KUALA
LUMPUR, 27 Okt —Dakwaan ahli politik Barisan Nasional (BN) ke atas
pembinaan kondominium di Batu Caves sama sekali tidak berasas, kata ahli
mesyuarat kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu pada sidang media hari
ini.
Ahli dewan undangan negeri (adun) Pandamaran tersebut juga berkata
penjelasan oleh pemimpin Gerakan, senator A. Kohilan Pillay semalam
sebagai satu pembohongan kerana menafikan "Kebenaran Merancang" adalah
kelulusan kepada pemaju untuk laksanakan pembangunan.
"Penjelasan oleh Kohilan mengatakan "Kebenaran Merancang" adalah bukan kelulusan melaksanakan sama sekali mengarut.
"Mana ada perkara kelulusan melaksanakan seperti yang dikatakan oleh Kohilan.
'Kebenaran Merancang' adalah kelulusan kepada pemaju untuk membina projek tersebut," kata Ronnie.
Ronnie juga membidas bekas ahli majlis Perbandaran Majlis Selayang
(MPS) kerana berlakon tidak tahu tentang projek kondo, Dolomite Park
Avenue tersebut.
"Mana boleh dia tidak tahu? Mana boleh dia kata pemaju hanya
mengatakan akan membina lot kedai sahaja disini. Hari ini saya bawa
pelan pembinaan yang meliputi lot kedai dan kondo yang diluluskan oleh
MPS.
"Bagaimana dia kata dia tidak tahu tentang kondo ini? Jelas sekali
dalam pelan ini ada menyatakan tentang pembinaan kondo," kata Ronnie
lagi.
Dalam sidang media hari ini, Ronnie mendedahkan dokumen lengkap
"Kebenaran Merancang" yang diluluskan pada 30 November 2007 selepas
persidangan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC).
Selain
itu, turut disertakan bersama kelulusan tersebut ialah pelan pembinaan
termasuk lokasi lot kedai dan kondo oleh pemaju yang dikemukakan kepada
pihak MPS.
"Selepas OSC bersidang pada 27 September 2007, "Kebenaran Merancang" ini telah diberikan kepada pemaju.
"Dalam
surat kebenaran itu ada menyebut 'pelan bangunan hendaklah dikemukakan
mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bangunan MPS', ini
membuktikan MPS ketika itu sudah mengetahui tentang kondo ini," terang
Ronnie lagi.
Apabila menjawab soalan mengenai langkah yang akan
diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani isu ini, Ronnie berkata MPS
akan membawa isu ini ke Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC).
"Kajian akan dilakukan oleh SPC, ia mungkin akan mengambil masa selama sebulan.
"Jika
kajian ini mendapati kesan buruk akan berlaku apabila pembinaan ini
diteruskan, maka kelulusan "Kebenaran Merancang" ini akan terbatal.
Kerajaan negeri juga tidak akan dibebani dengan perlu membayar
pampasan," kata Adun Pandamaran itu lagi.
Pembinaan kondominium
yang dirancang sejak 2007 itu kini berhadapan tekanan terutamanya
daripada pihak jawatankuasa kuil yang kini memperoleh sokongan daripada
pemimpin MIC yang turut sama membantah pembinaan itu.
Semalam,
ratusan penganut agama Hindu dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO)
menyertai himpunan di perkarangan Batu Caves bagi menyatakan bantahan
ke atas pembinaan kondo tersebut yang dikatakan akan memberi ancaman
kepada alam semulajadi bukit itu.
Bekas menteri kerja raya, Datuk
Seri Samy Vellu yang hadir atas jemputan pihak jawatankuasa kuil turut
sama menyertai dan memberikan ucapan dihadapan kira-kira 300 orang
ramai yang hadir pagi semalam.
Dalam himpunan sama, Kohilan
bertindak menunding jari dengan menuduh pihak kerajaan Pakatan Rakyat
sekarang yang bertanggungjawab meluluskan projek kondo tersebut.
Kohilan
mengakui semasa dia menjadi ahli majlis menyedari tentang projek
tersebut tetapi menafikan memberikan kelulusan kepada pemaju untuk
membangunkan kawasan itu.
“Memang saya mengetahui tentang projek
tersebut sejak 2007 tetapi ketika itu MPS hanya meluluskan 'Kebenaran
merancang bagi cadangan pembangunan perdagangan di atas Lot 622'.
“Tetapi ia bukan kelulusan untuk ‘Rancangan Pembangunan’ dengan tujuan membina kondo 29 tingkat,” kata Kohilan.
Projek
Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu
Caves ini dianggap sebagai sensitif memandangkan kawasan tersebut
merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat dan meliputi sejumlah
170,0000 kaum India yang merupakan kumpulan utama pengundi di kawasan
bandar Selangor.
0 Komen pengunjong :