KOTA BHARU- Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
menggesa ahli parti melakukan tindakan secara terancang bagi melawan
serangan "taufan wang" yang bakal digunakan Umno BN menjelang Pilihan
Raya Umum Ke-13.
Beliau berkata, PAS akan berdepan dengan ujian getir iaitu rakyat
dipujuk dengan wang, projek dan sebagainya, selain daripada pelbagai
cara penipuan yang menjadi senjata utama Umno BN.
"Petugas PAS perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun
terganggu oleh strategi BN melambat-lambatkan PRU, sebab penundaan
tarikh-tarikh PRU adalah sememangnya strategi BN untuk menurunkan moral
serta melemahkan kedudukan kewangan kita, selain dari mereka juga cuba
memancing isu yang akan memerangkap kita.
"Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan berdepan dengan tiupan api
perkauman dan ketegangan oleh media arus perdana yang menjadi perkakas
dalam mempertahankan kerakusan kerajaan Umno BN. Teguhlah dengan jemaah,
nescaya kita akan terus selamat dan mampu menghadapi dengan cabaran
ini," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar
Tahunan PAS Ke-58 yang bertema 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' di
Putik, dekat sini, hari ini.
Dewan Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati yang datang
dari seluruh negara untuk mengikut dan menyertai muktamar terakhir
menjelang pilihan raya umum ke 13.
Terdahulu, Ustaz Hadi menerima tabik hormat dari pasukan Unit Amal serta dipersembahkan dengan kawad kaki dari Briged Amal.
Persiapan rapi
Ustaz Hadi turut meminta ahli membuat persediaan rapi menjaga
Parlimen atau Dun masing-masing bagi menghadapi musuh yang amat licik.
Tambah beliau, petugas juga perlu bersedia menangani kedatangan
orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi
tidak menzahirkan sokongan kerana menghormati ibu bapa mereka yang masih
menyokong Umno.
"Sikap orang muda sekarang amat berbeza dengan generasi terdahulu.
Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang mencaci-cela orang,
mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli, mereka mahukan
pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan dan bukan
sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana sentiasa
berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook, blog, sms dan
lain-lain," katanya.
Kerusi
Selain itu katanya, PAS juga harus memenangi sebanyak mungkin kerusi
yang diamanahkan kepada parti itu dengan keutamaan mempertahankan semua
kerusi Parlimen yang telah dimenangi dalam PRU 2008 (24 kerusi).
"Kerusi parlimen yang lain akan diberikan suntikan kerja yang
tersusun dengan disokong oleh pimpinan pusat yang diamanahkan tugas
tumpuan ini, semua parlimen yg ditandingi PAS di Sabah dan Sarawak akan
juga diberi tumpuan khusus bagi menjamin kemenangan bersama," katanya
lagi.
Justeru tegasnya, media parti seperti Harakah dan Harakahdaily
bersama-sama jentera penerangan parti mesti bertindak membentuk fikrah
dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah
distrategikan.
"Tempoh yang ada ini wajar dimanafaatkan sepenuhnya untuk
menyampaikan maklumat pencapaian pemerintahan kerajaan kita kepada
ahli-ahli kita, yang kemudiannya akan menyampaikannya kepada rakyat yang
menjadi pengundi senyap dalam pilihanraya. Konsep mendahulukan
kebijaksanaan daripada kemusnahan atau kemarahan hendaklah diutamakan,"
katanya.
Memandangkan pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang
melibatkan perang siber, persiapannya bukan lagi seperti pilihan raya
yang pernah dilalui sebelum sebelum ini.
Sebaliknya, petugas di semua peringkat mesti melakukan reformasi cara
bekerja dengan menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
terutamanya dalam menghadapi fenomena perang siber menerusi media baru
ICT sekarang ini.
"Kerjasama penerangan dan ICT perlu diperkukuhkan segera untuk
menghadapi PRU-13 ini dengan mewujudkan satu urusetia berkaitan media
baru sebagaimana yang diresolusikan dalam Persidangan ICT dan Media Baru
2011 pada tahun lepas.
"Saya menyeru kepada semua pimpinan PAS terutamanya yang terlibat
dengan Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya disemua peringkat
melihat potensi ICT dan Media Baru ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk
tujuan kempen dan dakwah melalui laman sesawang, youtube, facebook,
twitter, webtv, selain dari ceramah dan bahan-bahan media cetak,"
katanya.
0 Komen pengunjong :