Masa depan Nasha di Umno atau NGO?

 Nasharudin Mat Isa

Ketika isu kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu sedang memuncak dan ramai yang melampiaskan kemarahan terhadap cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, tiba-tiba muncul cerita pengguguran bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai ahli Majlis Syura Pas.

Sekelip mata nampaknya tumpuan sudah beralih arah.

Ada bagusnya juga kerana ramai di kalangan rakan media meluahkan perasaan "rasa berdosa, muak" dengan isu agama yang sudah dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin politik.

Malah mufti, pemerhati politik dan rata-rata rakyat Malaysia menggesa supaya isu kalimah ALLAH ini dihentikan dan konsisten dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berpendapat, Pakatan terpaksa melakukan 'damage control' ekoran kontroversi isu kalimah ALLAH ini menerusi pemecatan Nasharudin. Wallahu'alam. Tidak kita ketahui sejauh mana kebenarannya.

Perbedaan pandangan di antara Pas dan keputusan yang diambil oleh Majlis Pakatan Rakyat dilihat bercanggah dalam isu penggunaan kalimah eksklusif untuk umat Islam ini sehingga ramai yang membuat pelbagai telahan.

Kalau mengikut perkiraan Hasan, Nasharudin atau lebih dikenali sebagai Nasha ini adalah kambing hitam untuk menutup kepincangan dan kontroversi yang menghujani Pakatan Rakyat.

Nasha terpaksa dilucut dari Majlis Syura meskipun ia sedikit sebanyak akan memberi tamparan kepada perikatan pembangkang itu asalkan tumpuan tidak lagi terarah kepada isu kalimah ALLAH.

Namun bagaimana dengan nasib dan karier politik Nasha? Adakah beliau akan kekal sebagai ahli Pas? Atau mungkinkah beliau akan bertindak keluar parti dan menyertai Umno?

Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin seolah-olah sudah memberi lampu hijau kepada Nasha supaya meninggalkan parti yang sudah menjadi darah daging Ahli Parlimen Bachok itu.

Kata Nik Aziz, Nasha umpama seorang isteri yang sudah diceraikan.

"Selepas itu (diceraikan), mana-mana lelaki lain nak buat bini, ambillah ...," katanya.

Malah sekitar Ogos tahun lalu, Nik Aziz pernah berkata, beliau tidak hairan sekiranya Nasha akan keluar Pas setelah gambar beliau bersama-sama Datuk Seri Najib Tun Razak di Arab Saudi, tersebar.

Bahkan Nik Aziz turut menyuarakan lebih baik Nasha meninggalkan Pas daripada menimbulkan masalah kepada parti itu.

Setelah beberapa kali Nasha dilihat menyuarakan pandangan yang agak keras terhadap agenda perjuangan Pas, beberapa kali kelihatan bersama orang nombor satu negara, termasuk menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan di antara Umno-Pas, akhirnya pada 13 Januari lalu, keanggotaan Nasha dalam Majlis Syura Pas digugurkan.

Menurut Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, keanggotaan Nasha digugurkan ekoran bekas Timbalan Presiden Pas itu telah melanggar beberapa peraturan jawatankuasa berkenaan.

Ada yang mengaitkan pemecatan itu kerana Nasha baru-baru ini telah menyertai rombongan Najib ke Gaza. Namun ia disanggah sama sekali oleh pimpinan Pas bahawa pemecatan Nasha adalah bermotifkan politik.

Profesor Dr Ahmad Atory Hussain tidak menolak kemungkinan Nasha akan berubah haluan politik namun konsisten dalam perjuangan memartabatkan syiar Islam.

"Besar kemungkinan (masuk Umno) atau sama ada dilantik menjadi senator. Orang besar seperti ini macam-macam cara dia boleh berkhidmat dalam Barisan Nasional, dalam kerajaan. Itu bergantung kepada keputusan pilihan raya," katanya kepada Sinar Harian Online.

Namun katanya, buat sementara ini, Nasha akan terus berkelana mencari di manakah ruang yang paling sesuai untuk dirinya sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selesai kelak.

"Selain parti politik, bukan parti politik ini juga banyak yang berkehendakkan khidmat beliau sebab beliau ini seorang yang pandai, seorang ulama. Rangkaian beliau ramai. Saya nampak beliau ini akan berkhidmat dalam masyarakat. Dalam NGO," katanya.

Atory juga berpandangan, masa depan Nasha dalam politik akan terus cemerlang jika Umno-Barisan Nasional dapat mengekalkan kuasa di Putrajaya.

"Kalau pilihan raya kali ini memihak banyak kepada Barisan Nasional, masa depan beliau pun cerah sebenarnya," ujar beliau merujuk kepada khidmat dan kebolehan pemimpin itu.

Diuja persoalan ramai yang menyifatkan pemecatan Nasha bukan suatu kehilangan besar terutama oleh ahli parti itu sendiri, Atory berkata, ia hanya suara luaran mereka apatah lagi, Nasha bukan calang-calang orang dalam parti itu.

"Saya rasa tindakan mereka ke atas Nasharudin ini, sudah tercalar sedikit Pas ini. Kalau tidak tercalar, mengapa mereka hendak marah?

"Kalau perkara ini berlaku kepada ahli biasa Pas, buat perangai begitu mereka boleh cakaplah seperti itu tapi bukan kepada Ustaz Nasharudin," jelasnya lagi.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Mohd Bustamam Abd Karim berpandangan bahawa Nasha akan meneruskan perjuangan dan khidmatnya kepada negara, namun bukan lagi dalam Pas.

"Masalah politik di Malaysia ini tidak melihat kepada 'big picture'. Nasharudin ini seorang yang melihat kepada 'big picture'.

"Dia seorang yang hendak menyumbang, dia tak nampak itu dalam Pas," katanya kepada Sinar Harian Online.

Apatah lagi katanya, karakter yang ditonjolkan oleh Nasha itu jelas bahawa beliau bukan seorang yang mengejar harta dan kedudukan.

"Dalam konteks Nasha ini, kita sekarang orang Melayu, Islam... Kena melihat kepada 'big picture'. Jangan jadi 'enau dalam belukar. Dia bukan seorang yang jenis 'enau dalam belukar'.

"Orang putih cakap, kita kadang-kadang 'missed the forest for the tree'. Kita terlepas 'big picture' kerana kita hendak mengagungkan satu pokok. Dalam Pas ia hanya melihat tree (pokok) sahaja dan dalam perkara ini ia adalah orang-orang seperti Mat Sabu, Nik Aziz, Hadi," ujar Bustamam.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan ada kemungkinan Nasha memilih untuk tidak lagi berkecimpung dalam arena politik,  sebaliknya bergiat aktif dalam pertubuhan badan bukan kerajaan untuk terus menyumbang bakti kepada negara.

2 comments :

  1. Alhamdulillah...
    Akhirnya terkeluar juga wahai kau si nasha.
    Apa guna menjadi duri dalam daging...gunting dalam lipatan.
    Lebih baik ditendang aja.

    ReplyDelete
  2. Ada pepatah mengatakan "jika dibuang segala sampah di aliran sungai, maka lancarlah perjalanan airnya". Apalagi sampah tu berbentuk bangkai yang selalu buat busuk nama parti sahaja.

    ReplyDelete