Pengarah
komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menangkis dakwaan bekas menteri
kabinet Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim
menggagalkan "agenda Melayu" dengan memberi lesen perbankan kepada
golongan bukan Melayu.
Nik Nazmi berkata, dakwaan itu tidak
berasas kerana pemimpin Melayu, termasuk bekas menteri kewangan Tun Daim
Zainuddin juga mempunyai kepentingan besar dalam bank yang didakwa
dimiliki kumpulan bukan Melayu – Alliance Finance Group Bhd (AFG).
"Mungkin
agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan
saham kroni Umno-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk
menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium
Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi
kadar pasaran.
"Namun yang menghalang usaha tersebut ialah
Anwar," katanya Nik Nazmi yang merujuk kepada penyelamatan Petronas ke
atas Konsortium Perkapalan Berhad yang menanggung kerugian RM2 bilion
semasa krisis kewangan Asia 1997.
Konsortium Perkapalan Berhad
pada masa itu dimiliki Datuk Mirzan Mahathir yang merupakan anak kepada
bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
ADUN Seri Setia
itu berkata, hubungan Daim dan AFG bermula sejak 1982 apabila bekas
menteri itu membeli Malaysian French Bank, yang dikemudiannya dinamakan
sebagai Multi-Purpose Bank.
Menurutnya lagi, Daim dikatakan
memiliki 14.8 peratus kepentingan dalam Langkah Bahagia Sdn Bhd, yang
turut memiliki kepentingan dalam AFG bersama syarikat pelaburan
Singapura Temasek Holdings Ltd.
Multi-Purpose kemudiannya
digabungkan dengan enam lagi institusi kewangan lain, termasuk
International Bank Malaysia Bhd yang dimiliki Langkah Bahagia untuk
membentuk AFG, katanya.
"Nyata sekali kenyataan Sanusi adalah
fitnah semata-mata yang tidak berasas. Ketaksuban beliau di dalam
menyerang Anwar dan mempertahankan Mahathir dan Daim membuatkan beliau
tidak nampak penyelewengan ekonomi yang telah menjadikan rakyat Malaysia
umumnya dan Melayu umumnya sebagai mangsa," kata Nik Nazmi.
Nik Nazmi bagaimanapun tidak membangkitkan mengenai satu lagi kumpulan perbankan yang turut disebut Sanusi – Hong Leong Group.
Bekas menteri itu semalam dipetik laman
The Malaysian Insider sebagai berkata, Anwar menggagalkan agenda Melayu Mahathir dengan memberi lesen kepada Hong Leong dan AFG.
Menurut
laporan itu, Sanusi mendakwa Mahathir dan Daim mengangkat dasar
anti-Yahudi Jerman dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada
masyarakat bukan Melayu bagi mengawal ekonomi.
Mahathir bagaimanapun
menjelaskan, ia "mungkin dianggap anti-Yahudi tetapi ia bertujuan membangunkan Malaysia."
0 Komen pengunjong :