KUALA LUMPUR 8 Oktober: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad panik nasibnya akan serupa seperti Muammar Gaddafi dan Hosni
Mubarak jika kerajaan Umno BN digulingkan pada pilihan raya umum (PRU)
nanti.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, PRU kali ini
paling ditakuti Mahathir kerana bimbang kekayaan yang dikaut bersama
anak-anaknya dalam Umno BN terhapus jika rakyat memilih Pakatan.
“Pilihan raya nanti bukan saja menentukan hidup mati kerajaan Umno BN tetapi menentukan apakah nasib Dr Mahathir.
“Sebab itu beliau terdesak mempertahankan diri dan anak-anaknya bagi memastikan empayar politik dan ekonomi
keluarga bersama kekayaan mereka terjamin,” katanya kepada
Keadilan Daily.
Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, tuduhan Mahathir bahawa
mengundi Pakatan Rakyat umpama menyokong George Soros sebagai reaksi
panik kerana takut penyelewengan dan pemusatan harta kekayaan dipersoal
rakyat.
“Tuduhan (undi Pakatan bermakna undi Soros) adalah percubaan untuk
melepaskan diri dan bersiap sedia untuk ‘menyerang’ seperti dulu,”
katanya.
“Sekarang apa yang lebih utama, kita ingin mendesak satu (tribunal)
siasatan ditubuhkan untuk menyiasat semua anugerah projek kepada
anak-anaknya. Tidakkah dia sedar, tindakan itu boleh menyebabkan
Malaysia bankrap?” soal Izzah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata,
Mahathir hipokrit kerana berdiam apabila menerima dana dari Open Society
Institute (OSI) yang dimiliki Soros.
“Dr
Mahathir hipokrit. Kalau Soros bantu, dia akan diam. Bila Soros tak
respon (permohonan biaya dana), dia melenting. Dalam sekelip mata dia
menuduh Soros menjadi dalang (kerosakan ekonomi),” kata Yusmadi ketika
ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Jelas Yusmadi, Soros lebih objektif dalam gerakan keamanan
antarabangsa, berbanding Mahathir yang pura-pura menjadi jaguh menentang
jenayah perang, hakikatnya takut dihumban ke penjara atas jenayah yang
dilakukan terhadap rakyat.
“Dr Mahathir pentingkan diri sendiri. Dia hanya bercakap atas
kepentingan dan agendanya sahaja. Dia tidak memikirkan hal negara dan
rakyat.
“Ini hanya percubaan serangan seperti mana dahulu. Dia tidak sedar
bahawa NGO (diterajui) anaknya sendiri (Marina Mahathir) menerima dana
OSI,” kata Yusmadi merujuk pertemuan dua kapitalis itu di Kuala Lumpur
pada 2006.
Biro Antarabangsa KEADILAN itu berkata, jika Mahathir berprinsip,
pasti dia akan menyelar tindakan anaknya kerana pernah menerajui Majlis
AIDS Malaysia yang mendapat dana OSI.
“Saya sendiri hadir ke program penerangan tentang polisi menangani
isu dadah Malaysia di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2011. Mengapa
(Mahathir) tak persoal?” kata Yusmadi.
.
0 Komen pengunjong :