Peserta perkhemahan dihalang guna masjid untuk solat Asar


KAJANG 22 DIS: Peserta perkhemahan ‘Solidariti Umar Mohamad’ di depan Penjara Kajang yang berkhemah depan pintu penjara sejak malam tadi, dihalang dari menggunakan masjid untuk solat Asar.
Seorang pegawai Unit Keselamatan Penjara (UKP) berpangkat Koperal dengan tanda nama ‘Roslan’ memaklumkan, larangan itu dibuat terhadap mereka yang berkhemah.
Wartawan Keadilan Daily dan Harakah Daily yang berada di lokasi untuk membuat liputan turut dihalang bersolat Asar di masjid itu.
“Ini arahan orang atasan,” kata pegawai yang tidak menyatakan rasional arahan itu.
Diasak soalan, Roslan kemudia mendapatkan bantuan pegawai atasan yang hanya mahu dikenali dengan nama ‘Kamil’.
“Masjid ini untuk kegunaan keluarga staf penjara. Hanya kami yang ada kuasa untuk benarkan atau tidak sesiapa yang mahu sembahyang di sini,” katanya kepada Keadilan Daily.


“Lagi pun ‘bumi Allah’ sendiri adalah masjid. Dekat mana-mana pun boleh sembahyang bukan,” katanya, memberi alasan.
Sementara itu, bekas Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd Afendi yang dikenali sebagai kartunis Ronasina memaklumkan, Masjid Penjara Kajang adalah lokasi terbuka yang dibenarkan untuk orang awam.
“Setiap minggu orang solat Jumaat. Pada malamnya, ada tazkirah yang dihadiri orang awam. Sepatutnya tak masalahnya?” kata Ronasina.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang dalam reaksinya selepas dihalang, kesal dengan tindakan pegawai penjara yang sengaja mengambil langkah konfrontasi dengan peserta perkhemahan.
“Kalau satu orang makmun dan satu imam pun dikira sebagai berjemaah. Buat apa bina masjid besar-besar?” katanya.
Semalam, Umar Mohamad, lulusan Diploma Keselamatan Industri yang kini menjalani latihan praktikal di Johor Bahru, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kerana dikatakan menghalang tugas penjawat awam.

1 comment :