Bersedia menghadapi provokasi dari BN menjelang PRU 13


PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan ahlinya bersedia menghadapi provokasi dan BN menjelang pilihanraya umum ke 13.
“Saya arahkan petugas dan ahli PAS bersiap siaga di tahap paling tinggi untuk berdepan dengan mainan nakal dan provokasi media dan BN untuk melagakan pemimpin PAS.
“Mereka mahu memporakperanda PAS,” katanya ketika menyampaikan ucap utama di muktamar parti ke 58 di Kota Baru hari ini.
Berikutan Presiden PAS itu meminta ahli dan petugas pAS supaya jangan mundur dan keliru dengan kenyataan media sebaliknya mendengar kenyataan rasmi dari pemimpin PAS.
Abdul Hadi juga mengarahkan parti mengekalkan semua kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya umum lalu.
Selain itu PAS, tambahnya cuba memenangi seberapa banyak kerusi yang diamanahkan bertanding dalam PRU 13.
“Tumpuan khas akan diberi kepada kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.
Abdul Hadi juga mendakwa,  strategi BN melambat-lambatkan pilihanraya adalah untuk melemahkan kedudukan kewangan selain cuba memancing isu yang akan memerangkap PAS.
‘Kerakusan kerajaan BN’
“Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh media arus perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan Umno – BN,” kata beliau lagi.
Beliau juga mengarahkan petugas PAS juga perlu bersedia menangani kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan kerana menghormati ibu bapa mereka yang masih menyokong Umno.
“Sikap orang muda sekarang amat berbeza dengan generasi terdahulu.
“Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang mencaci-cela orang, mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli, mereka mahukan pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan dan bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook, blog,  SMS dan lain-lain,” katanya.
Pada pilihanraya 2008, PAS menang 24 kerusi Parlimen dan merampas kerajaan negeri Kedah dan Perak selain mengekalkan Kelantan yang diperintah sejak 1990.
Bagaimanapun, BN merampas semula Perak selepas tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada BN.

0 Komen pengunjong :