Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa agar
semua pihak menghentikan provokasi agama serta tidak mengeluarkan
kenyataan yang boleh menegangkan suasana demi memelihara kerukunan hidup
antara agama di negara ini.
Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul
Hamid berkata, mengungkit isu agama yang diketahui akan menyentuh
sensitiviti penganut agama masing-masing sangat merbahaya dan tidak
bertanggungjawab.
"Kami kesal terhadap pemimpin politik yang
tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan
persepsi yang tidak baik terhadap Islam.
"Dalam masa yang sama
kami menegaskan pihak pemimpin agama harus menghormati kedudukan Islam
di negara ini terutama soal menarik orang Islam kepada agama lain yang
dilarang dalam undang-undang Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya,
pemimpin agama perlu mengambil berat mengenai sensitiviti yang sangat
tinggi di kalangan orang Islam terutama dalam isu murtad dan apa sahaja
yang dilakukan oleh penyebar agama lain yang boleh menyebabkan orang
Islam murtad.
"Negara ini tidak boleh dihadapkan dengan konflit
sivil yang akan menghancur segala asas keharmonian antara agama dan ras
yang sudah dipupuk sekian lama.
"Semua pihak perlu memberi
perhatian yang mendalam terhadap situasi kehidupan yang sangat sensitif
di negara ini jika isu agama dibangkitkan dengan cara yang tidak
hikmah," katanya.
Mohd Azmi berkata, terlalu ghairah bermain
dengan sentimen agama yang mudah menimbulkan kemarahan antara penganut
adalah satu kesilapan besar yang akan mengakibatkan ketegangan yang
sukar dikawal.
"Kami menggesa isu berkaitan dengan usaha menarik
orang Islam kepada agama lain , penggunaan Kalimah Allah , hendaklah
dihentikan dan perlu ditangani oleh pihak berkuasa serta
pemimpin-pemimpin agama dengan bijak berdasarkan undang-undang dan asas
keharmonian kehidupan beragama di negara ini," tegasnya.
Katanya,
Mapim menyarankan agar dialog dan perbincangan yang sihat antara
pemimpin agama diadakan untuk mengatasi salah faham mengenai sebarang
isu agama.
"Kami juga menuntut agar pihak media lebih
bertanggungjawab bila mengangkat isu agama untuk tatapan masyarakat
awam. Jika ia tidak dikendalikan dengan bijak , media boleh membawa
kesan yang negatif kepada persepsi antara penganut agama," katanya.
0 Komen pengunjong :