SHAH ALAM 08 OKT : Pakatan Rakyat (PR) hari ini menolak dakwaan bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa mengundi untuk
pembangkang adalah mengundi untuk spekulator mata wang George Soros.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata dakwaan itu sentiasa
disuntik untuk menakutkan rakyat yang sering dilontarkan sejak dahulu
apabila menjelang Pilihanraya Umum (PRU).
Katanya, Mahathir dan pemimpin Umno-BN lain sangat takut sekiranya BN
kalah dalam PRU 13 akan datang. Ini disebabkan kebanyakan dari
pemimpin-pemimpin ini mempunyai ‘kepentingan’ serta mempunyai hubungan
yang kuat dengan yahudi.
“Tengok sahaja Mahathir, beliau menggunakan duit rakyat untuk bertemu dengan bekas Presiden Amerika George W. Bush.
“Kemudian Kerajaan Pusat membayar puluhan juta kepada APCO Worldwide
kononnya mahu memulihkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa,
sedangkan ahli APCO itu terdiri daripada bekas menteri Israel dan
pegawai besar tentera Israel,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, Mahfuz berkata mengundi Umno-BN sama seperti mengundi ‘syaitan’.
“Itu beliau yang cakap begitu, BN adalah syaitan yang dikenali. Jadi sama undi BN sama seperti undi syaitan.
“Sebab syaitan lagi teruk dari yahudi, kerana syaitan juga yang merosakkan yahudi.
“Mana teruk, orang yang terima duit dari orang asing yang dikatakan
yahudi tetapi tidak ikut cara yahudi atau orang yang memberi duit kepada
yahudi untuk menghentam Palestin?,” soalnya.
Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata PR tidak
mempunyai apa-apa hubungan dengan Soros malah tidak mengenali Soros.
Tambahnya, Pakatan tidak mempunyai agenda Yahudi dan turut menyokong
perjuangan masyarakat Palestin ke atas penindasan rejim Israel di negara
tersebut,” katanya.
Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendakwa
Mahathir bakal menjejaskan imejnya sebagai bekas Perdana Menteri yang
berwibawa apabila mengaitkan PR dengan Soros.
Selain menyifatkan Mahathir sebagai “nyanyuk”, Tony berkata ahli
veteran Umno itu tidak patut melibatkan diri dalam konflik seperti ini
memandangkan beliau bukan memegang jawatan sebagai pemimpin negara.
“Kenyataan itu merupakan kata-kata orang yang telah nyanyuk ini akan
mengurangkan persepsi baik orang ramai terhadap beliau. Beliau telah
hilang relevan dalam mengeluarkan kenyataan dan tindakan ini akan
mencemar nama baiknya sendiri,” katanya.
Beliau turut menempelak Mahathir yang pernah berjumpa dengan Soros
untuk mengajak Soros menyertai projek Forum Keamanan Global untuk
menangani jenayah perang sebelum ini.
.
0 Komen pengunjong :