Bayaran BR1M menjelang PRU, k’jaan mahu rakyat ingat ‘jasa’ BN

KUALA LUMPUR : Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2.0 Februari ini supaya rakyat tidak melupakan ‘jasa’ kerajaan Umno BN menjelang pilihan raya umum (PRU), kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa.
Katanya, ia juga petanda pilihan raya mungkin berlangsung dalam bulan sama.
Tegas beliau, bantuan itu memang tanggungjawab kerajaan yang patut ditunai sejak dahulu.
“Rakyat tidak semudah itu digula-gulakan. Buktinya semakin banyak taktik ‘sumbangan’ yang Umno berikan, sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat tetap meningkat,” katanya ketika dihubungi.
“Mereka sedar BR1M dan bantuan lain hasil tuntutan Pakatan sehingga memaksa kerajaan mengagihkan bantuan tersebut,” jelas Fariz.
Beliau mempersoal mengapa pemberian BR1M 2.0 ditangguh sehingga Februari, bukan Januari seperti yang diumum Perdana Menteri dalam pembentangan belanjawan, November lalu.
“Adakah kewangan negara tidak selesa atau ia strategi pilihan raya supaya rakyat tidak lupa ‘jasa’ Umno?” soalnya.
BR1M 2.0 dijangka akan memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 kumpulan bujang berbanding 4.2 juta penerima BR1M tahun lalu.
Lebih 2.3 juta permohonan diterima untuk BR1M 2.0 pada 17 Disember, dengan lebih 720,000 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan layak menerima RM500 wang tunai.
Manakala bagi penerima bujang, mestilah berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, layak mendapat RM250 wang tunai.
Ketua Koordinator Jingga 13 itu turut mengulas isu pemberian rebat telefon pintar sebanyak RM200.
“Pemberian rebat kononnya untuk ambil hati anak muda, tetapi bila terbongkar hanya untuk telefon berharga bawah RM500, ia menurunkan kepercayaan anak muda,” kata Fariz.
“Inilah bukti usaha kerajaan mengkayakan kroni, rakyat pula menanggung rugi,” sambungnya.
Sebab takut kehilangan sokongan anak muda, kerajaan mengubah syarat ketat sebelum ini – pemberian rebat hanya libatkan telefon pintar bawah RM500.
Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan, belia berumur 21 hingga 30 tahun pendapatan bulanan bawah RM3,000 boleh membeli apa jua jenis telefon pintar untuk dapatkan rebat itu.

1 comment :

  1. JASA BN AMENDA? AKU NI KERJA TAK KENAL MALAM DAN SIANG NAK BESARKAN ANAK2 PUN KENA CUKAI. DUIT CUKAI AKU TU YG BN BAGI BRIM.

    ReplyDelete