Pengguguran Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama PAS
nampaknya tidak memberi kesan yang besar baik kepada ahli PAS mahu pun
para pengundi yang bukan ahli parti.
Penganalisis politik
Universiti Kebangsaan Malysia (UKM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
berpendapat ahli parlimen Bachok itu tidak mempunyai pengaruh yang kuat
mahu pun jumlah pengikut yang ramai untuk memberikan impak kepada
'cuaca' politik tanah air.
"Saya lihat (pengguguran ini) biasa
sahaja, tidak cukup signifikan untuk tukarkan pola pengundian - sebabnya
Nasharuddin dah lama terpinggir daripada kepimpinan PAS Pusat.
"PAS
pun tidak (akan bertambah) kukuh daripada pemecatan ini. Orang hendak
menangis pun tidak, hendak ketawa pun tidak," katanya kepada
Malaysiakini.
Pengguguran Nasharuddin diumumkan Setiausa Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh pada 27 Januari lalu.
Ia
dikatakan berpunca daripada kegagalan beliau mematuhi beberapa
peraturan majlis syura - antaranya ialah kegagalannya menghadiri
mesyuarat jawatankuasa itu.
Sebelum ini, Nasharuddin sendiri
tidak hadir ke muktamar tahunan PAS yang lalu walaupun beliau pernah
menyandang jawatan timbalan presiden PAS.
Mengulas lanjut, Agus menegaskan di luar lingkungan PAS, orang ramai melihat pengguguran Nasharuddin sebagai satu isu sampingan.
Justeru
Agus meramalkan nasib politik Nasharuddin tidak akan mampu menimbulkan
'gelombang' rakyat - satu fenomena yang menurutnya hanya mampu
dicetuskan personaliti seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku
Razaleigh Hamzah.
"Pengundi kini lebih memberi perhatian kepada isu-isu seperti keadilan sosial dan pentadbiran.
"Jikalau isu-isu sempit, ia tidak akan memberikan kesan melainkan ia melibatkan isu-isu sejagat," katanya.
Sebelum ini, Nasharuddin dilihat semakin intim dengan kepimpinan Umno terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Penggugurannya juga berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas menemani Najib melawat Palestin.
Ketua
Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN),
Profesor Datuk Dr Zainal Kling sependapat dengan Agus dan merasakan
faktor Nasha tidak akan banyak mempengaruhi senario politik negara
menjelang pilihan raya.
"Kita sendiri melihat Nasha tidak ada pengikut yang kuat, tidak banyak reaksi dari anggota PAS berkenaan pemecatan ini.
"Saya tak fikir dia (Nasha) akan beri sumbangan besar kepada kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang ini," katanya.
Bagaimana
pun, beliau meramalkan Nasharuddin akan kekal di dalam PAS dan
pengguguran ini membuka peluang yang lebih besar untuk beliau bersikap
lebih kritis terhadap PAS.
Jelasnya, personaliti seperti
Nasharuddin masih mempunyai perasaan yang kuat terhadap perjuangan asal
PAS yang menekankan agenda negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud
walaupun kedua-dua perkara itu tidak lagi dibincangkan kepimpinan PAS di
peringkat nasional.
"Walaupun di peringkat nasional sudah kurang membincangkan hal itu, ahli-ahlinya masih lagi membincangkan perkara itu.
"Justeru, golongan-golongan yang telah 'tersingkir' ini merasakan mereka masih lagi ahli PAS," katanya.
Menurut
Agus pula, pengajaran yang lebih besar daripada pengguguran Nasharuddin
adalah - ia mencerminkan tahap tolak ansur parti-parti politik terhadap
mereka yang mempunyai pandangan berbeza dengan pihak majoriti dalam
parti.
Beliau menyifatkannya sebagai satu cabaran yang masih perlu ditangani semua parti di Malaysia.
"Yang
penting pemecatan Nasharuddin menimbulkan persoalan kepada sejauh mana
perbezaan pendapat diraikan dalam parti-parti politik.
"Ini seterusnya memberikan gambaran kepada tahap demokrasi yang masih rendah di dalam negara kita," kata Agus.
0 Komen pengunjong :