WASATIAH yang Najib perkenalkan sekarang adalah ganti Islam Hadhari yang
sudah lenyap bersama perginya Tun Abdullah Badawi. Adakah wasatiah juga
akan menerima nasib seperti Islam Hahdari?
Kalau Najib juga mengikut jejak Abdullah Badawi, maka pelepah
wasatiah tidak boleh ketawa apa pelepah Islam Hadhari di bawahnya gugur.
Ia pun akan gugur sama.
Mahathir adalah orang yang terlalu banyak slogan retorik. Semuanya
sudah jadi pelepah bawah kecuali satu iaitu Wawasan 2020. Lepas tahun
2020 nanti ia pun mampus seperti Menteri Idris Jala pernah kata Malaysia
mungkin muflis setahun sebelum tahun 2020 jika subsidi diteruskan.
Wasatiah kini menjadi tema bermacam perkara termasuk sambutan Maulud Rasul sekarang.
Ia adalah ajaran Islam yang terbaik kerana maksud kesederhanaannya
itu adalah apa yang Allah tuntut dan apa yang Nabi SAW ajar dan
laksanakan.
Tetapi ia bukan Perdana Menteri Najib dan UMNO yang hendak
melaksanakannya kerana sejak merdeka hingga sekarang, kerajaan yang
bertulang belakangkan UMNO itu tidak tahu bersederhana dan bukan sekadar
tiris di sana sini bahkan bocor di mana-mana.
Sejak zaman Tun Razak sampailah ke masa Dr. Mahathir, semua projek
kerajaan main juta-juta hatta terhadap benda-benda yang kecil. Sejak
zaman Abdulah Badawi, ia sudah tidak main-main juta-juta lagi. Bilion
sana bilion sini.
Untuk semua masa, baik zaman juta mahu pun zaman bilion, tiadalah ia
mencerminkan kesederhanaan, bahkan berlelbihan, boros dan membazir.
Tetapi masa itu mereka tidak ada kesedaran wasatiah disebabkan tiada
Jamil Khir, Masitah Ibrahim dan Abdullah Zain.
Maka sekarang mereka telah tiapkan kesederhanaan atau wastiah itu
hingga Najib menjadikan ia termasuk dalam program transformasinya.
Agak payah UMNO yang sentiasa boros itu hendak diwasatiah justeru
boros itu sudah menjadi darah daging orang UMNO. Tetapi bukanlah
mustahil ia programkan sebagai transformasi yang Najib bawa itu.
Tetapi adakah Najib itu sendiri lahir dari generasi dan keluarga yang
sederhana? Dia tiada pengalaman susah, bahkan tidak ada kehidupan
sederana. Dia lahir, bersekolah dan besar dalam suasana serba mewah dan
dapat semua yang dia mahu. Amat payah latar belakang semua ada itu
hendak menyesuaikan diri dengan sesuatu baru baru yang dinamakan
wasatiah.
Hanya pengalaman yang terpaksa dihadapi oleh anak Saddam, anak
Mubarak dan anak Ghadafi, bukan saja mengajar mereka jadi wasatiah,
bahkan di bawah paras wasatiah.
Adakah Najib sesuah dengan kehidupan wasatiah yang dianjurkannya? Belum dan tiada kemungkinan.
Pada ketika Najib bercakap tentang kesederhanaan, isterinya menerima
hantaran cincin RM24 juta sebentuk. Ketika yang sama dia ratusan ribu
untuk majlis pertunangannya. Dari mana belanja itu datang tidak penting,
tetapi bil yang diterima tidak langsung ada wastiahnya.
Kita tidak mahu kata apa tentang untung syarakat membeli kapal
selam Perancis sejumlah setengah bilion. Orang wasatiah tidak meluluskan
untung sebesar itu. Qarun yang terkaya sepanjang sejarah manusia pun
cuak dengan untung setengah bilion itu.
Bil bulanan kediaman Perdana Menteri dan cara berbalanja isterinya
tidak langsung mencerminkan suasana wasatiah. Setiap bajet yng
dibentangnya, dan sambutan menyampaikan wang BR1M hampir sama besar
dengan jumlah BR1M setempat. Belum lagi disebut juta-juta yang dikatakan
diberi kepada MP dan ADUN Pakatan yang melompat.
Wasatiah itu bukan untuk Najib. Tetapi boleh diisi oleh Pakatan
Rakyat yang sedang menuju Putrajaya sekarang. Ia boleh menyambung dan
mengisi konsep wasatiah itu.
- Subky Latif
0 Komen pengunjong :