Tamatkan riwayat politik BN, kata Anwar

Anwar (dua, kanan) sambil diapit Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat mendengar ceramah Saifuddin malam tadi.
 
KEMAMAN – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat menamatkan riwayat pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi mengelak kekayaan negara terus dimonopoli oleh individu tertentu.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR mendakwa bahawa semua jenis perniagaan di negara ini dikuasai oleh dua tokoh perniagaan yang rapat dengan Umno dan BN.

“Cukuplah! Saya minta tolong (rakyat) tamatkanlah riwayat pemerintahan Umno dan BN,” katanya ketika berucap menyampaikan ceramah pada program Jelajah Merdeka Rakyat di Dataran Tok Guru Geliga dekat sini, malam tadi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail turut berceramah pada program tersebut.

Anwar turut menyifatkan ceramah berkenaan mendapat sambutan sangat luar biasa apabila kira-kira 5,000 masyarakat setempat membanjiri tapak ceramah.

Kata beliau, kebanjiran orang ramai itu juga menggambarkan berlakunya kebangkitan rakyat di negara ini, sekaligus memberi keyakinan kepada PKR dan Pakatan Rakyat (PR) untuk menakluk Putrajaya pada PRU13.

“Kita (kini) lebih yakin untuk takluk Putrajaya dan kita juga kena tawan semula Parlimen Kemaman dan serta merampas empat Dun di kawasan Kemaman ini.

“Saya tidak bimbang dengan kedudukan PKR dan PR sekarang sebab majoriti anak muda sokong kita,” katanya lagi.