“Kapal” wang ihsan karam di Sungai Kelantan



KOTA BHARU: “Kapal” yang membawa wang ihsan hasil petroleum di Kelantan karam di Sungai Kelantan bersama gambar Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Kapal replika hasil kreatif aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R Malaysia) dipasang layar yang memaparkan tulisan Tolak Wang Ihsan, Tolak Jawatankuasa Khas dan Tolak Penderhaka.

Replika tersebut dilepaskan Naib Presiden R, Abu Samah Hassan sambil disaksikan Presiden R Malaysia, Nazri Deraman dan aktivis R.

Majlis bersejarah itu berlangsung di sebuah restoran terapung di Sungai Kelantan di Bandar Baru Lembah Sireh turut dirakam lensa-lensa kamera wartawan.

Nazri berkata, wang ihsan yang diumumkan Perdana Menteri dibayar kepada kerajaan Pahang ialah wang royalti berdasar kepada perkiraan kadar 5 peratus setahun dan bukannya wang ihsan.

“Berdasar pengiraan R, jumlah wang royaltu yang sepatutnya Pahang terima ialah RM102.65 setiap tahun, bukannya RM100 juta setahun berdasar harga minyak mentah semasa.

“Ini bermakna Perdana Menteri telah menggunakan formula bayaran tunai atau royalti untuk mengira jumlah pemberian wang ihsan kepada Pahang,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Menurutnya perkataan wang ihsan hanyalah istilah politik yang cuba menafikan hak kerajaan Terengganu pada 2000 dan Kelantan sekarang.

“Begitu juga nasib Kelantan pada 2010 di mana kerajaan memberi wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan bagi menafikan hak kerajaan Kelantan mendapat royalti,” ujarnya.

Kata beliau tindakan itu jelas melanggar Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian 1975 kerana disebut dengan jelas bayaran tunai yang mesti dibayar kepada kerajaan negeri dan bukannya pihak lain.

Nazri juga merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Pahang kerana mendapat bayaran tunai RM100 juta daripada 5 peratus pengeluaran minyak di Medan Bertam, 160 km daripada pantai Pahang.

Katanya, R dan rakyat Pahang hanya menerima bayaran berbentuk royalti dan bukannya wang ihsan.

0 Komen pengunjong :