Jika salah gaya dan percaturannya, kemuncak
Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan Sabtu ini bakal memberi
kesan buruk kepada kedua-dua parti - pembangkang dan kerajaan, yang akan
diterjemahkan menerusi peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),
kata seorang penganalisis politik, Dr Jeneri Amir.
Menurut pensyarah Universiti Malaysia Sarawak ini, keadaan seumpama
itu akan berlaku sekiranya terjadi insiden yang tidak diingini seperti
berlakunya pelanggaran kuasa oleh pihak polis atau pun kebiadapan
dilakukan oleh peserta himpunan tersebut yang boleh menimbulkan
kebimbangan dan kemarahan awam.
"Apabila polis bertindak ganas, ia akan memberi kesan kepada kerajaan
dan begitulah sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian Online.
Meskipun begitu katanya, faktor itu juga bergantung kepada sejauh
mana media memainkan peranan dalam melaporkan senario pada hari himpunan
itu nanti.
"Kalau liputan itu meluas, dan platform itu digunakan sebaik mungkin
oleh pemimpin Pakatan, saya rasa sedikit sebanyak ia akan memberi kesan
sekurang-kurangnya kepada isu-isu semasa yang berbangkit.
"Tetapi semua isu ini yang dilihat relevan mencakupi isu-isu politik,
ekonomi, ketelusan dan tadbir urus yang baik ini mesti dieksploitasikan
seluas mungkin melalui Pakatan ini nanti," ujar beliau sambil menambah,
pihak polis juga nanti akan disalahkan dan dikatakan melanggar kuasa
jika menangani perhimpunan itu dengan cara yang disifatkan salah di mata
mereka.
Mengulas lanjut, Jeneri berpendapat, kerajaan dan polis seharusnya
membenarkan himpunan itu manakala pihak penganjur serta peserta harus
mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan supaya himpunan yang
disifatkan sebagai aman itu dapat direalisasikan.
"Pihak kerajaan dan polis khususnya perlu memberi ruang sesuai dengan
akta yang diluluskan tetapi di pihak peserta himpunan itu mereka perlu
menjaga adab dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak polis. Ini
tidak harus digunakan untuk menyerang dan sebagainya kerana akhirnya
kesannya buruk kepada kedua-dua belah pihak," jelas beliau lagi.
Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat, #KL112, Mohamad Sabu sebelum
ini berkata, himpunan berkenaan menyasarkan sejuta rakyat Malaysia
berhimpun di Dataran Merdeka secara aman antara jam 2 hingga 5 petang.
Difahamkan himpunan #KL112 bertujuan untuk mendesak kerajaan memenuhi
beberapa tuntutan rakyat seperti yang digesa oleh Gabungan Pilihan Raya
Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menghentikan pemusnahan dan pencemaran
alam sekitar, membebaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
menyediakan pendidikan percuma, menyelamatkan Felda dan menuntut royalti
petroleum dibayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
Sementara itu seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr. Ahmad
Atory Hussain pula berkata, melalui perhimpunan ini, pembangkang mahu
membuktikan bahawa perikatan itu masih relevan dan diterima baik oleh
masyarakat di Malaysia.
"Saya ingat ia untuk memberitahu di saat akhir kepada
penyokong-penyokong pembangkang ini, strategi yang akan mereka lakukan
dan amanat penting akan diberikan kepada penyokong.
"Selain daripada itu mereka ingin menunjukkan kekuatan barisan
pembangkang ini dan masih lagi disokong atau masih lagi mendapat tempat
di hati penyokong bahawa Pakatan Rakyat ini masih relevan dan menjadi
pencabar utama kepada Barisan Nasional," ujar beliau.
Pada masa yang sama, katanya, kesempatan himpunan ini juga akan
digunakan oleh perikatan pembangkang untuk membuat pencerahan kepada
perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Barisan Nasional kepada penyokong
mereka.
Beliau juga menyifatkan ajakan Mohamad, yang turut dikenali sebagai
Mat Sabu supaya rakyat yang marahkan kerajaan turun beramai-ramai pada
Sabtu ini hakikatnya sudah berjaya "dilunakkan hati" mereka oleh
kerajaan Barisan Nasional.
"Saya setuju jika yang turun pada 12 Januari ini hanyalah pengikut
tegar, sebilangan sahaja yang marah kepada kerajaan," ujarnya.
Ahmad Atory kemudiannya dengan nada sinis menyelar pihak pembangkang
dan penyokong tegar ini yang masih belum berpuas hati dengan ruang
kebebasan yang diberikan kepada mereka selama ini.
"Tapi tak apalah kalau ada lagi saki-baki kemarahan itu bolehlah
dihamburkan, boleh dilepaskan. Saya minta pihak pemerintah jangan lah
dihalang, biarkan.
"Dalam zaman globalisasi, zaman media, zaman internet, pada saya
memang tidak ada apa-apa halangan kecuali dengan syarat kena ada permit.
"Kalau selama ini media massa, blogger dianggap tidak cukup lagi
untuk menyatakan perasaan marah melalui blogger, internet, Twitter,
Facebook dan sebagainya, melalui Harakah dan apa sahaja, dengan akhbar
Sinar Harian, Kosmo! misalnya, saya ingat dengan adanya perhimpunan 12
Januari ini, boleh dianggap pencukup atau pun penggenap kepada segala
macam yang tak cukup itu," bidasnya.
0 Komen pengunjong :