BATU PAHAT:
PAS Johor mengambil pendekatan untuk 'menjohorkan' PAS di negeri ini
dengan menjadikan seluruh aktiviti dan tindak tanduk para pemimpin dan
ahlinya sesuai dengan sosiobudaya orang Johor.
Pendekatan ini disepakati oleh pimpinan PAS Johor dalam konvensyennya
yang diadakan di Markas PAS Parit Sulong dekat sini semalam.
"Ada dua pendekatan, kita men'johor'kan PAS atau mem'pas'kan Johor.
Rasanya yang tepat adalah men'johor'kan PAS iaitu dengan kita di negeri
ini mengamalkan budaya orang Johor kerana sememangnya kita orang Johor.
"Dengan cara inilah, kita akan bersama masyarakat dan seterusnya
memimpin mereka menuju perubahan," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr
Mahfodz Mohamad ketika menggulung perbahasan di Konvensyen PAS Johor.
Pandangan yang beliau mula cetuskan dalam ucaptama konvensyen ini turut
disokong oleh para peserta konvensyen ini ketika mereka membahaskan
ucapan beliau itu.
Melalui pendekatan ini, katanya, pemimpin
PAS di semua peringkat perlu meraikan dan memimpin semua aktiviti orang
Johor termasuklah majlis membaca Yassin yang dipanggil Yasinan di Johor,
marhaban, berzanji dan sebagainya.
"Masa saya nak kahwin dulu, saya dipaksa berzanji. Lalu terpaksalah saya belajar berzanji sampai pandai. Tetapi lepas itu lupa.
"Lepas ini kita mesti berzanji dan memimpin pasukan berzanji, masuk
pasukan rewang (gotong royong kenduri) dan memimpinnya, memimpin tahlil.
"Saya rasa kita ada kelebihan ini. Misalnya, bila tahlil, pemimpin Umno
takut nak dekat sebab mereka tak pandai. Jadi kita kena mengambil
kesempatan ini.
"Inilah yang dinamakan men'johor'kan PAS," kata Dr Mahfodz ketika menggulung perbahasan konvensyen itu.
Semasa memberikan ucapan dasarnya di konvensyen itu, Dr Mahfodz telah
membentangkannya sebagai salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh
PAS di Johor untuk membolehkan PAS diterima dan seterusnya menang.
Untuk itu, katanya, PAS di Johor tidaklah perlu membawa budaya dari
luar yang diamalkan oleh pemimpin dan pengikut PAS untuk mem'pas'kan
Johor.
Cukup sekadar mengamalkan budaya orang-orang Johor yang
sebenarnya tidak bertentangan dengan Islam bahkan jelas ciri-ciri
Islamnya.
PAS
Johor juga, katanya, sedang mengkaji tentang kesenian yang diamalkan
oleh rakyat Johor untuk turut diamalkan atau diterima oleh PAS sekiranya
tidak bertentangan dengan Islam.
"Kuda kepang, ghazal dan
tarian zapin...saya telah meminta Dewan Ulamak untuk mengkajinya.
Mengikut kata Ketua Dewan Ulamak Johor, tidak salah asalkan tidak
bercampur dengan pujaan iblis dan syaitan kepada sesetengah upacaranya,"
kata Dr Mahfodz.
Semasa memberikan ucaptamanya, Dr Mahfodz berkata, PAS perlu
memaplikasikan sepenuhnya strategi 'menjohorkan' PAS dalam membina
jambatan untuk masyarakat.
"Menjohorkan PAS adalah dalam ertikata kita mengekalkan sosiobudaya Melayu di samping kita berjuang bersama PAS," katanya.
Beliau menggariskan tujuh ciri-ciri 'menjohorkan' PAS yang perlu dipertimbangkan.
Ia termasuklah meraikan budaya rakyat Johor (seperti yasinan, marhaban,
rewang/kedarat dan tahlil), budaya kesenian popular rakyat (seperti
ghazal, tarian zapin dan kuda kepang), budaya berpakaian (baju melayu
teluk belanga, baju kurung Johor dan songkok tinggi Johor).
Selain itu, budaya makanan tradisional (asam pedas, nasi ambeng, laksa
Johor, soto, ketupat dll), institusikan kerja kebajikan, budaya
engagement dengan masyarakat Melayu dan meraikan budi bhasa Melayu Johor
(misalnya menerang bukannya menyerang, memuji bukannya mengeji) dan
lain-lain lagi.
0 Komen pengunjong :