KUALA LUMPUR:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang penuh yakin, konsep
pakatan yang dilaksanakan dalam Pakatan Rakyat akan memberikan hasil
yang terbaik untuk rakyat dan negara ini.
Ini kerana, kata
beliau, konsep yang diterima oleh Pakatan adalah "mengambil pendekatan
menyatukan perkara yang ada persamaan dan meraikan perkara yang berbeza.
"Memang
kita ada perbezaan tetapi dengan pakatan kita akan dapat capai yang
terbaik," kata beliau dalam wawancara khas dengan Harakahdaily hari ini.
Beliau
mengulas pendapat yang mengatakan Pakatan sukar untuk memerintah negara
akibat dari perbezaan yang ada dalam Pakatan Rakyat.
Bagi
beliau, sekiranya Pakatan tidak boleh bersama, sudah lama berkecai
Pakatan Rakyat ini tetapi sampai kini masih boleh bersama.
"Kita
masih dapat bermesyuarat bersama, berhimpun bersama, dapat anjur
Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka secara bersama dan
pelbagai lagi.
"Apa yang berlaku adalah berbeza pendapat. Ya
memang ada perbezaan pendapat, tetapi kita memilih titik-titik pertemuan
yang boleh menyatukan.
"Kita menerima konsep pilihan raya yang
adil, yang telus, pilihanraya yang sebenarnya, menentang kezaliman,
keadilan untuk semua. Ini konsep yang diterima oleh semua pihak," jelas
beliau.
Beliau
mengakui memanglah halal dan haram berbeza antara Islam dan bukan Islam
"tetapi Islam membenarkan kita berniaga dengan bukan Islam, membenarkan
kita bermuamalah dengan bukan Islam. Ini semua diajar oleh Islam."
Menurut beliau, Pakatan mengambil pendekatan menyatukan perkara yang ada persamaan dan meraikan perkara yang berbeza.
"Dengan
sebab itu kita namakan Pakatan bukan Barisan. Pakatan ini bermakna kita
berpakat dalam perkara yang sama. Dalam perkara yang berbeza
masing-masing berpakat juga," katanya.
Bagi beliau, konsep ini wujud sejak zaman Nabi Muhamad saw lagi apabila menyatu Islam dan bukan Islam di bawah negara Madinah.
"Semua diizinkan bebas dengan syarat tidak menimbulkan huru hara. Apa yang penting tidak menimbulkan huru hara," katanya.
Bagi beliau perbezaan pendapat dan perbalahan ada di mana-mana.
"Dalam satu keluarga pun ada tetapi jangan bercerai. Inilah pendekatan yang kita ambil dalam Pakatan," katanya.
Menurutnya, dalam melaksanakan semua ini, ada flexible dan ada juga konsisten.
Dalam pelaksanaan sebuah kerajaan jika Pakatan memerintah juga satu perkara yang mudah, tegasnya.
"Ini perkara mudah. Kita apa sistem federalisme. Ada kuasa negeri ada kuasa pusat.
"DAP
misalnya boleh melaksanakan dasarnya di negeri Pulau Pinang yang dia
perintah. Dalam masa yang sama kerajaan negeri memberikan hak kepada
orang Islam dalam bidang agama kita.
"Kita
(PAS) pula boleh menunjukkan konsep Islam di Kelantan yang kita
perintah. Dalam masa yang sama orang bukan Islam tidak tertindas di
Kelantan," katanya.
Di peringkat pusat pula, katanya, pelaksanaan dibuat secara pakatan.
"Dalam
masa yang sama, kita ada kerajaan pusat yang boleh menyelaraskan
perkara-perkara yang umum. Saya yakin ia sangat mudah," katanya.
Bagi beliau, ia tidak berlaku semasa BN kerana tidak menangani hal ini dengan baik dan berlaku kecelaruan.
"Negeri-negeri
yang kaya seperti Sabah, Sarawak, Terengganu paling miskin rakyatnya,
paling ketinggalan infrastruktornya daripada negeri-negeri lain.
"Negeri
pantai barat lebih maju dari negeri pantai timur. Negeri Malaysia Timur
lebih teruk, ini warisan British dan Umno dan BN tidak boleh selesaikan
warisan Bristih ini dalam kadar yang sepatutnya selepas 50 tahun kita
mencapai kemerdekaan," jelas beliau lagi.
0 Komen pengunjong :