berkata, “yang penting sekarang kita hendak menang pilihan raya dulu
untuk memerintah secara adil.
“Jika menang, barulah kita fikirkan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.”
Menurutnya, masa ini tidak berbangkit lagi isu jawatan tersebut
kerana kita hendak tumpukan perhatian kepada gerak kerja pilihan raya,
memberitahu rakyat akan manifesto Pakatan Rakyat iaitu hendak memerintah
dengan adil kepada semua rakyat berbilang kaum.
Selanjutnya beliau berkata, setiap petugas PAS dan Pakatan Rakyat
perlu menumpukan perhatian untuk memberitahu kandungan manifesto Pakatan
kerana manifesto tersebut adalah dokumen Pakatan untuk memberikan
khidmat terbaik kepada rakyat dan memerintah secara adil.
Presiden PAS itu berkata lagi bahawa perjuangan PAS/Pakatan rakyat
bukan hendak merebut jawatan dan bukan kerana ketokohan seseorang
individu, tetapi untuk menegakkan keadilan dan mereka yang mengundi
Pakatan bukan mengundi individu tetapi mengundi dasar perjuangan yang
dibawa oleh Pakatan.
“Kita menerima tahaluf siyasi dengan persetujuan Malis Syura Ulama
dan Muktamar PAS, kerana itu ia adalah suatu jihad untuk melaksanakan
cita-cita perjuangan yang telah kita sepakati,” kata beliau yang juga
Ahli Parlimen Marang tegas disambut dengan takbir oleh para hadirin.
Menurutnya, sepanang sejarah PAS menyertai tahaluf siyasi sejak
dengan Semangat 46 dulu hingga kini, PAS tidak pernah rugi, malah banyak
menguntungkan Islam.
“Jika PAS banyak memenangi kerusi dalam PRU akan datang baik di
peringkat Parlimen dan Dun, maka insya Allah, PAS akan dapat
menggantikan Umno,” ujarnya.
Beliau seterusnya mengingatkan pendukung PAS, bahawa dalam perjuangan
ini “kita hendaklah melakukannya dengan sungguh-sunguh, istiqamah,
bertawakkal dan berserah kepada Allah menentukannya”.
0 Komen pengunjong :