Malaysia Muflis di bawah PR? Najib diminta cermin diri


KUALA LUMPUR : Berdasarkan rekod pentadbiran negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang terbukti cemerlang, tidak ada sebab Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menakut-nakutkan pengundi dengan dakwaan naif bahawa Malaysia akan muflis dalam tiga tahun jika PR mengambilalih Kerajaan Pusat.
Perkara yang sama dinyatakan pemimpin UMNO-BN ketika Kelantan mula ditadbir PAS pada 1990 dengan memberi tempoh hanya tiga bulan dapat bertahan, namun hingga sekarang sudah 22 tahun tetapi rakyat Kelantan terus beri kepercayaan kepada PAS memerintah negeri itu.
Malah, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, Malaysia akan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan melalui Belanjawan Alternatif PR 2013 yang dibentangkan.
“Najib perlu cermin diri kemampuannya daripada  terus membuat tuduhan liar yang tidak berasas kepada kebenaran terhadap PR.” katanya.
Dalam satu kenyataan, Pua berkata, bahawa Belanjawan Alternatif PR 2013 yang dirangka jelas menunjukkan perancangan perbelanjaan yang lebih berhemah berbanding Belanjawan 2013 BN.
“PR mencadangkan perbelanjaan sebanyak RM234 bilion dengan unjuran defisit 3.5 peratus, sebaliknya Belanjawan BN lebih membazir dengan peruntukan sebanyak RM252 bilion malah defisit yang diunjurkan lebih tinggi iaitu empat peratus,
“Saya hairan bagaimana najib menuduh bahawa defisit bajet Kerajaan Pusat akan melambung kepada hampir 30 peratus pada tahun pertama PR mengambil alih pentadbiran pusat. Ini satu tuduhan yang tidak masuk akal.” ujarnya.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, tuduhan Najib itu tidak berasas, sebaliknya negara akan muflis jika rakyat membiarkan BN terus meerintah negara.
Beliau berkata, contohnya, bagaimana Kerajaan BN memberi pelbagai alasan tidak munasabah untuk memungut semula hutang RM250 juta daripada projek lembu NFC membabitkan keluarga Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
“Perkara yang hampir sama berlaku apabila hutang Tan Sri Tajuddin Ramli sebanyak RM589.6 juta kepada Kerajaan Persekutuan dilupuskan tanpa sebab yang jelas dengan arahan Datuk Seri Najib,
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut menanggung RM140.2 bilion liabiliti luar jangka yang mana ia tidak termasuk hutang rasmi kerajaan berjumlah RM502 bilion. Ia antara lain disebabkan tindakan kerajaan BN menyelamatkan syarikat kroni seperti skandal PKFZ bernilai RM12.5 bilion,” jelasnya.
Beza kerajaan BN dan PR
Pua berkata, Kerajaan PR Selangor sudah membuktikan kejayaannya memulihkan peninggalan hutang yang dibuat ketika BN memerintah negeri itu sebanyak RM392 juta daripada Talam Corporation (Talam).
“Dasar telus yang diimplementasikan kerajaan negeri PR mendatang lebihan pendapatan berulang kali,
“Misalnya pada 2011, Pulau Pinang mencatatkan lebihan pendapatan sebanyak RM138 juta. Begitu juga dengan lebihan pulangan pendapatan negeri sejak 2008. Ia diakui sendiri oleh Ketua Audit Negara yang mengesahkan kenaikan 45 peratus lebihan pendapatan daripada RM124.2 juta pada 2010.
“Ini termasuk rizab perbendaharaan Selangor yang meningkat daripada sekitar RM400 juta pada 2008 kepada RM2.4 bilion pada 2012.” tambahnya
Pua berkata, dengan perbandingan itu, ternyata urus tadbir negeri PR jauh lebih baik dan berkelayakan memperkukuh ekonomi dan kewangan negara.
“Apa yang akan membawa negara ke arah bencana dan muflis adalah gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berterusan di bawah kerajaan BN. Rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dengan dakwaan tidak berfakta sebaliknya berdasar bukti,” tambahnya.

–/ Roketkini.com

0 Komen pengunjong :