SHAH ALAM 25 FEB: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengingatkan Pakatan Rakyat supaya sedia menjawab serangan, kerana ujian
terbesar pilihan raya kali ini adalah permuafakatan Pakatan yang
membuatkan Umno BN iri hati dan tidak senang duduk.
Anwar berkata, serangan Umno BN melibatkan isu teras politik negara terutama untuk mengkucar kacirkan orang Melayu.
“Jentera Pakatan Rakyat wajib bersedia dan menjawab dengan tegas tohmah yang dilemparkan media Umno BN tanpa rasa takut.
“Jangan minta maaf dan bersikap defensif. Kerana yang merompak,
mengambil saham, kontrak sehingga permit teksi dan wang lembu ialah
pimpinan Umno yang khianat amanah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama
Konvensyen Pakatan Rakyat di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.
Berucap di depan hampir 2000 perwakilan, Anwar berkata, serangan Umno
BN kini ditujukan terhadap PAS dan pimpinan Melayu dari KEADILAN.
“Pemimpin Melayu Pakatan Rakyat bertanggunggjawab mengembalikan
maruah. Dengan ini majoriti Melayu yang mendapat manfaat,” katanya.
“Kita terima kepelbagaian dan ini ujian terbesar. Maka, kena pastikan
kita bersama dengan setiap calon, menyerang Umno BN dan kalahkan mereka
kali ini,” sambungnya.
“Muafakat
kita berbeza dari muafakat biasa. Bukan hanya untuk merebut kuasa, tapi
keikhlasan yang diterjemahkan dengan janji dan amanah,” kata Anwar
lagi.
Selanjutnya, beliau berkata, keangkuhan kuasa Umno BN melalui
pemunggahan kekayaan oleh segolongan kecil elit pemerintah dijawab
dengan Manifesto ‘Pakatan Harapan Rakyat’.
“Ini adalah asas pertembungan dua sistem yang berbeza,” katanya.
Mengulas kesepakatan Pakatan Rakyat pasca PRU ke-12, Anwar berkata,
hubungan antara parti semakin kukuh, terutama melihat kepada usaha yang
dilakukan pemimpin muda ketiga-tiga parti komponen.
Beliau turut memetik kata-kata ahli falsafah Ireland, Edmund Burke –
‘The arrogance of age must submit to be taught by youth’ – pimpinan muda
Pakatan Rakyat cekap mengatur dasar dan pandangan penting seperti yang
terangkum dalam manifesto Pakatan Harapan Rakyat.
“Syabas kepada hasil kerja sungguh-sungguh Sekretariat Pakatan Rakyat
dan pimpinan muda jauh lebih luar biasa melakar perubahan,” katanya.
“Berbeza dengan harapan BN kepada generasi muda, mereka diberi
pesta-pestaan…Kita dalam Pakatan Rakyat pula dapat mencungkil bakat muda
dan terpuji apabila berjaya mengemukakan isu pokok dalam manifesto hari
ini,” katanya.
“Yang berlaku dalam senario sekarang ialah kebangkitan rakyat. Kita harus sedar rakyat yang bangkit menuntut perubahan.
“Manakala Pakatan Rakyat hanya pemangkin kebangkitan, bukan
(semata-mata) menjadi penentu. Hilangkan keangkuhan, jangan kita fikir
kita sangat penting,” pesan Anwar.
0 Komen pengunjong :