TV3 sedang merudum ‘rating’nya. TV3 yang termasyur sebagai lidah
UMNO dan BN kini sudah mula tidak mendapat sambutan ramai. Sebelum 2010,
TV3 telah mendapat ‘rating’ yang tertinggi sehingga mendapat 3.5 juta
penonton sehari dan kini jumlah tontonan dari rakyat telah jatuh
sehingga 1.2 juta sehari. Kejatuhan bilangan penonton lebih dari 60
peratus ini tentu bersebab dan sebabnya boleh diagak oleh kita semua.
Kejatuhan ini akan akhirnya membawa padah kepada pendapatan syarikat dan
menjejaskan prestasi kewangan syarikat televisyen itu.
Selalunya kejatuhan penonton sesebuah syarikat penyiaran seperti TV3
itu adalah kerana kejatuhan keyakinan penonton terhadap kredibiliti
saluran itu. Dalam sejarah banyak syarikat penyiaran dan saluran TVnya
telah jatuh kerana tidak mendapat sokongan ramai. Keadaan ini tidak
mengecualikan TV3 yang kini sudah menampakkan keadaan seperti itu akan
berlaku ke atas syarikat televisyen itu.
Kejatuhan penonton yang dialaminya sekarang sudah mula menampakkan
apa yang dialami oleh banyak syarikat TV yang terpaksa ditutup di
negara-negara yang lain itu akan berlaku ke atas TV3 jika saluran
televisyen itu tidak menjaga kredibilitinya di mata penonton yang sedia
ada sekarang.
Ramai di antara pengiklan-pengiklan barangan dan perkhidmatan telah
mula memikirkan untuk mengiklankan barangan dan perkhidmatan mereka di
saluran-saluran yang lain kerana TV3 tidak menjadi saluran sukaramai
rakyat lagi. Kejatuhan jumlah penonton untuk saluran ini masih menurun
dan dijangkakan yang ia akan melewati bawah dari 1 juta penonton setiap
hari.
Keadaan ini berlaku bukan kerana apa….tetapi kerana TV3 sudah menjadi
alat pembohongan BN dan UMNO dan rakyat yang berfikiran ‘professional’
tidak menganggap saluran TV3 ini sebagai saluran untuk rakyat. Sikap
‘tidak professional’ TV3 ini menjadi persoalan ramai kerana orang ramai
tidak gemar dengan sikap condong yang keterlaluan terhadap sesuatu pihak
dalam politik ini adalah tindakan yang dianggap tidak jujur.
TV3 tidak yakin terhadap professionisma kewartawanan dan berita. Ia
sudah menjadi seperti pentarama jabatan penerangan dan propaganda
kerajaan di zaman peperangan melawan komunis dahulu. Rakyat sudah jemu
dengan tingkah laku TV3 ini kerana menjadi penghasut bagi membenci
setengah pihak dalam masyarakat secara keterlaluan dan ia amat
menjijikkan ramai rakyat yang mahukan berita-berita yang seimbang dan
professional dalam penyibaran maklumat kepada rakyat.
Saya sudah tidak membuka saluran ini sejak tujuh atau lapan tahun
dahulu. Saya sendiri sudah tidak melanggan dan membaca Utusan Malaysia
sejak sepuluh tahun dahulu kerana sebab yang sama. Hanya beberapa orang
yang rapat dengan saya memberikan apa-apa keratan tulisan Utusan itu
jika ia bersangkut dengan isu-isu panas yang dicetak oleh akhbar lidah
rasmi UMNO itu.
Sebenarnya rakyat memahami yang mana-mana saluran TV dan akhbar itu
mempunyai ‘inclination’ masing-masing terhadap sesuatu pihak. Tetapi
apa yang dilakukan oleh TV3 dan Utusan itu adalah keterlaluan
sehinggakan membelakangkan professionalisma kewartawanan. Tidak
bergunalah belajar bidang kewartawanan sehingga ke peringkat yang tinggi
tetapi mentaliti dan sikap tidak professional itu ditunjukkan dengan
terlalu jelas kepada rakyat yang sudah pandai berfikir ini.
Kerana tindakan TV3 ini maka mereka yang tidak menyebelahi mana-mana
pihak terpanggil untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dianiayai
oleh saluran TV itu. Sesungguhnya apa yang disiarkan oleh TV3 ini
merupakan satu yang ‘counter productive’ terhadap kerajaan itu sendiri
dan pemantau-pemantau berkaitan dengan berita dari JPM itu tidak dapat
merasakan rasa menyampah dan bosan penonton yang ramai-ramai balik ke
rumah untuk bersantai dengan keluarga dipaparkan berita-berita yang
berbentuk hasutan oleh media massa seperti saluran TV ini.
Bagi pembangkang yang menjadi korban fitnah ini, mereka sepatutnya
berterima kasih kepada TV3 dan Utusan kerana kedua-dua saluran berita
ini memberikan impak buruk terhadap BN dan tentulah PR yang mendapat
keuntungan dari tindakan mereka itu. Sebahagian besar dari tanggungjawab
pihak pembangkang untuk berkempen itu sudah pun di sempurnakan oleh
Utusan dan TV3 ini. Seorang yang benci kepada saluran ini menambah
seorang yang menyokong kepada pihak pembangkang. Matematiknya senang.
Sikap memecah belahkan rakyat oleh TV3 ini bertanggungjawab terhadap
pembinaan kebencian rakyat kepada pihak yang berkuasa dan tidak adil
jika dipersalahkan rakyat memberikan sokongan kepada pihak pembangkang
kerana rakyat sentiasa berharap untuk hidup tenang di rumah setelah
seharian bekerja kuat untuk keluarga masing-masing.
Apabila sampai di rumah rakyat mahu relaks dengan isteri dan
anak-anak dan mereka tidak mahu berhadapan dengan hasutan pihak saluran
TV3 sentiasa memaparkan keburukan pihak lain. Rakyat sudah merasakan
yang ‘intensity’ pembohongan dan fitnah yang dilakukan oleh TV3 ini
membuatkan ramai yang secara automatik membenci saluran itu dan
seterusnya kepada pihak yang disokong oleh saluran itu.
Saya telah berjumpa dan bercakap dengan beberapa ketua syarikat yang
saya kenali dan mereka memberitahu saya yang mereka sedang menimbang
untuk memberhentikan pengiklanan barangan mereka melalui saluran ini
jika saluran penyiaran ini meneruskan sikap buruk mereka itu. Jika
hilang sokongan dari pihak industri ini TV3 akan hilang pendapatan
syarikat yang berkurangan dan segala ‘glamour’ yang di alami oleh
saluran TV3 yang terkenal itu.
Jika itu berlaku ia merupakan pengalaman yang sedang di alami oleh
Utusan Malaysia yang tidak lagi mendapat sokongan dari pengiklanan yang
besar-besar dan itu pun sebabnya Kumpulan Utusan Melayu itu telah
kerugian sejak beberapa tahun yang lalu. Jangan terkejut jika TV3 akan
menghadapi tindakan rakyat untuk memboikot saluran ini secara
menyeluruh. Di zaman dunia tidak bersempadan ini rakyat boleh memilih
saluran TV lain yang tidak membina kebencian di antara rakyat di negara
ini.
Kita cuba untuk tidak menonton TV3 buat dua tiga hari ini... Saya
yakin anda akan biasa dengan pemboikotan itu dan jiwa akan lebih
tenteram dan aman tanpanya. Menjaga ketenteraman hati dan jiwa kita itu
adalah satu ibadah kerana kita wajib menjauhi musuh-musuh secara baik,
tanpa melakukan perkara-perkara yang ganas yang juga ditegah oleh agama
dan juga adat kita.
- http://aspanaliasnet.blogspot.com
.
Lelaki lihat lembaga besar semasa solat berjemaah
11 hours ago
0 Komen pengunjong :