PR mahu bangkit melalui undi PRU-13, bukan tiru kebangkitan Arab


KUALA LUMPUR : DAP dan parti lain dalam Pakatan Rakyat tidak berhasrat meniru Kebangkitan Arab untuk menumbangkan kerajaan yang ada sebaliknya mahukan Kebangkitan Malaysia menerusi pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) secara aman dan demokratik.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak boleh dipakai kerana bekas Perdana Menteri itu masih membuat tuduhan liar bahawa KL112 bertujuan meniru Kebangkitan Arab untuk menumbangkan kerajaan BN yang dipilih rakyat.
Beliau yang menyifat Tun Mahathir sebagai manusia berkuasa tanpa jawatan di dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri mendakwa KL112 “meniru” apa yang berlaku di beberapa negara Arab untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada kerana rasa tidak memenangi pilihan raya.
“Mahathir juga mengatakan perkara sama mengenai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 apabila mendakwa perhimpunan itu untuk “kebangkitan” menumbangkan kerajaan kerana tahu melalui pilihan raya, rakyat tidak akan memberi mereka kuasa membentuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 86 hari ke PRU-13.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, bukan saja Mahathir, malah pemimpin UMNO/BN lain turut mengutuk perhimpunan Bersih 3.0, termasuk Najib yang mendakwa “duduk bantah” Bersih 3.0 di Dataran Merdeka sebagai percubaan kudeta oposisi untuk menumbang kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula mendakwa “terdapat pihak yang mahu kecederaan serius dan kematian”, sokongan membuta tuli tiga bekas Ketua Polis Negara terhadap tuduhan kudeta Najib dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen bahawa garam dan botol air mineral boleh menjadi senjata pemusnah untuk menjatuhkan kerajaan Najib.
Semalam pula, Najib mendakwa peralihan kuasa secara aman akibat daripada pilihan raya yang demokratik ialah “tradisi kita”, dan ia dapat dilihat melalui keputusan 12 pilihan raya umum sejak kemerdekaan.
“Setelah berulangkali mencabar Najib mengisytiharkan secara terbuka sejak empat tahun lalu supaya beliau dan UMNO/BN memastikan peralihan kuasa secara aman Putrajaya kepada Pakatan Rakyat sekiranya itu keputusan pengundi pada PRU-13 nanti, tetapi jawapan Najib tidak memuaskan,” katanya.
Beliau berkata, Najib jelas kelihatan tertekan dengan kejayaan dan keamanan KL112 sehingga sanggup menumpang nama di atas kejayaan perhimpunan mega Pakatan Rakyat itu.
“Najib mengisytiharkan kejayaan KL112 secara terbuka selepas berbincang dengan strategisnya sepanjang Ahad untuk mengira kesan politik kepada UMNO/BN terutamanya pada PRU-13 apabila mendakwa kejayaan itu adalah hasil reformasi politik dan kerajaan yang dilakukan sejak menjadi Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, Najib mengelak mengulas mengapa perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 yang juga diadakan ketika dia menjadi Perdana Menteri menjadi tragedi polis dan kerajaan BN, sedangkan KL112 terbukti rakyat Malaysia cintakan keamanan yang mahu hak untuk berhimpun dan meluahkan perasaan secara bebas. Perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 juga boleh menjadi model perhimpunan aman antarabangsa jika tidak kerana kesombongan dan tekanan daripada polis dan kerajaan,” katanya.
Menurutnya, sekurang-kurangnya Najib melalui “transformasi” tidak membuat tuduhan liar dan tidak berasas mengenai KL112, walaupun ucapan terima kasihnya kepada Pakatan Rakyat kerana memastikan keamanan KL112 masih belum disambut semua gerombolan UMNO/BN.
Berikutan itu, Kit Siang berkata, PR tidak perlu menaikkan nama sendiri dan menjatuhkan orang lain bersama BN kerana KL112 tanpa ragu lagi adalah peransang semangat untuk UBAH pada PRU-13 yang semakin hampir dan PR cuma perlu bergerak terus.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dipertikai kerana memberi kenyataan berat sebelah apabila menyalahkan kekacauan Bersih 3.0 kerana penganjur menolak tawaran kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium.
“Apa yang akan terjadi pada PRU-13 adalah senario berbeza berbanding 12 pilihan raya umum lalu kerana ia akan menentukan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang akan membentuk Kerajaan persekutuan dan sama ada Najib atau Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri baru selepas PRU-13.
Pemimpin UMNO/BN dan media perdana, baik bercetak, elektronik atau atas talian, menghabiskan masa, tenaga dan duit yang banyak mendakwa KL112 adalah gagal, sama ada dari segi kehadiran atau kesannya.
Najib dan leftenan UMNO/BN perlu membelanjakan jutaan ringgit dana awam untuk membayar kehadiran dan menarik orang ramai ke acara mereka, tetapi KL112 yang dihadiri lebih 100,000 rakyat Malaysia daripada berbilang kaum dan agama hadir dengan kehendak dan belanja sendiri malahan menyumbang RM262,000 untuk melunaskan perbelanjaan KL112 dan menganjak agenda UBAH untuk PRU-13.

– Roketkini.com

0 Komen pengunjong :