Jika dahulu, mee udang banjir begitu popular di Kuala Sepetang,
Taiping, Perak. Teringat ketika pilihan raya kecil Bukit Gantang,
rata-rata yang menyertai kempen di sana tidak akan melepaskan peluang
untuk singgah menjamu mee udang banjir.
Pada waktu itu juga, peniaga-peniaga di sekitar Bukit Gantang sudah
tidak cukup kaki dan tangan melayani kehendak pelanggan yang datang dari
seluruh pelusuk negara.
Namun kini, warung-warung mee udang banjir sudah mula terbina
bagaikan cendawan tumbuh di Kuala Selangor, Tanjong Karang menghala
Sungai Besar, berbagai warung mee udang kelihatan yang menanti kunjungan
pelanggan.
Tatkala melihat warung-warung tersebut, terus terimbas di fikiran,
adakah warung mee udang yang mula rancak di sekitar Tanjung Karang ini
mempunyai kaitan dengan wakil rakyatnya?
Biarpun kedengaran agak lucu, namun ianya tidak ditolak mentah-mentah
bagi sesiapa yang mengetahui kaitan kolam udang dengan wakil rakyatnya,
Datuk Seri Noh Omar.
Sekadar untuk bercerita santai berkenaan politik semasa di Tanjung
Karang, sudah tentu kaitan kolam udang dengan warung mee udang banjir
yang tumbuh melata tidak boleh dipandang sepi.
Berkesempatan menemui Naib Yang Dipertua PAS Tanjung Karang, Misran
Serman, kaitan warung mee udang dengan kolam udang milik Noh Omar itu,
katanya sudah pasti menjadi bualan.
"Memang lucu, tapi kalau difikir-fikirkan, mungkin juga ada
kaitannya. Mudah dapat udang agaknya," kata beliau, turut ketawa kecil
ketika menyuap mee udang yang dipesan.
Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dikatakan
memiliki tanah seluas 30 ekar yang disewakan kepada syarikat Pristine
Agrofood Sdn. Bhd. pada tahun 1995.
Tanah itu, yang pada mulanya dikatakan berstatus tanah komersial, dan
kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian pada 2011 bagi tujuan projek
penternakan udang.
Dalam siri pendedahan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, berkenaan kolam
udang tersebut, secara jelasnya membuktikan wujud 'conflict of interest'
memandangkan Noh sendiri merupakan menteri yang bertanggungjawab
terhadap urusan pertanian.
Lebih-lebih lagi, apabila pejabat tanah sendiri memaklumkan bahawa
kelulusan tanah itu dikeluarkan pada 13 Jun 1995, iaitu dua bulan
selepas beliau menjadi ahli parlimen kawasan terbabit.
Menurut Misran, isu kolam udang dan Noh ini merupakan satu isu yang
benar-benar menyinggung hati penduduk di sekitar kawasan tersebut.
"Kawasan itu tidak boleh diterokai kerana ia tanah simpanan hutan
kayu bakau yang dijadikan sebagai penampan dari berlakunya hakisan
pantai.
“Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan
ditangkap oleh Jabatan Hutan. Dalam jarak 100 meter daripada pantai
tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam
sekitar,” tegas beliau.
Sayangnya, kata beliau di saat rakyat diminta menghentikan aktiviti
mereka, ada pihak lain yang secara senyap-senyap memohon tanah terbabit
dan diluluskan.
Noh dikatakan membeli tanah itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu.
Di sebalik siri-siri pendedahan yang dilakukan Ng dan Misran,
kedua-duanya menerima notis saman daripada Noh, meminta agar menarik
semula kenyataan yang mengaitkan menteri itu dengan kolam udang
tersebut.
Namun, bagi Misran, Noh tidak berani berhadapan dengan isu tersebut
memandangkan satu persatu bukti berupa dokumen rasmi telah dibongkarkan.
"Jika dia (Noh) ingin membawa isu ini ke mahkamah, kita tidak
bimbang. Kita ada bukti yang cukup kukuh untuk mendedahkan lebih banyak
mengenai isu ini di mahkamah," sahut Misran menutup perbualan petang
itu di warung mee udang banjir.
.
Bro;
ReplyDeleteMee Udang yang ni tak sedap beb, kalau lu nak yang sedap punya Kedainya dari Assam Jawa ke Kuala Selangor sebelah kiri bangunan warna ungu, siap ada ABC lagi... namanya Mee Udang Warisan Sungai Dua.
Gua bukannya nak promote tapi gua dah berkali2 melantak kat situ... memang best... semangkuk RM13.00 dgn 5 ekoq udangnya besar2 wa cakap luuuu....