Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno kini berada
dalam keadaan "sasau, meroyan dan nyanyuk" sehingga sanggup memainkan
pelbagai dakwaan termasuk hubungan dengan Yahudi dan Israel serta
kenyataan anaknya, Nurul Izzah yang didakwa menyokong murtad.
"Umno
kini sasau, meroyan dan meracau... Sebabnya (mereka) tidak ada benda
yang hendak dipertahankan. Kalau ikut negeri dan pembangunan, negeri
Pakatan Rakyat lebih membangun. Bersih lagi (pentadbiran) kita.
"Yang
ada (pada mereka) fitnah. Kalau rakyat sudah termakan fitnah, padahnya
punah ranahlah negara kita. Kita (kena) selamatkan negara kita, umat dan
negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang," kata Anwar yang
juga ketua umum PKR.
Apatah lagi, katanya, rakyat kini memberi
sambutan pada janji Pakatan yang ditawarkan termasuk pendidikan percuma,
mengembalikan royalti kepada negeri yang berhak dan menurunkan harga
kereta, sekiranya gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya.
Berucap
di hadapan kira-kira 50,000 hadirin dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat
di Stadium Mohamad ke-IV di Kota Bharu malam tadi, Anwar menempelak
pemimpin BN yang mendakwa negara akan muflis jika Pakatan Rakyat
mentadbir negara ini.
Ketua pembangkang itu menegaskan dakwaan
tersebut tidak benar memandangkan terbukti sebelum ini hutang negeri
Kelantan yang ditinggalkan oleh Umno sebelum ini, dibayar oleh Menteri
Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Malah, terkini berlakunya lebihan
pendapatan kerajaan negeri Selangor sebanyak RM2.4 bilion dan Pulau
Pinang sebanyak RM2 bilion kerana dipimpin oleh Pakatan Rakyat.
"Jadi
MB tak pandai sebab lebihan pendapatan?" soal Anwar sambil menjelaskan
hutang kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Najib Tun Razak kini
mencecah RM538bilion.
Merujuk ucapan Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang sebelum itu yang menekan soal etika, sistem nilai dan
tatakelola kerajaan, Anwar yakin Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya
sekalipun pilihan raya umum diadakan pada Disember atau Januari tahun
depan.
Sementara itu, Abdul Hadi pula cuba meyakinkan puluhan
ribu penonton di stadium itu mengenai kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat
jika mentadbir Putrajaya dengan adil, amanah dan bersih.
"Kalau
ada rasuah, tolong tangkap, ambil tindakan. Kami tidak mahu pemimpin
kerajaan yang rasuah," katanya sambil menegaskan rakyat, harta negara
dan pentadbiran adalah amanah dan Allah melaknat orang yang mengamalkan
rasuah.
Mengulas mengenai kerajaan yang adil, Abdul Hadi memberi
contoh pentadiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang menulis surat kepada
gabenornya yang gagal bersikap adil atau berdepan risiko dipecat.
"Negara
lain, kalau pemimpin mereka silap, akan dipecat. Seluruh dunia berlaku,
kita bila lagi. Pecat kerajaan yang ada, gantikan dengan kami, Pakatan
Rakyat. Kita laksana pentadbiran yang baik," katanya.
Turut hadir
dalam himpunan tersebut, Mursyidul AM PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat,
Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang serta
wakil NGO BERSIH, ANAK, Lynas dan Royalti.
0 Komen pengunjong :