Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata ada peluang yang baik
bagi Pakatan Rakyat pimpinannya untuk menggantikan kerajaan BN pimpinan
Perdana Menteri Najib Razak, yang disifatkannya sebagai "autoritarian"
dan jauh ketinggalan di belakang kebanyakkan negara-negara Tengah Timur
yang baru-baru ini mengalami perubahan rejim kerana rakyat mereka
bangkit menuntut berakhirnya pemerintahan yang mengamalkan rasuah dan
zalim.
"Kita mempunyai jangkaan yang realistik, saya berani mengatakannya.
Dalam pilihan raya 2008, kita telah menang majoriti mudah sebanyak 51%
daripada undi. Kita kalah di negeri-negeri Sabah dan Sarawak terutamanya
di kalangan suku kaum pribumi. Sejak 4 tahun yang lalu, kita telah
bekerja keras dan dapat menembusi kawasan tumpuan luar bandar …jadi
sudah tentu, kemungkinan itu ada, "Anwar berkata semasa temu bual dengan
Al Mayadeen TV dari Beirut yang dirakam di Kuala Lumpur pada 20
November yang lalu dan telah disiarkan pada 12 Disember.
Kepelbagaian - kekuatan PR, bukan kehancuran
Ketua de facto Parti Keadilan Rakyat yang berusia 64 tahun itu
menolak kemungkinan bahawa gabungan tiga parti, PR mungkin berpecah
akibat perbezaan ideologi politik selepas tamatnya pilihanraya umum. PR
terdiri daripada PKR parti berbilang kaum, PAS yang Islamik dan DAP yang
sekular.
Anwar mendakwa kepelbagaian akan menjadi kekuatan PR dan bukan memusnahkannya.
"[Kami terdiri dari] PKR, parti Islam [PAS] dan DAP yang diasaskan
oleh kaum Cina, kami terdiri dari pelbagai latar belakang. Satu lebih
kepada sekularisme dan satu lagi Islam. [Tetapi] kita mempunyai garis
panduan dasar yang jelas, apa yang kita maksudkan dengan kebebasan
bersuara, badan kehakiman, suara hati dan dasar ekonomi yang mesti
menggalakkan pertumbuhan, mesti berpendirian teguh dalam melaksanakan
keadilan, kesaksamaan dan pengagihan yang saksama dan ... Islam adalah
agama rasmi Malaysia tetapi ia masih memastikan kebebasan menyeluruh
untuk rakyat bagi mengamalkan kepercayaan mereka, "kata Anwar.
PAS tidak ekstimis
Beliau juga menolak dakwaan bahawa PAS adalah radikal.
"Saya telah bekerjasama dengan parti Islam ini dan tidak wajar untuk
mengatakan bahawa mereka adalah radikal kerana mereka telah bersetuju
dengan platform dasar am ini [mengenai pelbagai isu termasuk] ... isu
jantina, dan juga kebebasan beragama."
"Sebagai umat Islam, kita menerima Syariah, kita menerima Al-Quran.
Kami menerima bahawa dakwah, dan mesej kita harus diwakili ... Saya
berpendapat kita tidak harus menafikan rakyat daripada berbincang
tentang Islam atau negara Islam atau 'hudud' (jenayah undang-undang
Islam). Sepertimana kita tidak boleh menghalang orang daripada bercakap
tentang sekularisme atau undang-undang secular. Konsensus kami adalah
No.1, kita terikat kepada perlembagaan dan No 2. kita mesti membuat
konsensus sebelum kita memulakan sebarang rancangan atau program baru.
Jadi saya tidak terlalu bimbang tentang hasilnya. "
Anak-anak Mahathir adalah billionaire!
Seorang bekas timbalan perdana menteri, kerjaya politik Anwar
tiba-tiba hancur pada tahun 1998 apabila bekas bos beliau Mahathir
Mohamad memenjaranya atas tuduhan meliwat yang direka dan tuduhan rasuah
yang telah pun digugurkan oleh mahkamah tinggi negara.
Anwar berkata kekurangan suara Pembangkang yang kuat pada masa itu
menyumbang kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam pentadbiran
pemerintah, dan sesiapa sahaja yang mengambil pendirian yang berbeza
akan dianggap mencabar status quo.
"Dr Mahathir banyak menjalankan program yang baik. Saya ada
bersamanya, saya merupakan sebahagian daripada pasukan itu tetapi
anak-anaknya adalah bilionaire," kata Anwar.
"Itulah masalahnya dengan diktator dan anda mungkin sudah biasa
dengan yang ada di Timur Tengah. Mereka seolah-olah berfikir bahawa
apabila mereka memusnahkan seorang, mereka boleh menghentikan yang
lain. Mereka telah terbukti salah."
Beliau mengutuk tindakan Mahathir dan parti pemerintah Umno yang
terus mengganggu beliau dan keluarganya walaupun setelah "memukul saya
sehingga separuh mati", memenjarakannya selama 6 tahun, dimana dia
selalunya menghabiskan masa di dalam sel yang berasingan.
"Mereka menggambarkan saya sebagai sejahat-jahat manusia. Satu masa
saya menjadi pelampau Islam, hari lain, saya orang CIA, pro-Israel,
selepas itu saya seorang peliwat pula," kata Anwar.
Jangan pandang rendah kebijaksanaan rakyat
Dia bersetuju dengan keputusan kaji selidik baru-baru ini yang
menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang masih merasakan bahawa
hubungan antara etnik telah menurun sebanyak 12% antara 2006 dan 2011,
dan bilangan rakyat Malaysia yang percaya bahawa perpaduan etnik adalah
baik juga menurun daripada 54%kepada 35% berbanding tempoh yang sama,
mendakwa ia sebagai "anjakan yang ketara dalam pemikiran rakyat
Malaysia" yang telah memberi manfaat kepada pakatannya dan merugikan
populariti pentadbiran Najib pula.
"Hasil kaji selidik itu membantu untuk mengukuhkan kedudukan bahawa
di bawah pentadbiran ini, kerajaan yang sering memainkan isu-isu
perkauman, ketuanan Melayu, hak-hak Melayu, memburukkan orang lain,
‘berhati-hatilah pada negeri di bawah kami kerana ia telah
dikristiankan’ – apabila kami bertanya di mana dan apakah buktinya?
Tiada."
Walaupun begitu beliau optimis tentang Kebangkitan Arab, menjelaskan
bahawa kemunculan 'kuasa rakyat' telah memberi kesan negatif yang
dialami di beberapa negara di mana rejim baru telah bertukar menjadi
autoritarian sepertimana pemerintah sebelumnya yang telah digulingkan.
Anwar begitu yakin bahawa semangat untuk tidak membenarkan
pemerintah-pemerintah yang korup untuk terus memerintah akan meresap ke
dalam Malaysia pada pilihan raya umum yang akan datang yang
berkemungkinan besar akan diadakan menjelang Mac 2013.
"Hampir semua media di sini tidak mempunyai ruang untuk perbezaan
pendapat atau Pembangkang. Saya tidak diberi walau seminit pun atau masa
ke udara. Semua dihalang. Tetapi anda tidak boleh memandang rendah
akan kebijaksanaan rakyat kerana bagaimana anda boleh mengharapkan
mereka untuk menjatuhkan diktator, rejim kejam? Rakyat mempunyai kuasa
itu. Jadi kita perlu bekerja keras untuk melibatkan diri. Perkembangan
di dunia Arab -. revolusi rakyat - memberi pengaruh yang besar terhadap
rakyat, pelajar-pelajar mengikuti perkembangan terutamanya di Timur
Tengah, Mesir untuk memahami mengapa ia berlaku. Mengapa rakyat
tiba-tiba bangkit untuk menolak rasuah dan penyalahgunaan hak kebebasan
dengan sekatan? "
Malaysia ketinggalan dibelakang
Beliau juga menegaskan bahawa 'perubahan' yang dituntut oleh penunjuk
perasaan Kebangkitan Arab telah menyebabkan banyak perkembangan positif
bagi negara masing-masing. Walaupun ia akan mengambil masa untuk kesan
sepenuhnya terungkap dan membuahkan hasil positif, keberanian rakyat
dalam berdiri untuk reformasi sudah membantu negara mereka selangkah
jauh dari Malaysia.
"Dahulu kita lebih baik tetapi saya fikir bila kita melihat Tunisia,
Mesir, Turki dan semua masalah yang mereka hadapi, saya tidak
memperkecilkan itu, tetapi mereka jauh di hadapan kita. Mereka mempunyai
media yang bebas, mereka mempunyai pilihan raya yang adil dan bebas dan
mereka cuba untuk menjadikan badan kehakiman mereka bebas dan
berfungsi. Mereka mengambil pelbagai langkah dalam meminda undang-undang
di Tunisia. Walaupun ia adalah satu proses ... ia sememangnya perlahan
dan akan kesilapan pasti terjadi, ia jauh lebih maju dan progresif
daripada apa yang kita lihat di sini, "kata Anwar.
"Dari segi ekonomi, kita lebih bernasib baik. Kita lebih maju dari
segi perindustrian,dan penyediaan infrastruktur. Saya fikir kita perlu
beralih kepada isu-isu kebebasan dan pencerahan budaya."
Diktator & autoritarian MESTI PERGI!
Mungkin dengan Mahathir yang semakin tua, dan dituduh masih gila
kuasa, Anwar menyuarakan kritikan terakhirnya. Kebangkitan Arab atau
pemberontakan rakyat walaupun mempunyai kekurangan serta rintangan
adalah isyarat muktamad bahawa lembaran baru, walaupun sukar dan payah,
telah bermula di Timur Tengah dan akan merebak ke negara-negara
membangun yang lain termasuk Malaysia, katanya.
"Pemerintahan dunia baru sudah tentu sangat relatif sama ada anda
melihatnya dari Washington, London atau Paris. Jika anda melihatnya dari
segi perubahan yang baik, ia adalah diluar jangkaan. Tiada siapa yang
waras akan mengatakan ia tidak dialu-alukan, ia memang menyakitkan,
proses itu sendiri menyakitkan dan sekejam mana pun yang kita lihat di
Syria sekarang, ia sememangnya satu proses ke arah reformasi demokrasi,
dan kebebasan. Sesuatu yang positif. Diktator dan autoritarian mesti
pergi, tiada persoalan lagi. Anda mesti mempunyai keabsahan untuk
menyuarakan dasar dan memimpin rakyat," jelas Anwar.
-/ Malaysia Chronicle
0 Komen pengunjong :