KUALA LUMPUR - Pas menyifatkan langkah Kementerian Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan menarik balik kesediaan memenuhi permintaan
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk muncul di televisyen bagi
menjelaskan isu Amanat Haji Hadi menunjukkan pemimpin Umno mula
mengambil sikap "diam diri" daripada membicarakan isu tersebut.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar melahirkan rasa kecewa dengan
tindakan kerajaan yang tidak konsisten dalam membuat keputusan,
lebih-lebih lagi berhubung kebebasan bersuara menggunakan media yang
berpaksikan Umno-Barisan Nasional.
“Saya anggap bahawa pemimpin Umno sudah bersedia untuk tutup mulut
untuk tampal mulut mereka dengan 'plaster' daripada bercakap dengan
isu-isu ini,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Dalam perkembangan yang sama, hasrat pemimpin tertinggi Pas itu juga
mendapat perhatian Sinar Harian apabila sanggup menawarkan platform
alternatif selain media arus perdana dan beliau menyambut baik tawaran
tersebut.
“Saya tidak terfikir kepada keperluan Sinar Harian, sebab isu yang
berbangkit ini ialah cabaran dari pihak kerajaan sendiri yang
membangkitkan isu ini.
“Sepatutnya institusi kerajaan RTM sendiri dan TV3 yang ada kepentingan
kerajaan, sepatutnya di situ lah disiarkan penjelasan itu,” katanya.
Malah katanya Abdul Hadi juga telah bersetuju untuk melibatkan beberapa
pihak berkepentingan seperti mufti dan pemimpin tertinggi Umno dalam
sesi penjelasan secara siaran langsung sekiranya hasrat tersebut
ditunaikan.
“Siapa saja boleh dijemput termasuk (Menteri di Jabatan Perdana
Menteri) Datuk Seri Jamil Khir, (timbalannya) Datuk Dr Mashitah dan
(bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad),” katanya.
Sementara itu, mengulas perkembangan semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat
pada Sabtu ini, Mahfuz berkata, hasrat pembangkang seringkali cuba
‘disabotaj’ oleh pihak berkepentingan apabila permohonan untuk
menggunakan Stadium Merdeka sehingga ke hari ini, masih menemui jalan
buntu susulan syarikat pengurusan stadium tersebut tidak memberi
kerjasama baik dalam menjayakan perhimpunan aman itu.
Bagaimanapun katanya, halangan tersebut tidak menghalang rakyat untuk
menyertai himpunan aman yang mensasarkan sejuta peserta sebelum pilihan
raya bermula namun amat mengecewakan apabila pihak pengurusan stadium
dan pihak keselamatan berdiam diri tanpa satu keputusan yang jelas.
"Jadi saya sangat kecewa kelembaban dua institusi ini, yang bagi saya
paling mudah untuk berikan kebenaran, stadium daripada kita biar begitu
saja pun buat apa,” katanya.
Mengulas lanjut sekiranya kelulusan tidak diberikan, Mahfuz berkata,
pihaknya tidak berhasrat untuk mengadakan himpunan jalanan, sebaliknya
mahu perhimpunan kali ini dibuat di tempat yang lapang dan tertutup
seperti Stadium Merdeka.
"Hasrat kita untuk mengajak rakyat supaya berhimpun untuk menyatakan
komitmen kita terhadap kepentingan-kepentingan kita yang sedang dicabul
dan untuk membuat perubahan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub menegaskan pihaknya
konsisten untuk mengadakan perhimpunan secara aman tanpa perarakan
jalanan sebaliknya memilih stadium sebagai lokasi utama perhimpunan mega
itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.
Sambil menolak dakwaan perhimpunan kali ini mungkin akan mencetuskan
ketegangan, beliau berkata, jika ia dilakukan dalam kawasan tertutup,
pihaknya boleh mengawal peserta dengan mudah khususnya mengelakkan
daripada cubaan provokasi oleh pihak tertentu.
"Saya harap polis boleh beri kerjasama yang sepatutnya, kita dah sebut
kita tidak akan guna jalan raya, kita tidak akan buat perarakan, kita
nak berhimpun satu tempat.
"Kita akan pastikan ia aman ketika berhimpun,” katanya.
Bagaimanapun perhimpunan kali ini sukar direalisasikan sekiranya pihak
pengurusan stadium enggan bekerjasama dengan memberin kebenaran
menggunakan kemudahan mereka biarpun beberapa permohonan telah
dikemukakan kepada mereka tanpa melanggari prosedur yang telah
ditetapkan pihak berkuasa.
"Kita telah minta Stadium Merdeka dan kita sedang menunggu jawapan,
harapan bagi saya adalah tidak ada sebab untuk pihak pengurusan tidak
mengizinkan kita untuk berhimpun secara aman.
"Kita telah mengadakan road show seluruh negara dan kita yakin dan
percaya bahawa matlamat kita untuk mengadakan perhimpunan itu akan jadi
satu kenyataan,” katanya.
0 Komen pengunjong :