KUALA
LUMPUR, 10 DISEMBER: Bukan setakat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak yang terpaksa bekerja keras memastikan Barisan Nasionl (BN)
memperoloehi majoriti dua pertiga pada PRU-13, tetapi Tun Dr Mahathir
Mohamad juga turut berbuat demikian.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, berkata Dr Mahathir yang
sudah bersara akhir 2003 selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri juga
terpaksa bekerja keras kerana bimbang Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.
Katanya, semalam, Mahathir berada di Sik untuk mengingatkan ahli UMNO
bagi menghilangkan rasa tidak puas hati terhadap calon yang dipilih
kepimpinan tertinggi UMNO/BN jika mahu lihat UMNO/BN kekal berkuasa
selepas PRU-13.
Mahathir meminta ahli UMNO mengenepikan perbezaan dan memberi
sokongan penuh kepada calon UMNO/BN yang terpilih kerana keutamaan
sepatutnya untuk memastikan kejayaan supaya BN dapat menang besar dan
membentuk kerajaan yang kuat.
“Perkara itu amat luar biasa tetapi kebiasaan Mahathirism yang mana
Mahathir perlu memberi amaran mengenai penyakit “Melayu mudah lupa”
sebagai punca tidak puas hati di dalam UMNO sehingga tidak menyokong
calon yang terpilih, sedangkan Mahathir sendiri adalah gambaran terbaik
penyakit “Melayu mudah lupa” apabila giat berkempen menentang Tun
Abdullah sebagai Perdana Menteri pada PRU 2008,” katanya.
Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP berkata, jelas pada Mahathir,
yang BN berada di hujung tanduk pada PRU-13 bukan soal jawatan Perdana
Menteri Najib tetapi legasi Mahathir, dan tiada keraguan lagi yang mana
satu akan mendapat keutamaan sekiranya berlaku pertembungan antara
jawatan Perdana Menteri Najib dan legasi Mahathir.
“Itu sebabnya mengapa rakyat Malaysia mendapati kenyataan Najib dalam
wawancara bersama Malay Mail Jumaat lalu bahawa beliau memerlukan
mandat daripada pengundi untuk mereformasikan UMNO adalah mengejutkan.
“Pertama, hal itu terkena pada diri sendiri dalam Ucapan Dasar
Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 sepuluh hari lalu, mengakui
kegagalan UMNO/BN pada PRU ke-12 2008 adalah “isyarat jelas rakyat
Malaysia kepada UMNO dan rakan dalam BN untuk berubah, sesuai dengan
selera, aspirasi dan jangkaan rakyat,” katanya.
Apabila Najib mengatakan beliau memerlukan mandat pengundi pada
PRU-13 untuk mereformasikan UMNO, sebenarnya Najib mengakui dia gagal
mereformasikan UMNO meskipun “isyarat jelas” daripada rakyat pada PRU-12
bahawa UMNO mesti berubah – sebab yang mencukupi mengapa UMNO/BN mesti
diganti dengan Pakatan Rakyat di Putrajaya pada PRU-13.
“Jika UMNO/BN mendapat majoriti dua pertiga pada PRU-13, jumlah
kerusi Parlimen Pakatan Rakyat akan berkurang sekurang-kurangnya lapan
kerusi, iaitu 74 daripada 82 kerusi yang dimenangi pada PRU-12 , memberi
BN majoriti sekurang-kurangnya 74 kerusi.
“Bagaimanapun, sekiranya Pakatan Rakyat boleh memenangi majoriti yang
banyak melalui empat juta pengundi atas pagar dalam daftar pemilih yang
terdapat lebih 13 juta pengundi – terdiri daripada tiga juta pengundi
baru dan satu juta pengundi atas pagar daripada PRU-12 – Pakatan Rakyat
mampu mengalahkan UMNO/BN dan mendapat majoriti lebih 20 kerusi
parlimen,” ujarnya.
Kit Siang berkata, dalam senario terbaik itu, kemungkinan pembahagian
kerusi Pakatan Rakyat di dalam Parlimen adalah 45 untuk PKR manakala
DAP dan PAS masing-masing mendapat 40 kerusi – memberikan Pakatan Rakyat
majoriti kecil 28 kerusi.
Bagaimanapun, parti Pakatan Rakyat mesti berkerja keras untuk
memenangi pengundi atas pagar, memandangkan perkembangan beberapa bulan
ini memberi sebab untuk pengundi atas pagar mula berasa ragu-ragu sama
ada parti Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP
betul-betul komited terhadap Kerangka Dasar Bersama PR dan Buku Jingga.
Keraguan yang diekploitasi habis-habisan oleh media perdana BN dan
cybertrooper,
perlu diatasi segera atau Pakatan Rakyat akan kehilangan peluang
keemasan untuk memenangi Putrajaya pada PRU-13 dengan mudah.
–/
Roketkini.com
0 Komen pengunjong :