BN
sedang menghadapi zaman getirnya. Lagi hampir pilihanraya sampai, lagi
banyak masalah yang timbul. Dalam ingin memenangi pilihanraya UMNO
mempunyai masalah berpuak-puak yang berusaha untuk memenangi puak yang
mereka sokong untuk ke hadapan. Dalam masa yang sama Najib sedang
menghadapi masalah peribadi yang besar hasil dari pembongkaran oleh
mereka yang rapat dengan beliau (Najib) dahulu tentang banyak perkara.
Isu Altantuya dengan akuan sumpah Bala Subramaniam dan
kenyataan-kenyataan Musa Hassan merupakan isu yang mencengkam pemikiran
Najib dan keluarga sekarang ini.
Masalah yang dihadapi Najib ini tidak pula mendapat sokongan dari
dalam UMNO sendiri kerana terlalu ramai dalam UMNO sendiri mahukan Najib
berundur selepas keputusan pilihanraya yang dijangka buruk diumumkan.
Ramai di dalam UMNO mahukan UMNO dan BN hanya memenangi jumlah kerusi
yang kurang dari apa yang didapati dalam pilihanraya yang lalu. Jika ini
berlaku maka mudahlah bagi ‘Raja Muda’ UMNO mengambilalih jawatan yang
disandang oleh Najib sekarang ini.
Najib nampaknya kesaorangan kerana dalam UMNO sendiri terlalu ramai
yang berkeyakinan UMNO akan tumpas dan jika mendapat kemenangan pun UMNO
akan hanya mendapat kemenangan tipis. Dalam kedua-dua situasi ini Najib
terpaksa berundur dan melepaskan semua jawatan dalam parti dan
kerajaan. Bagaimana situasi ini boleh berlaku, ia merupakan ulangan
sejarah dalam UMNO kerana perkara seperti ini sememangnya biasa berlaku
dalam parti itu.
Hanya kali ini perpecahan yang berlaku akan menjahanamkan UMNO buat
selama-lamanya kerana kekuatan Pakatan Rakyat yang menonjol dan jelas
mendapat dukungan rakyat berbilang kaum sekarang ini. Najib sebagaimana
yang saya sebutkan selalu, mempunyai musuh yang lebih ramai di dalam
UMNO itu sendiri daripada musuh di luar parti itu.. Najib sedang
berhadapan dengan musuh di hadapan beliau iaitu pihak pembangkang dan
musuh yang lebih merbahaya sekali, iaitu musuh beliau yang berada di
dalam UMNO itu sendiri.
Ramai di dalam UMNO itu sendiri sudah merasakan yang UMNO itu sudah
menjadi parti yang semakin hari semakin kurang mendapat keyakinan dari
ahli-ahlinya sendiri. Elemen yang akan menjatuhkan UMNO itu bukannya
disebabkan kekuatan pembangkang semata-mata, tetapi yang akan menjadikan
UMNO itu kecundang ialah kerana kekurangan keyakinan di kalangan
ahli-ahlinya sendiri.
Persoalan yang mesti kita bertanya kenapa UMNO itu semakin hari semakin tidak diyakini oleh ahli-ahlinya sendiri?
Salah satu dari sebabnya ialah kerana pucuk pimpinannya yang
mempunyai terlalu besar masalah yang terpaksa memikul ‘baggage’ nya yang
terlalu berat. Ahli-ahli UMNO yang pada asasnya tidak mempunyai daya
juang yang kuat akan mudah merasa rendah diri apabila mereka melihat
kemaraan Pakatan Rakyat yang semakain kuat dan di sebelah diri
masing-masing melihat masalah peribadi pucuk pimpinan mereka yang
terlalu besar.
Apa yang menjadi masalah lagi ialah, tidak ramai pimpinan UMNO itu
sendiri yang bingkas mempertahankan Presidennya sendiri kerana di dalam
hati mereka yakin yang isu-isu serta tuduhan terhadap Presidennya itu
ada asasnya dan mereka merasakan mempertahankan Najib itu akan
mencederakan kredibiliti mereka sendiri. Malahan ramai di antara mereka
tidak mahu di‘associate’kan dengan Datuk Najib dan lebih mempunyai
kecenderungan untuk mengaku untuk berpihak kepada Muhyiddin Yassin.
Di belakang tabir ramai di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri mahukan
banyak kerusi dimenangi oleh pembangkang kerana mereka tidak mempunyai
keyakinan yang Najib mampu memulihkan imej UMNO sebagai parti yang
mempunyai kredibiliti. Ramai juga di kalangan pemimpin UMNO yang
menangguk di air yang keroh untuk kepentingan peribadi mereka.
Menikam pimpinan dari belakang ini merupakan kemahiran ramai pimpinan
UMNO. Sekarang sejarah berulang sekali lagi. Datuk Hussein Onn terpaksa
mengumumkan tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO pada
Perhimpunan Agung 1981 selepas beliau di tandingi oleh Sulaiman Palestin
pada tahun 1978 dahulu. Sulaiman Palestin telah menandingi jawatan
Presiden UMNO pada tahun 1978 di atas permainan “Raja Muda’ UMNO semasa
itu untuk menekan Hussein berundur bagi ‘Raja Muda’ itu mengambil alih
jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Usaha ‘Raja Muda’ UMNO itu berjaya dan kejayaannya membaling batu
sembunyi tangan itu menempatkan beliau menjadi Presiden UMNO secara
percuma dalam tahun 1981 dan beliau telah mula memecahkan UMNO dengan
melagakan Tengku Razaleigh dan Musa Hitam dalam pertandingan jawatan
Timbalan Presiden UMNO dan inilah cara pemimpin yang saya selalu
sebutkan namanya di dalam blog ini bermain politik. Secara sistematik
beliau telah menghapuskan semua pemimpin yang berpengaruh dan mempunyai
‘consequence’ kepada negara dalam tempuh kurang dari sepuluh tahun.
Tiada siapa yang beliau was-was dan cemburui akan selamat di bawah
pimpinan orang ini.
Dalam permainan politik intra UMNO sekarang ini pun, beliau adalah
pemain utamanya dan jika diikutkan kehendak hatinya beliau mahukan Najib
berhenti dan memberikan kuasa kepada Muhyiddin. Itulah sebabnya saya
selalu berkata UMNO tidak perlu berdepan dengan pembangkang untuk
tumpas, tetapi UMNO wajar berperang sesama sendiri terlebih dahulu
sebelum berhadapan dengan pembangkang.
Dalam pada Najib terdesak dengan permainan ini beliau terpaksa tunduk
juga kepada pengaruh orang ini dan beliau (Najib) telah mengikut
telunjuk dan kerenah orang ini sehinggakan banyak kesempatan diambil
oleh keluaraga orang ini untuk mendapatkan peluang perniagaan secara
monopolistik dalam negara ini.
Selagi orang ini masih bercakap politik dan bercakap pasal UMNO
selagi itulah politik negara kita akan berkecamuk kerana keadaan
berkecamuk inilah yang di kehendaki beliau kerana situasi berpecah belah
UMNO itu akan meletakkan beliau sebagai orang penting kepada semua
pihak.
Mungkin UMNO akan selamat apabila beliau berhenti bercakap politik
yang membingungkan ramai orang itu. Tetapi apa pun samada beliau masih
bercakap politik atau tidak UMNO sudah tidak bermaya lagi untuk maju dan
eloklah begitu. Biarkan pihak lain pula yang mentadbir kita. Tidak ada
salahnya jika kita lakukan secara serius untuk perubahan itu, kerana
demokrasi membenarkannya.
-/ http://aspanaliasnet.blogspot.com/
0 Komen pengunjong :