SHAH
ALAM, 25 FEB: Pakatan Rakyat (PR) sudah bersiap sedia menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi memacu perubahan membawa rakyat
menumbangkan kerajaan korup Barisan Nasional (BN).
Dengan pelbagai kerosakan dan salah guna kuasa dilakukan BN, tanpa
perubahan kuasa politik Malaysia dalam pilihan raya kali ini, negara
mungkin menghadapi risiko yang memudaratkan rakyat.
Dalam ucapan Ketua Jentera Pilihanraya PR pagi ini di Konvensyen
Pakatan Rakyat ke-14, wakil gabungan parti PAS, PKR dan DAP bersepakat
untuk menyelaras gerak kerja parti di setiap peringkat menghadapi
pelbagai kemungkinan kempen jahat BN.
Menurut Ketua Jentera Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli, jentera kempen
pilihan raya parti itu sudah lama digerakkan dan sedia untuk bertempur
habis-habisan.
Mengingatkan masa depan negara ditentukan oleh rakyat Malaysia,
beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mahu proses pilihan
raya akan datang ini tidak dicemari pengundi hantu dan menguatkan usaha
mengurangkan manipulasi pengundian pos.
“Kami ambil berat kerana kami sudah berkempen selama lima tahun jadi
kami tidak mahu kempen selama dua minggu berakhir dengan penipuan.
Ahli Parlimen Kuala Krai itu juga mengingatkan agar semua komponen PR
bersiap sedia walaupun PR mempunyai krisis keyakinan dengan badan
pilihan raya.
Ketua Pengarah Pilihanraya Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, pula beliau
mahu PRU-13 nanti menjadi satu tarikh bersejarah yang diingati rakyat
Malaysia.
“Hari itu adalah hari berakhirnya hayat BN dan bermulanya budaya
politik baru PR yang mengamalkan dasar kerajaan yang bersih, telus dan
beramanah.
“Untuk mencapai matlamat ini, PR bukan sahaja perlu mengalahkan BN
tetapi juga perlu menang dengan majoriti jelas. Untuk memenuhi hasrat
ini kami perlu mendekati rakyat dengan perspektif baru,” ujar beliau
yang juga Ahli Parlimen Cheras.
Justeru, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu mengingatkan kempen PR
kali ini bukan sekadar melawan BN tetapi disifatkan sebagai perjuangan
rakyat melawan BN.
“Seluruh jentera kempen pilihan raya PR perlu menjadi satu entiti di setiap peringkat,” katanya.
Ketua Jentera Pilihanraya PKR, Azmin Ali pula berkata, pilihan raya
kali ini adalah masa paling baik untuk mengangkat kerajaan baru PR di
Putrajaya.
“Hari ini kita lihat rakyat Malaysia bertambah yakin dengan PR. Rakyat dilihat meletakkan harapan yang tinggi untuk bersama PR.
“Lihat saja PRU 2008, kita dapat saksikan bagaimana orang Cina dan
India secara terang mengibarkan panji-panji PAS. Belum pernah sebelum
ini anak muda Melayu di bandar dan di desa berani mengibarkan bendera
DAP,” ujar beliau yang juga Timbalan Presiden PKR.
Senada dengan pimpinan lain, Azmin mengakui PRU-13 merupakan
pertempuran di antara elit penguasa dan rakyat justeru beliau turut
mengingatkan agar PR tidak melakukan kesilapan.
Konvensyen Pakatan Rakyat ke-14 adalah konvensyen bersejarah di mana
manifesto pilihan raya bertemakan Pakatan Harapan Rakyat dilancarkan
mendahului manifesto BN.
-Roketkini.com
0 Komen pengunjong :