Isu tukar agama rasmi mainan politik Umno

Mat Sabu

PETALING JAYA – Tuduhan Umno bahawa memberi Pakatan Rakyat (PR) undi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bermakna status agama persekutuan Malaysia akan diambil alih oleh Kristian hanya mainan politik dan tuduhan tidak berasas parti teras Barisan Nasional itu, kata Timbalan Presiden Pas, Mohamed Sabu.
Beliau yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Umno kini sudah terdesak dan  terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk memecahkanbelahkan rakyat berbilang bangsa yang hidup harmoni ketika ini.
Menurutnya, parti tertua itu  juga sudah ketandusan idea dengan mencipta pelbagai andaian palsu untuk mengekalkan kuasanya.
“Dia (Umno)  tidak tahukah, hendak  jadikan Kristian agama rasmi, kena pinda Perlembagaan, kena ada dua pertiga majoriti, jadi ada 146, adakah Ahli Parlimen beragama Kristian seramai itu di Parlimen... jawapannya sudah tentu tidak, apatah lagi di  Malaysia hanya ada sembilan peratus rakyat beragama Kristian, jadi boleh Perlembagaan  ditukar?
"Kalau  sudah tahu kenapa canang perkara ini,” kata beliau ketika berucap di hadapan 6,000 yang hadir pada siri ceramah Jelajah anjuran PR Subang kelmarin.
Turut hadir menyampaikan ceramah Exco Selangor, Elizabeth Wong, Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa dan Yang Dipertua Pas  Subang, Ir Mesni Dahlan.

Katanya, "jika  orang Kristian berdoa hendak jadikan agama Kristian sebagai agama rasmi Malaysia biarlah mereka berdoa, kita tidak boleh halang kerana saya juga boleh berdoa untuk kahwin dengan tuan puteri."
“Di bawah Perlembagaan Fasal 153, hak orang Melayu, Islam agama rasmi, bahasa Melayu semua ini telah dipersetujui bersama dan tidak akan diubah jika PR  memerintah.

“Jika benar Umno membela nasib Melayu dan orang Islam mengapa semasa persempedanan pilihan raya semula beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu yang ramai Melayu tidak ditambah kerusi Parlimen dan  sekarang Umno masih tidak beri jawapan  tentang perkara  itu,” katanya.

Jelasnya , Umno gunakan isu ini  untuk menarik minat rakyat kembali menyokong mereka.

"Jadi  tidak hairanlah mereka boleh gunakan pelbagai cara.

“Beri peluang kepada PR untuk menawan Putrajaya dan buktikan kami boleh memerintah lebih baik dari BN, kuasa di tangan anda jika prestasi PR tidak memuaskan hati rakyat boleh  tukar balik masa pilihan raya,” katanya.

1 comment :

  1. politik2 xabis2 merosakan fikiran anak muda...

    ReplyDelete