SHAH ALAM, 25 Feb — Pelancaran manifesto Pakatan rakyat (PR) di
Pusat Konvensyen Shah Alam (SAAC) di sini menyaksikan pemimpin PR
menggesa rakyat terus menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya
akan datang, dan menegaskan PR akan menentang BN di semua 797 kerusi
Dewan undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dengan kaedah “satu lawan
satu”.
“Kita telah menyediakan ramuan-ramuan untuk kemenangan pilihan raya
... kita sudah menyelesaikan pembentukan jentera pilihan raya parti
masing-masing,” kata Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli dalam
ucapannya semasa membentangkan manifesto di hadapan 1,500 perwakilan di
sini.
“Daripada 798 kerusi DUN dan Parlimen, kita telah selesaikan
semuanya, hanya sebilangan kecil lagi untuk diselesaikan ... Insyaallah,
kita akan masuk PRU kali ini dengan keadaan kita satu lawan satu,”
tegasnya.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Azmin Ali menegaskan,
rakyat seharusnya bersedia menolak BN kerana PRU 13 jelasnya adalah
antara 'rakyat” dan “elit penguasa yang korup”. “Kita perlu siap siaga
untuk mara ke medan tempur sebagai satu saf yang rapi serta tersusun
sebaik sahaja semboyan perang dibunyikan.
“Pertempuran kali ini adalah di antara rakyat dan elit penguasa korup
... antara yang mempertahankan hak dan yang melindungi kebatilan,”
katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.
“Ini kalilah,” tegasnya lagi.
Ahli Parlimen Gombak itu juga turut memuji ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “pusat graviti”.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah 'the centre of gravity' ...
pengalaman beliau mentadbir serta hubungan baik beliau di peringkat
antarabangsa dengan pimpinan negara mahupun pimpinan gerakan Islam
seluruh dunia menjadi ketakutan rejim korup UMNO-BN.”
0 Komen pengunjong :