KUALA
LUMPUR, 11 JAN: Pelbagai kontroversi serius membabitkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam empat tahun pentadbirannya telah
membuktikan bahawa beliau tidak lagi sesuai memimpin negara selepas PRU
ke-13 kerana ianya bakal meletakkan ekonomi dan keamanan Malaysia dalam
keadaan yang tidak stabil.
Dalam satu kajian yang dilakukan badan Kajian Politik Untuk Perubahan
(KPRU), kegagalan Najib menjawab dengan rasional pelbagai isu
membabitkan dirinya dan pelaksanaan Dasar Transformasi Kerajaan yang
bersifat retorik menyebabkan BN kini berada dalam keadaan paling lemah
sejak merdeka (Perikatan) dan penubuhan Malaysia pada 1963.
“Pada awal tempoh Najib menjadi Perdana Menteri, beliau cuba
menonjolkan diri sebagai “Bapa Tranformasi”, dengan memperkenalkan Model
Ekonomi Baru (MEB), Gagasan 1 Malaysia, Program Transformasi Kerajaan
(GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menunjukkan keazaman
dan semangat bagi mentransformasikan struktur ekonomi.
“Bagaimanapun pengumuman itu membawa kepada beban berterusan yang
ditanggung rakyat akar umbi. Hampir semua harga barangan naik melambung
dalam masa singkat, termasuk harga gula naik 20 sen daripada RM1.45
(2008) kepada RM1.65 (2009) di Semenanjung,” ulas KPRU.
Memberikan contoh, Najib melaksanakan rasionalisasi subsidi bertujuan
mengelak negara bankrap pada masa hadapan, tetapi pada masa sama, Najib
mengekalkan subsidi kepada syarikat kroni.
“Beliau yang menyatakan negara akan bankrap jika pemberian subsidi
diteruskan tetapi kini mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) sebanyak RM500 dan seumpamanya untuk menyelamatkan diri dan
UMNO-BN daripada kalah pada PRU-13 nanti,” menurut laporan itu.
Tambah KPRU lagi, berikutan itu, pentadbiran Najib terus dikritik
hebat kerana mengabaikan kepentingan rakyat akibat isu kenaikan gaji dan
pendapatan boleh guna rakyat yang tidak seimbang untuk menyaingi kadar
kenaikan harga barangan.
Merumus kembali perkembangan pentadbiran Najib sebagai Perdana
Menteri, KPRU menyenaraikan 10 isu utama yang menjadi kontroversi
berterusan memanifestasikan kelemahan Najib seperti berikut:
1. Pembunuhan Altantuya
Rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda yang dituduh terbabit dalam
pembunuhan Altantuya Sharibuu sudah dibebaskan. Pada Disember 2012, ahli
perniagaan, Deepak Jaikishan menamakan seorang adik Perdana Menteri,
Datuk Nazim Razak sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab
membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menandatangani
akuan bersumpah (SD) kedua. Bala pada awalnya menandatangani satu akuan
bersumpah mengaitkan Najib Razak dengan model Mongolia itu. Deepak juga
mendedahkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai
kaitan dengan pembunuhan Altantuya itu.
2. Skandal pembelian kapal selam Scorpene
Suaram, sebuah pertubuhan bukan kerajaan melantik seorang hakim bebas
di Mahkamah Perancis bagi membicarakan kes dakwaan rasuah pembelian
Scorpene. Peguam Perancis, Apoline Cagnate, pada 27 November 2012 ketika
taklimatnya di Singapura memberitahu akan menggabungkan perbicaraan
pembunuhan Altantuya dalam siasatan Scorpene.
3. FBC Media
Pada Ogos 2011, dunia kewartawanan bersifat penyiasatan dipelopori
Sarawak Report mendedahan skandal penyelewengan wang rakyat sebanyak RM57.68 juta dalam projek ‘
Global Strategic Communication Campaign’ yang merupakan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited, sebuah firma media dan hiburan di Eropah.
4. Kematian Teoh Beng Hock, Kugan dan Amirulrasyid
Mayat Teoh Beng Hock ditemui mati di bangunan SPRM. Kugan pula mati
dalam lokap dan keluarganya mengesyaki Kugan didera ketika di dalam
lokap kerana banyak kesan calar di belakang, pergelangan tangan dan
lehernya. Seorang pelajar berusia 14, Amirulrasyid dikatakan ditembak
mati oleh anggota polis ketika melarikan diri dengan sebuah kereta yang
dipandunya.
5. Isu Lynas
Lynas Corporation Ltd adalah sebuah syarikat Australia yang diberi
kelulusan pada Januari 2008 untuk mendirikan sebuah kilang pengeluaran
nadir bumi yang terletak di Gebeng, Kuantan, Pahang. Loji yang mula
beroperasi pada September 2011 dibantah penduduk tempatan diketuai Naib
Presiden PKR, Fuziah Salleh. Beberapa perhimpunan yang dinamakan
Perhimpunan Hijau diadakan bagi membantah operasi kilang Lynas itu.
Perhimpunan Hijau 2.0 juga berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000 orang
yang datang dari seluruh negara bagi membantah kilang itu kerana bimbang
menjejaskan keselamatan hidup generasi akan datang
6. Pembaharuan Sistem Pilihan Raya
Perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 diadakah pada 2011 dan 2012. Tuntutan
Bersih supaya bersihkan senarai pengundi, reformasi kepada undi pos,
menggunakan dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media
yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan
politik kotor.
7. Menara Warisan Merdeka
Cadangan pembinaan Warisan Merdeka 100 tingkat diumumkan Najib ketika
membentangkan Belanjawan 2011. Projek pembangunan bersepadu itu
bernilai RM5 bilion dan akan dilaksanakan oleh Permodalan Nasional
Berhad (PNB), berdekatan kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
Pembinaannya dijangka siap epenuhnya pada 2015.
8. National Fidlot Corporation (NFC)
Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan NFC gagal memenuhi
matlamat penubuhannya. Pihak pembangkang mendakwa wujud penyelewengan
terhadap peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta yang disalurkan kepada
NFC disalah guna keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ia termasuk
membeli lima kondominium di Singapura dan Bangsar, dua lot tanah di
Putrajaya, kereta mewah dan pelbagai transaksi yang meragukan.
9. Pelaksanaan AES
Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automati (AES) dikendalikan
oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. Kerajaan tidak mengeluarkan
peruntukan kerana mesin, kamera dan semuanya akan disediakan dua
syarikat berkenaan. Saman yang dikeluarkan telah dikomersil dan
diswastakan di mana dua syarikat terbabit akan mendapat komisyen
daripada setiap saman bagi 831 kamera yang dipasang.
10. Aliran Keluar Wang Haram
Jumlah pengaliran keluar wang haram meningkat 111 peratus daripada
AS$30.41 bilion pada 2009 atau RM94.27 bilion meningkat kepada AS$64.38
bilion (RM199.58 bilion) pada 2010. Seorang peniaga balak, Micheal Chia
yang dipercayai rapat dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman disyaki
membawa wang haram dalam mata wang Singapura berjumlah S$16 juta (RM40
juta).
Selain senarai 10 kontroversi yang dinyatakan, banyak lagi isu yang
masih gagal diselesaikan pentadbiran Najib termasuk isu cincin RM24 juta
isterinya, fitnah terhadap pimpinan pro-rakyat dan manipulasi isu
perkauman dan agama yang boleh mencetuskan ketegangan.
Justeru, rakyat di segenap lapisan merentas budaya, bangsa dan agama
diseru turun berhimpun menyatakan kemarahan dan protes mereka secara
aman di Stadium Merdeka dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) #KL112
bermula jam 2.00 hingga 5.00 petang.
KPRU ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008 yang
memberi fokus kepada kajian politik di Malaysia secara kritikal melalui
penerbitan dan dialog yang dianjurkan.
- Roketkini.com
0 Komen pengunjong :