MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang mempertahankan petikan dari ucapannya yang dinamakan ‘Amanat’
oleh pihak tertentu dan akhirnya diterima juga oleh orang Umno.
Dalilnya,
kata Ustaz Abdul Hadi, di kalangan pemimpin dan menteri Umno kini tidak
lagi menghina hukum Islam serta menerima politik dalam Islam.
“Alhamdulillah,
orang Umno terima (amanat) dan dalilnya mereka tidak lagi menghina
hukum Islam. Itu respon saya, cuma jangan degillah tak mengaku salah.
Tahun 60-an, 70-an (waktu) itu masih ramai yang hina hukum Islam.
“Sekarang
ini tidak ada lagi di kalangan orang Umno yang mengatakan ‘politik
suku, agama suku’…dah tak ada lagi kata macam itu. Mereka pun sudah
terima dan percaya politik ada dalam Islam..cukuplah dulu, respon
(tindak balas) ada," katanya.
Beliau berkata demikian selepas
majlis Pelancaran Buku Amanat Haji Haji- Antara Fitnah & Fakta di
Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Justeru, katanya isu amanat
tersebut sengaja ditimbulkan kembali Umno dan Barisan Nasional (BN)
apabila hampir dengan pilihan raya.
“Kita (umat Islam) kena sedar
ramai yang tak tahu dengan mengatakan politik tidak ada dalam Islam,
(termasuk) hukum jenayahnya…(ini) kerana mereka tak bacalah.
“Akhirnya,
berlaku suatu perubahan dan tidak ada lagi termasuk pemimpin-pemimpin
(Umno), menteri-menteri pun tak ada yang bercakap (politik suku, agama
suku) lagi. Itu suatu respon positiflah, kenapa pula perlu saya hendak
tarik (amanat),” tegasnya.
Menurutnya lagi, pihak Jabatan
Perdana Menteri sendiri pernah mengeluarkan sebuah buku ‘Mustika Hadis’
yang dianggap lebih ‘keras’ mengenai iman dan Islam.
“Ini kerana,
hendak ‘main-main’ pilihan raya saja dan setiap kali menjelang pilihan
raya buat keluar isu (amanat) itu…apa ini, tidak baiklah begitu.
“Sebenarnya,
bukan saya sahaja yang tulis buku ini. Jabatan Perdana Menteri pun
tulis dan allahyarham Tun Razak yang beri kata pendahuluan. Masa itu PAS
dalam Barisan Nasional dan Tun Razak jadi Perdana Menteri keluar sebuah
buku ‘mustika hadis’.
“Dalam buku itu menjelaskan perkara yang
merosakkan iman dan Islam pada jilid yang pertama. Tapi mereka tak baca
buku (mustika hadis) itu. Bahkan, buku itu lebih keras tapi saya
‘perlembutkan’ lagi. Sebab buku itu tidak bezakan antara (orang) yang
jahil dengan (orang) yang tahu tetapi saya bezakan,” jelasnya kepada
pihak media.
Kalimah Allah
Beliau yang juga mantan
Menteri Besar Terengganu menyelar sikap kerajaan Umno-BN yang
mempolitikkan isu kalimah Allah hingga berlaku kecelaruan pemikiran
rakyat.
Katanya, pihak Umno sengaja mempolemik isu kalimah Allah dan cuba melemparkan kesalahan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Menurutnya,
isu kalimah Allah itu diketengahkan bagi memancing undi orang Melayu
yang masih ramai disifatkan sebagai ‘buta huruf’.
“Sama dengan
isu kalimah Allah, setiap kali menjelang pilihan raya keluar (isu)…apa
ini, tidak betul, salah. Pada hal tanggungjawab membenarkan cetak Bible
itu, Umno (kerajaan). Dia kerajaan, di bawah Kementerian Dalam Negeri
(KDN) dan dia yang kawal semua.
“Ini (sekarang) hendak ‘lempar’
(kesalahan) kepada kita. Jika kita yang memerintah lainlah, ini dia (BN)
yang memerintah tapi dicampak ‘benda’ (isu ) itu kepada kita.
“(Umno)
hendak main politik dengan kalimah Allah, bukan boleh begitu. Kita
(PAS) bertanggungjawab dengan kalimah Allah ini bukan main-main politik.
Kita orang Islam jangan rosakkan Islam,” ujarnya ketika menjelaskan isu
penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam termasuk dalam Bible versi
Melayu.
Pada masa sama, Ustaz Hadi, mengingatkan semua kerajaan
yang ada atas dunia hari ini tidak kekal selamanya berkuasa yang akan
berakhir ditolak oleh rakyat jika berlaku kezaliman.
Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
0 Komen pengunjong :