KUALA LUMPUR:
Sekurang-kurangnya empat pemimpin politik termasuk menteri besar dan
ketua menteri tidak melepasi tapisan SPRM untuk menjadi calon tetapi
persoalan timbul kenapa mereka tidak diambil tindakan.
Inilah
yang dipersoalkan apabila media mula menyiarkan perkara ini ekoran
tapisan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
itu.
Menurut akhbar Sinar pengguguran itu tidak boleh dielakkan
kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan SPRM
kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.
Antara nama-nama
besar yang disebut sebagai mereka yang dijangka tidak akan dicalonkan
semula akibat masalah berkenaan ialah seorang menteri besar, seorang
ketua menteri dan dua pemimpin tinggi sebuah parti, lapor muka depan
akhbar itu hari ini.
Difahamkan, perkembangan terbaru ini
disedari setelah urusan awal tapisan senarai calon yang diserahkan
beberapa parti kepada SPRM untuk tapisan menjelang PRU13 selesai,
baru-baru ini.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, ratusan nama
calon sudah diserahkan kepada SPRM dan berikutan tapisan yang
dilakukan, beberapa nama-nama besar telah gagal saringan.
Berdasarkan
hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah dinasihatkan
tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu sebagai calon
mereka.
Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama
besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan
jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.
Ketika
dihubungi Sinar Harian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi),
Datuk Mohd Shukri Abdul enggan memberi sebarang komen mengenai perkara
tersebut.
Beliau sekadar menegaskan bahawa Cawangan Tapisan
Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM masih
membuat tapisan ke atas senarai calon yang dihantar parti-parti politik.
Katanya,
parti-parti yang akan meletakkan calon dalam PRU13 masih terus
menghantar nama-nama calon masing-masing untuk tapisan dan ada yang akan
terus menghantar senarai tersebut walaupun selepas Parlimen dibubarkan
nanti.
0 Komen pengunjong :