Baru-baru
ini Mufti Perak mengeluarkan kenyataan tentang isu penggunaaan kalimah
Allah oleh orang bukan Islam khususnya penganut Kristian.
Kenyataannya dilaporkan di Mingguan Malaysia di bawah tajuk "Jangan terus cabar, hina Islam" (Mingguan Malaysia 27/1/2013).
Antara
lain beliau menyatakan jika Islam terus dicabar termasuk isu penggunaan
nama Allah dibimbangi boleh membawa pertumpahan darah kerana menurut
beliau umat Islam wajib berjihad mempertahankan kesucian Islam dan
kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam yang tidak
mentauhidkan Allah.
Beliau berkata "kalau diberikan kalimah Allah
digunakan oleh bukan Islam, kalimah Allah akan digantung di gereja dan
diletakkan pada salib yang ada patung Nabi Isa di situ, seolah-olah Nabi
Isa itu Allah. Maka itu tidak boleh dibenarkan kerana menghina akidah
Islam."
Beliau juga menegaskan umat Islam sama sekali tidak
boleh benarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam kerana ia sama
seperti mereka bersetuju dengan perbuatan menyekutukan Allah dan
persetujuan itu juga menjadikan mereka kafir.
Pembaca dapat
melihat betapa kerasnya kenyataan Mufti Perak tersebut. Tidak pula kita
dengar dan lihat kenyataan keras seperti itu dikeluarkan oleh Mufti
Perak ke atas kenyataan ramai pemimpin Umno sebelum ini yang menghina
Islam seperti kenyataan Nabi Muhammad s.a.w tidak bercukur kerana tiada
pisau cukur, jika laksana hudud ramai akan kudung tangan, bertafakur di
Tugu Negara, membuang nama Islam dari parti politik dan kenyataan atau
tindakan seumpama itu.
Saya tidak berniat untuk berdebat dengan
Mufti Perak kerana siapalah saya dibandingkan dengan orang berilmu
sepertinya. Bagaimanpun saya rasa tidak salah untuk saya bertanya
meminta penjelasan atas pendapatnya yang keras itu.
Apabila ada
umat Islam yang berpandapat bahawa tidak salah orang bukan Islam
menggunakan kalimah Allah tidakkah pendapat itu sendiri diasaskan atas
tindakan Rasulullah s.a.w.?
Mufti Perak, saya percaya arif
tentang seerah Rasulullah s.a.w. Saya ingin berkongsi dua buku mengenai
seerah, satu dalam bahasa Arab dan satu lagi dalam bahasa Inggeris.
Dalam
buku "qiraatun siyasiyatun li seeratin nabawiyyatin" (pembacaan politik
di dalam seerah kenabian) karangan Dr Muhammad Rawwas Qal'aji terbitan
Dar An Nafaes, Beirut dan buku "Muhammad his life based on the earliest
sources" oleh Almarhum Dr Martin Lings (Abu Bakar Siraj al-Din)
kedua-duanya menceritakan kisah sulh al-Hudaibiyyah.
Kedua-dua
buku itu menceritakan bagaimana apabila Suhayl Al Amru, wakil Quraysh
Mekah yang datang bersama sama Mikraz dan Huwwytib untuk berunding
dengan Rasulullah s.a.w, Rasulullah s.a.w. menyuruh Syaidina Ali r.a
menulis muqadimmah perjanjian damai itu dengan kalimah "Dengan nama
Allah yang Maha Pemurah Dan Maha Pengasih". Suhayl menentang penggunaan
kalimah tersebut dengan berhujah bahawa dia tidak tahu kalimah itu dan
beliau meminta ditulis kalimah "Bismik Allahumma" (Dengan namaMu Wahai
Allah).
Meskipun para sahabat mahu kalimah "Bismillahi al Rahman
al Rahim" digunakan namun Rasulullah s.a.w menunjukkan toleransi
(tasamuh) Islam dengan membenarkan kalimah " Bismik Allahumma" digunakan
oleh orang kafir.
Bukankah kisah tersebut menunjukkan pertamanya
penggunaan nama Allah adalah satu perkara rutin oleh orang-orang Arab
termasuk yang kafir.
Keduanya meskipun nama Allah yang orang
kafir Arab gunakan adalah berbeza dengan pemahaman orang Islam tentang
kalimah suci tersebut, kenapakah Rasulullah s.a.w tidak melarang malah
benarkan pula mereka menggunakan kalimah Allah.
Pernahkan dalam
mana-mana masa dalam fasa da'wah Rasulullah s.a.w, Baginda menyeru jihad
untuk memerangi Arab yang kafir kerana menggunakan nama Allah?
Jika
Rasulullah membenarkan Suhayl yang kafir itu menggunakan nama Allah
bagaimanakah Mufti Perak mengatakan umat Islam yang membenarkan orang
bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah dikira menyekutukan Allah.
Bagaimanakah mengikut teladan Rasulullah dikira menyekutukan Allah..?
Tentang
kenyataan Mufti bahawa orang kafir seperti Kristian tidak boleh guna
nama Allah kerana kalimah Allah adalah suci dan yang demikian ia tidak
boleh digunakan oleh mereka yang menyekutukan Allah.
Persoalannya
sejak bila pula orang kafir tidak menyekutukan Allah? Jika mereka
menyekutukan Allah, apa bezanya mereka guna nama Allah atau tidak?
Bukankah
kerana mereka salah memahami bahawa Allah itu tiga dan bukan Esa, maka
kita kena sampaikan mereka tentang siapakah Allah yang sebenar.
Bukankah
surah al Ikhlas dimulakan dengan kalimah "qul" (Katakan atau ceramahkan
atau beritahu) bahawa Allah itu Esa. Mengapa perlu adanya kalimah "qul "
jika sejak awal Kristian beriman dengan Allah itu Esa.
Perlukah diberitahu kepada orang yang beriman Allah itu Esa bahawa Allah itu Esa?
Apabila
Nabi Sulaiman a.s menulis surat kepada Ratu Balqis yang menyembah
matahari ketika itu kalimah "Bismillahi al Rahman al Rahim" digunakan.
Bukankah dengan menghantar surat yang mengandungi nama Allah kepada
Balqis, Nabi Sulaiman hakiktnya menyuruh Balqis membaca/menggunakan nama
Allah? Bukankah Balqis kafir ketika itu jadi kenapakah dibenarkan
beliau membaca /menggunakan kalimah Allah?
Bukankah penganut
Kristian percaya Isa anak Allah dan kepercayaan itu tidak sama dengan
kepercayaan orang Islam. Kalau digunakan logik Mufti maka kita juga
seharusnya halang penganut Kristian guna kalimah Nabi Isa kerana apa
yang mereka percaya tidak sama dengan kita?
Bukankah apabila di
dalam Al Quran Allah menyatakan bahawa orang Nasrani menyatakan Nabi
Isa adalah anak Allah, Allah menyatakan itu adalah kata kata yang keluar
dari mulut mereka. Mulut adalah terjemah kata hati.
Mengapa Allah tidak kata lancarlah jihad dan bakar bible mereka kerana mereka kata Isa anak Allah !!
Tentang
dakwaan Mufti Perak jika dibenarkan guna kalimah Allah maka Kristian
akan gantung kalimah Allah di gereja atau digantung pada patung Nabi
Isa, isunya adakah perkara itu telah berlaku? Jika tidak, mengapa harus
kita membuat spekulasi?
Bukankah di zaman Rasulullah jika ada
sahabat bertanya soalan spekulasi Rasulullah akan bertanya adakah
perkara itu telah berlaku?
Kerana sayangkan umatnya Rasululah
larang soalan spekulasi kerana jika ditanya soalan tersebut masa wahyu
diturunkkan bukankah ia akan membebankan kita semua?
Wajarkah
menghukum orang Kristian atas dasar spekulasi.? Jika perkara itu dah
berlaku, bukankah Negara ini ada undang undang? Mengapa perlu nak
menumpakan darah?
Mengapakah kita tidak pandang kawan kawan kita
di kalangan Kristian dengan kacamata kasih sayang, sesuai Islam adalah
agama Rahmah. Bukankah samahah (toleransi) adalah sifat agama ini?
bagi yang mencari kebenaran, jangankan peristiwa perjanjian hudaibiah yang panjang itu, sekilas saja contoh dari RasulUllah saw cukup untuk jadi tauladan dan ikutan...tapi haji harus satni tak dapat menjadikan nya iktibar
ReplyDelete