Di kala negara menantikan
saat Parlimen dibubarkan, timbul satu persoalan baru – mampukah Dato’
Seri Najib Razak bertahan sebagai Perdana Menteri?
Sekiranya Barisan Nasional kehilangan kuasa, Najib pastilah tidak
akan kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi seandainya BN menang
pilihanraya, meski dengan majoriti yang lebih kecil, adakah para
pemimpin UMNO dan ahlinya akan merelakan Najib terus memimpin parti itu?
Saya berkesempatan untuk berbual seketika dengan Najib Razak sewaktu
dialog Shangri-La pada 1 Jun 2008 di Singapura sebelum beliau naik ke
pentas pada persidangan pertahanan tahunan itu. Pada waktu itu beliau
masih Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan.
Waktu itu baru sahaja lebih kurang tiga bulan selepas tarikh
bersejarah pilihanraya umum 8 Mac yang menyaksikan pihak oposisi
memenangi kuasa di lima kerajaan negeri dan memecahkan kuasa majoriti
dua-pertiga BN di Parlimen.
Najib tidak kenal saya. Jadi saya perkenalkan diri sebagai “Bukit
Bendera” dan beliau lantas sedar saya adalah seorang Ahli Parlimen DAP.
Apa Najib beritahu saya
Tanpa disoal atau mungkin kerana beliau defensif, Najib menyebut tiga
perkara dalam perbualan singkat itu. Pertamanya bahawa beliau tidak ada
kena mengena dengan kes Altantuya. Kedua, bahawa beliau bukanlah
seorang yang rasis dan mempunyai ramai kawan bukan-Melayu. Dan ketiga,
bahawa beliau mahu BN mula memikirkan bagaimana untuk bekerjasama dengan
kerajaan-kerajaan negeri “Pembangkang”.
Saya berkongsi pengalaman ini dengan beberapa teman yang rapat dengan
UMNO dan mengenali cara fikir Najib Razak. Salah seorang daripadanya
dengan pantas mengatakan bahawa Najib amat tertekan dengan kes
Altantuya, sehinggakan beliau terpaksa menyebut tentang perkara itu
secara defensif apabila bertemu dengan orang yang tidak dikenali untuk
pertama kali.
Kenyataan itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya.
Dengan dibantu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin
Yassin, Najib telah memulakan usaha “rampasan kuasa” terhadap (mantan)
Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi. Mula-mula pada 17 September beliau
telah diberikan portfolio Kewangan yang menjadi rebutan ramai, dan
kemudian pada 25 September 2008 berjaya pula meyakinkan Abdullah untuk
bersara pada tahun berikutnya.
Najib mengambil alih tampuk kekuasaan pada 3 April 2009.
Membisu seribu bahasa
Tertimbulnya semula kes Altantuya dalam bentuk tuduhan yang pelbagai
oleh pengusaha karpet Deepak Jaikishan sejak penghujung November 2012
sewaktu dan sesudah Perhimpunan Agung UMNO adalah mungkin lebih buruk
dari yang disangka.
Hampir dua bulan sejak tuduhan Deepak mula timbul, Najib dan
isterinya Rosmah Mansor telah kekal membisu seribu bahas, meniru gaya
Abdullah yang turut membisu untuk mengelak isu-isu sebenar.
Pergolakan dalaman UMNO memang sentiasa wujud. Namun mutakhir ini, ia
semakin jelas kelihatan. Parti tersebut barangkali runsing dengan Najib
yang dilihat tidak mampu memenangi lebih sokongan Melayu untuk UMNO
serta pada masa yang sama gagal juga mendapatkan sokongan bukan-Melayu
melalui slogan 1Malaysianya.
Mungkin beliau bukanlah seorang yang bersifat perkauman dengan cara
yang menjijikkan, tetapi beliau gagal mematahkan kempen perkauman oleh
UMNO, Perkasa dan Utusan Malaysia. Usahanya untuk “bekerjasama dengan
kerajaan-kerajaan negeri Pembangkang” langsung tidak menjadi,
terutamanya selepas rampasan kuasa terhadap Kerajaan Negeri Perak pada
Februari 2009.
Rojak singkatan nama program-program kerajaan yang dihidangkan Najib
menyajikan kesan dasar yang terlalu sedikit dalam kehidupan nyata, dan
usahanya untuk meninggalkan legasinya dalam UMNO dengan membariskan
‘calon boleh menang’ telah memakan diri sendiri.
Setelah menimbang-nimbang bila kiranya masa yang sesuai untuk
membubarkan Parlimen dalam tiga tahun yang lalu, soalan yang lebih
ketara sekarang ialah mungkinkah ada lagi insan yang bernama Najib Razak
yang bakal memimpin BN selepas pilihanraya umum akan datang?
–
Roketkini.com
0 Komen pengunjong :