Apabila klip video “
listen, listen, listen!”
seorang pendokong 1Malaysia Sharifah Zohra Jabeen memandang rendah
pelajar tahun dua undang-undang Bawani KS tersebar luas, ia
mencerminkan mencerminkan dua kegagalan dasar Datuk Seri Najib Razak
sepanjang empat tahun menjadi perdana menteri.
Pertama, kegagalan program “transformasinya”, sama ada kerajaan,
ekonomi, politik, pendidikan atau sosial yang semuanya bersandarkan
prinsip ”era kerajaan tahu semua telah berlalu”.
Kedua, kegagalan dasar 1Malaysia untuk mewujudkan negara yang mana
rakyatnya melihat diri mereka rakyat Malaysia dahulu kemudian barulah
kaum, agama, tempat atau latar belakang ekonomi.
Sekiranya pelbagai program transformasi Najib berharap untuk berjaya,
ia haruslah bersandarkan komunikasi dan dialog dua hala antara
pemerintah dengan yang diperintah dan bukannya “
listen, listen, listen!” secara satu hala dipaksakan ke atas yang diperintah oleh pemerintah.
Kes Azrul dan Bank Islam
Adakah Najib dan kerajaan UMNO-BN bersedia untuk “
listen, listen, listen”?
Jelas sekali tidak. Jika benar bersedia untuk mendengar pastinya
Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin pasti tidak akan
digantung kerja berikutan laporan media berkenaan pembentangannya di
Regional Outlook Forum Singapura Khamis lepas yang meramalkan kemenangan
tipis Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ke-13.
Sebenarnya, media melaporkan hanya SATU daripada TIGA senario yang
dikemukakan oleh Azrul tentang PRU13 berdasarkan kajiannya, iaitu:
* Senario “kemungkinan besar” – Kemenangan yang tipis untuk PR (115
hingga 125 kerusi Parlimen), PR memenangi lapan negeri, iaitu: Kedah,
Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu and
Perlis;
* Senario “kemungkinan sederhana” – Kemenangan yang tipis untuk BN
(112 hingga 122 kerusi Parlimen), PR memenangi enam negeri, iaitu:
Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan; dan
* Senario “kemungkinan kecil” – Kemenangan besar PR (130 hingga 140
kerusi Parlimen),PR memenangi sembilan kerajaan negeri, iaitu: Kedah,
Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu,
Perlis dan Pahang; BN secara tipis mengekalkan Johor dan Melaka.
Azrul serta merta digantung daripada Bank Islam apabila media
melaporkan senario “kemungkinan besar” bahawa Barisan Nasional akan
kalah PRU13 memandangkan BN hanya dapat mempertahankan hanya 97 hingga
107 kerusi Parlimen, tanpa menyatakan ramalannya untuk pilihan raya
negeri – bahawa BN akan gagal untuk mendapatkan semula Kedah, Pulau
Pinang, Selangor dan Kelantan dan akan kalah di empat negeri lain
seperti Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis sementara
“mengekalkan Pahang dan Johor dengan tipis”.
Adakah Azrul akan dipecat serta-merta oleh Bank Islam sekiranya media
telah melaporkan senario “kemungkinan kecil” BN mengalami kekalahan
teruk dalam mempertahankan hanya 82-92 kerusi Parlimen sementara kalah
sembilan kerajaan negeri, “mengekalkan dengan tipis Johor dan Melaka”?
Atau adakah Azrul akan dinaikkan pangkat sekiranya beliau telah
meramalkan di forum Singapura itu seperti mana kata Menteri Besar,
Perdana Menteri dan sesetangah pemimpin UMNO-BN bahawa dalam PRU13, BN
akan mendapat semula dua pertiga majoriti Parlimen dan memenangi semua
lima kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak?
Menteri Besar Johor sependapat dengan Azrul?
Azrul membuat ramalan PRU13 beliau di forum Singapura Khamis lalu.
Sejak itu, ramalannya bahawa PRU13 berkemungkinan memihak PR berbanding
BN telah diperkukuhkan dengan kejayaan dan penganjuran bersejarah KL112
dengan kehadiran lebih 100,000 rakyat Malaysia dari serata negara untuk
menyokong agenda perubahan.
Akan tetapi sebelum KL112, Menteri Besar Johor Datuk Ghani Othman
telah meramalkan senario PRU13 yang hampir serupa seperti Azrul, secara
terbuka memberi tahu pertubuhan Cina Kulai Selasa lepas bahawa Pakatan
Rakyat boleh memenangi PRU13 dengan majoriti tipis 5% hingga 10% kerusi
Parlimen – iaitu PR menang 117 hingga 122 kerusi Parlimen atau hampir
kepada senario “kemungkinan besar” Azrul.
Adakah Ghani Othman disuruh meletakkan jawatannya sebagai Menteri
Besar Johor kerana membuat pernyataan senario PRU13 yang tidak beza
dengan pernyataan Azrul?
Apa yang Najib cuba tegakkan? Adakah ia cara fikir “era kerajaan tahu semua telah berlalu” atau budaya “
listen, listen, listen!” yang diajukan Sharifah Zohra yang telah menjadi fenomena terkini internet?
Kes Sharifah 1Malaysia buli siswi Bawani
Kejadian Sharifah-Bawani menonjolkan kehampaan dan kepura-puraan
dasar 1Malaysia Najib, yang terkena tamparan hebat sejak awal lagi
apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjauhkan
dirinya dari dasar itu dengan mengisytiharkan bahawa dirinya adalah
“Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian”.
Walaupun Sharifah Zohra adalah aktivis dan pendokong 1Malaysia, dia
tiada langsung semangat 1Malaysia apabila dia menyelar Bawani dengan
mengatakan sekiranya mahasiswa tahun kedua jurusan undang-undang itu
kritis terhadap dasar di Malaysia, Bawani boleh “pergi ke Cuba, pergi ke
Argentina, pergi ke mana-mana sahaja”, dan bertanya, “Apa yang kamu
buat di Malaysia?”
Saya teringat kepada peristiwa di Parlimen pada tahun tujuh puluhan
sewaktu ucapan saya dihentikan oleh seorang Menteri Kabinet UMNO yang
mengatakan pada saya bahawa sekiranya saya begitu kritis dengan dasar
UMNO-BN, saya boleh tinggalkan Malaysia. Dengan pantas saya membalas,
sekiranya dia tidak mahu mendengar apa yang saya mahu katakan bagi pihak
rakyat Malaysia yang menghantar saya ke Parlimen, dia yang sepatutnya
meninggalkan Malaysia!
Sharifah adalah watak terbaru dalam barisan sentimen anti-1Malaysia
diluahkan oleh kononnya pendukung dan penyokong dasar 1Malaysia Najib.
Semuanya produk Biro Tata Negara, daripada pegawai khas Najib, Datuk
Nasir Safar sehinggalah pegetua sekolah Hajah Siti Inshah Binti Mansor,
Datuk Nasir Safar bukan sahaja melabel kaum India dan Cina sebagai
pendatang, tetapi bagai meletakkan garam ke luka dengan menyatakan
bahawa “Orang India datang ke Malaysia sebagai pengemis dan orang Cina
datang untuk jual tubuh”.
UMNO-BN mahu dengar rakyat atau diubah oleh rakyat?
Di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (semalam), Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelesaikan
saman fitnah selepas Khairy menarik balik kata-katanya dan menyatakan
beliau tidak menggelar Anwar pengkhianat dan boneka Amerika Syarikat dan
Yahudi.
“
Listen, listen, listen!” Najib – adakah Perdana Menteri
bersedia demi membawa politik yang jujur dan beretika di Malaysia, untuk
segera mengeluarkan arahan kepada semua pemimpin UMNO-BN dan media
perdana untuk menghentikan pembohongan dan penipuan serta tuduhan tak
berasas bahawa pemimpin Pakatan Rakyat adalah pengkhianat dan benci
negara?
Adakah para pemimpin PR dituduh dnegan fitnah sedemikian semata-mata
kerana mereka tidak bersetuju dengan UMNO-BN, terutamanya apabila
pemimpin PR juga sama patriotik dan sayangkan negara seperti pemimpin
UMNO-BN?
Sekiranya usaha supaya “
Najib listen, listen, listen!” tidak
berkesan, maka satu-satunya pilihan untuk rakyat Malaysia adalah undi
untuk ubah Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dalam PRU13 – buat pertama
kalinya dalam 55 tahun.
– Roketkini.com
0 Komen pengunjong :