TAPAH 30 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wasatiyyah Najib
Razak gagal menepati konsep sebenar kerana membiarkan rakyat hidup
menderita ketika pemimpin Umno BN rakus membolot khazanah negara.
“Wasatiyyah bukan naikkan harga gula dengan alasan atasi penyakit
kencing manis atau biar tauke balak bolot kekayaan angkut keluar hasil
hutan tapi rakyat dinasihat hidup sederhana.
“Bukan
wasatiyyah apabila anak Raja Nong Chik (Zainal Abidin) dapat kontrak
RM40 juta, anak Shahrizat Jalil gaji sebulan RM30,000, anak Jamaluddin
Jarjis kontrak RM100 juta, anak Mahathir (Mohamad), Mokhzani kawal
minyak melalui Kenchana Petroleum dan Mirzan pula kuasai syarikat arak
terbesar San Miguel yang dibeli RM2.9 bilion.
“Tetapi wasatiyyah adalah usaha pertahankan prinsip kebenaran dan
keadilan melalui iman, ilmu dan akhlak seperti yang terkandung dalam
Al-Quran,” jelas Ketua Umum KEADILAN depan lebih 5,000 rakyat pada
Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Perak, Temoh Stesen, di sini,
malam tadi.
Anwar berkata, Rasulullah diutus Allah sebagai rahmat untuk redakan
ketegangan sesama manusia, bukan untuk bergaduh, mengugut atau mengancam
penganut agama lain sehingga bertindak membakar Bible seperti dilakukan
Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
“Punca kemuliaan Nabi Muhammad bukan dari pangkat kekuasaan,
keturunan sebagai bangsa Quraisy atau rupa paras tetapi mulianya Baginda
kerana akhlak.
“Pada peribadi Baginda ada contoh terbaik dan itulah yang wajib diamalkan dalam politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menempelak AES (Sistem Penguatkuasaan
Automatik) yang bebankan hidup rakyat dan gagal atasi masalah sebenar
jalan raya.
“Sepatutnya gaji pegawai berkuasa yang berpenat lelah jaga lalu
lintas dinaikkan, bukan buat projek penguatkuasa dan beri kepada kroni.
“Sekarang 400,000 saman dikeluarkan dan kerajaan beri BR1M (Bantuan
Rakyat 1Malaysia) untuk bayar saman RM300. Sebab itu kita tekad, Pakatan
Rakyat tawan Putrajaya, AES kita batalkan,” ujarnya.
Beliau pertikai kegagalan pemimpin Umno memberi kelebihan kepada
rakyat melalui gaji minima, pendidikan percuma dan menawarkan harga
minyak rendah dengan alasan negara akan bankrap.
“Malaysia memiliki khazanah yang banyak untuk ringankan beban rakyat
dengan hasil minyak sahaja RM80 ribu juta, hasil kelapa sawit cecah RM80
ribu juta setahun dan ini cukup untuk beri pendidikan percuma.
“Ini maksud sebenar merdeka bila semua hak rakyat dapat dipulangkan untuk kehidupan lebih terjamin,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi KEADILAN Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty; Ahli
Majlis Pimpinan KEADILAN, Mustafa Kamil Ayub; Adun Pasir Panjang, Datuk
Seri Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye; Adun
Hutan Melintang, S Kesavan; Adun Sungkai, A Sivanesan dan Adun Keranji,
Chen Fook Chye.
Terdahulu, Anwar solat maghrib di Asrama Anak Yatim Nurul Ikhsan,
Kampung Talang Tengah, Sungai Siput disusuli ceramah di Taman Chandan
Puteri, Bukit Chandan.
0 Komen pengunjong :