Kalau rumah MB dimasuki pencuri... ...

KUALA LUMPUR: Kalau kediaman keluarga Menteri Besar Negeri Sembilan pun dimasuki pencuri, kebimbangan orang ramai terhadap jenayah tidak mungkin turun, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) mendakwa, pihaknya mahu menurunkan kadar kebimbangan orang ramai terhadap jenayah yang masih tinggi ketika ini.

"Adakah beliau fikir rakyat dengan mudah akan mempercayai dakwaannya itu sedangkan selepas beliau mendakwa sedemikian dilaporkan pula berita bertajuk pencuri pecah masuk kediaman keluarga Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Mohamad Hassan)," katanya.

Mahfuz berhadap pihak polis segera sedar bahawa ketakutan rakyat terhadap jenayah tidak boleh ditangani hanya dengan cakap-cakap sahaja atau dengan memanipulasikan indeks kadar jenayah.

Jenayah hari ini bukan setakat ke atas rumah kediaman atau premis perniagaan sahaja, malah masjid pun tidak selamat dari jenayah serius, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

"Saya diberitahu bahawa di Selangor, pihak Rela terpaksa berkawal di kawasan masjid tertentu ketika solat Jumaat akibat jenayah curi motosikal yang semakin meningkat," kata Mahfuz.

Beliau juga mempersoalkan, adakah polis sedar bahawa sudah lama begitu banyak masjid yang tidak lagi menggunakan kepala paip dari besi akibat sentiasa dicuri.

"Curi kabel telefon memang biasa kita dengar. Tidak cukup dengan itu, kepala paip besi tahan karat di masjid pun dikebas pencuri," kata beliau.

Akibatnya, masjid-masjid kini terpaksa menggunakan kepala paip dari plastik, kata Mahfuz yang menyifatkan apa yang berlaku itu sangat memalukan.

Beliau berharap pihak polis juga merasa sangat malu dengan apa yang berlaku itu.

"Paling buruk dan terkutuk ialah apabila penjenayah paling jahat membaling kasut ke dalam masjid," katanya merujuk kepada perbutan jahat membaling kasut ke dalam masjid ketika kejadian serangan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) ke atas Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong di Alor Setar baru-baru ini.

Semua itu, kata beliau, belum lagi diambilkira serangan ke atas ceramah-ceramah Pakatan Rakyat (PR), serangan ke atas pejabat, bas dan harta benda lain parti-parti di dalam PR serta tindakan membakar rumah pemimpin PAS.

Mahfuz sebelum ini pernah mengingatkan polis supaya tahu tugas utama mereka iaitu menyelesaikan jenayah dan bukan membantu Umno Barisan Nasional (BN).

Malah beliau pernah melontarkan cadangan sinis supaya dipanggil pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengawal keamanan negara jika polis tidak mahu menjaga keselamatan semua rakyat dan hanya mengutamakan orang-orang Umno BN sahaja.
.

0 Komen pengunjong :