KUALA
LUMPUR — Hukuman penjara satu bulan terhadap mahasiswa yang
menyertai “Occupy Dataran”, Umar Mohd Azmi membuktikan sistem keadilan
jenayah masih buruk, kata ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang.
Veteran DAP itu berkata, walaupun Datuk Seri Najib Razak menjadi
Perdana Menteri, sistem keadilan jenayah di Malaysia masih buruk di
bawah empat tahun pemerintahan Najib.
“Hukuman penjara satu bulan berserta dengan denda maksimum RM1,000
terhadap mahasiswa yang menyertai “Occupy Dataran” Umar Mohd Azmi telah
menjadi peristiwa menggemparkan negara juga antarabangsa kerana
benar-benar merupakan satu peringatan dahsyat dan memeranjatkan.
“Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-13 bahawa meskipun terdapat
laungan slogan tentang program transformasi kerajaan, ekonomi,
pendidikan, sosial dan politik, sistem keadilan jenayah di Malaysia
masih teruk di bawah empat tahun pemerintahan Datuk Seri Najib Razak,”
kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang kini berada di Sydney, Australia berkata, jika bukan
kerana beliau berada di luar negara, beliau akan melawat khemah protes
pelajar di Penjara Kajang.
“Mengapa Umar dikenakan hukuman yang berat dengan denda maksimum
RM1,000 berserta satu bulan penjara, sekiranya hukuman maksimum untuk
kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang
kakitangan awam menjalankan tugas mereka adalah maksimum tiga bulan
penjara atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali?
“Sebab itu perlunya pertukaran kerajaan Persekutuan di Putrajaya
dalam pilihan raya umum ke-13 yang bakal menjelang kerana negara
dipenuhi dengan kes-kes yang mana keadilan jenayah benar-benar teruk
seperti kes Umar,” katanya.
Menurut Lim, ini adalah bukti kegagalan nyata sama ada di bawah Najib
atau Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk melakukan perubahan ke atas sistem
keadilan jenayah selepas kebinasaan sistem kehakiman hasil tangan 22
tahun pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Banyak kes yang tidak selesai melibatkan skandal-skandal besar
memperlihatkan ketidakadilan di dalam negara, sama ada pembunuhan warga
Mongolia Altantuya Shaariibuu, pembunuhan Teoh Beng Hock di premis SPRM
atau kematian misteri dan pembunuhan ketika di dalam tahanan seperti V
Kugan,” katanya lagi.
Beliau menyatakan sokongan khemah protes di luar Penjara Kajang yang
didirikan oleh aktivis mahasiswa, dan menyamakannya dengan mogok lapar
18 hari bebas anaknya, Lim Guan Eng 14 tahun lalu di Kajang – dimana
Guan Eng mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur,
mengakibatkan terbatalnya kelayakkan beliau sebagai Ahli Parlimen dan
dihalang daripada bertanding selama lima tahun selepas dibebaskan dari
Penjara Kajang.
“Saya menyokong khemah protes di luar Penjara Kajang yang didirikan
oleh aktivis mahasiswa, dan terdapat kes yang kuat untuk khemah protes
itu berterusan selagi mana Umar masih dipenjarakan dengan tidak adil di
dalam Penjara Kajang,” katanya lagi.
Umar dipenjara sebulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret
hari ini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menghalang
penjawat awam menjalankan tugasnya.
Majistret Zaki Asyraf Zubir memerintahkan Umar, 23 tahun, menjalani hukuman penjara itu bermula semalam.
Zaki turut memerintahkan hukuman sebulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.
Pada 23 April lalu, Umar didakwa dengan sengaja menghalang seorang
pegawai penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Masran
Mamat, menjalankan tugasnya untuk menangkap seorang lelaki.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini pada jam 8.05 pagi.
Umar didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau
kedua-duanya sekali.
0 Komen pengunjong :