Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Hasan Ali mengesyaki terdapat semacam
wujudnya persefahaman di antara MCA dan DAP, khususnya untuk menghadapi
pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Hasan mendakwa, MCA sebuah
parti yang didokong masyarakat Cina dikatakan hanya mampu meraih undi
nominal di kalangan masyarakat tersebut dan mungkin merasakan lebih
logikal untuk membawa keseluruhan sokongan masyarakat Cina kepada DAP.
Beliau
mengesyaki ianya dilakukan bagi menentukan DAP menjadi wakil mutlak
masyarakat Cina dalam memperjuangkan tuntutan-tuntutan yang sekian lama
dibuat oleh masyarakat Cina
"Hati kecil saya juga membisikkan
bahawa masyarakat Cina seolah-olah mempunyai satu “grand design”
merentasi fahaman dan aliran politik.
"Fahaman dan aliran
politik yang kelihatan berbeza dan bertentangan secara luaran tidak
lebih daripada wayang lakonan sahaja," kata Hasan yang juga presiden NGO
Jalur Tiga (JATI) dalam satu kenyataan malam ini.
"Mereka
mempunyai agenda besar. Sebahagian daripada agenda besar DAP sekali lagi
ditimbulkan baru-baru ini. Inti agenda besar DAP itu bukan merupakan
satu rahsia lagi," katanya yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor.
Dalam dua tiga hari ini, tegas Hasan, timbul semula isu Negara Islam dan pelaksanaan hudud.
Isu ini, tambah Hasan, seperti biasa menyemarakkan semula suasana politik bertepatan dengan bertambah hampirnya PRU13.
Dalam
episod terbaru ini, Hasan mendakwa, Presiden MCA Dr Chua Soi Lek dengan
secara tiba-tiba menjadi orang pertama yang menekan butang jentera
menentang pelaksanaan Negara Islam dan hudud di negara ini.
Menurutnya,
penentangannya terhadap Negara Islam dan hudud menerima tindakbalas
yang sengit daripada pimpinan Pakatan Rakyat, DAP, PKR dan PAS.
"Secara
jujurnya saya tidak melihat ada perkara yang baru dari segi hujah-hujah
yang dikemukakan sama ada dari pihak MCA, DAP dan juga dua lagi parti
komponen Pakatan Rakyat itu.
"Hanya
hati kecil saya sahaja tampil membisikkan bahawa terdapat beberapa
andaian yang boleh digunakan untuk mengatakan bahawa buat sekian kalinya
MCA dan DAP membuat pementasan lakonan politik," katanya sambil
menambah bahawa isu yang selama ini dimainkan oleh MCA dan DAP
menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu-Islam.
"Isu ini juga
menarik sokongan masyarakat Cina kepada MCA dan DAP disebabkan apa yang
dilontarkan selari dengan kehendak, kemahuan dan tuntutan masyarakat
keturunan Cina," tegasnya.
Sehubungan itu, Hasan bertanya, kalau
masyarakat keturunan Cina mempunyai agenda besar, maka bagaimana pula
masyarakat Melayu-Islam yang menjadi warga peribumi negara ini.
"Setakat
yang saya ketahui serta pengalaman berada di barisan tertinggi pimpinan
parti PAS khasnya, hubungan di antara parti-parti politik Melayu Islam
hampir berada di tahap berkerat rotan berpatah arang," katanya.
Hasan
mendakwa, kenyataan yang selama ini keluar dari mulut pimpinan PAS dan
PKR, terutamanya yang menyentuh persoalan penyatuan masyarakat Melayu
Islam, menceritakan segala-galanya.
"Saya ingin membawa bisikan
hati kecil saya ini kepada pengetahuan barisan pimpinan masyarakat
Melayu-Islam. Wajarkah kita terus berpolitik dengan politik berdendam
kesumat?
"Wajarkah kita terus berpolitik dengan politik berkerat
rotan berpatah arang? Wajarkah kita terus berpolitik dengan politik
yang didorong oleh sifat sombong, angkuh dan bongkak?
"Akhirnya,
wajarkah kita terus berpolitik dengan politik yang menggerhanakan nasib
umat dan generasi pengganti yang akan datang?" tambahnya.
0 Komen pengunjong :