SHAH ALAM - Sekumpulan mahasiswa dan aktivis berkhemah di luar kompleks
Penjara Kajang, Kajang malam ini bagi menuntut keadilan ekoran
keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas seorang
aktivis Occupy Dataran, Umar Muhammad Azmi hari ini.
Kumpulan itu memasang lima khemah di kawasan pintu masuk ke penjara sekitar jam 10.30 malam tadi.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang mendakwa
matlamat mereka berkhemah bukan bermaksud untuk memprotes, tetapi bagi
memaklumkan kepada umum bahawa hukuman yang dikenakan ke atas sahabat
mereka adalah tidak munasabah.
"Saya dan rakan-rakan akan berkhemah malam ini sehingga hari Isnin
iaitu hari sama Umar akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk
mengemukakan rayuan.
“Kami sebagai sahabat Umar turut bersolidariti bersamanya walaupun berada di luar penjara,” katanya ketika dihubungi
Sinar Harian Online hari ini.
Umar, 23, dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah
Majistret Kuala Lumpur berhubung kesalahan menghalang tugas penguat
kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lapan bulan lalu.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu ke atas Umar yang
juga merupakan pelajar tahun akhir sebuah kolej swasta dan hukuman
penjara selama sebulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Dalam penghakimannya, Zaki Asyraf berkata, tertuduh tidak sepatutnya
berada terlalu dekat dengan rakannya, Mohd Fahmi Reza untuk mengambil
gambar sehingga menghalang penguat kuasa DBKL menjalankan tugas.
Umar Muhammad didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam
iaitu pegawai penguat kuasa DBKL, Mohd Masran Mamat, 34, daripada
menjalankan tugas menangkap dan mengiringi Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin,
35, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada jam 8.05 pagi, 22 April lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000
atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Safwan menambah, Adam Adli dan Abby Abadi merupakan antara beberapa individu yang hadir memberikan sokongan.
"Sokongan Abby yang susah payah datang benar-benar buat kami terharu.
"Kami benar-benar tidak menyangka terharu orang ramai termasuk beberapa
ahli PSM yang prihatin sudi bersama kami dalam perjuangan ini," katanya
lagi.
Sehingga jam 10.45 malam tadi, jumlah orang yang hadir beri sokongan telah meningkat 100 orang, ujar Safwan.
0 Komen pengunjong :