Hina Islam: Mapim gesa Raja-Raja Melayu bertindak


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon agar Raja-Raja Melayu yang menjadi pelindung agama Islam di negara ini bertindak untuk menegaskan bahawa orang bukan Islam tidak berhak untuk memberi komentar yang menyentuh soal hukum Islam di negara ini.
Justeru, Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan parti politik seperti MCA sepatutnya diingatkan bahawa mereka jangan menyentuh sensitiviti umat Islam mengenai hukum Islam yang mereka berhak untuk tuntut dilaksanakan.

Katanya, ucapan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dalam persidangan MCA semalam yang sekali lagi memuncakkan serangannya kepada hukum hudud sangat melampau dan tidak harus dikompromi lagi.

“Hanya beberapa hari sahaja sebelum ini hanya dengan bersandar kepada sebuah tulisan dalam blog yang tidak dikenali, beliau menuduh bahawa jika hudud dilaksanakan lebih sejuta orang akan kehilangan kerja di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, pemimpin wanita MCA juga menyatakan pendirian yang sama bahawa mereka mencurigai bahawa Umno dikhuatiri akan menyatakan sokongan kepada hudud jika Pakatan berjaya mengambil alih kerajaan Pusat.


“Kali ini Chua Soi Lek menuding bahawa perlaksanaan hudud di Negara-Negara Islam dikaitkan dengan amalan korupsi dan negara-negara yang berada dalam keadaan tidak selamat.


“Konotasi beliau sangat jelas. Hudud tidak mengatasi masalah rasuah dan jenayah. Inilah pendirian yang mahu beliau tegaskan kepada orang Islam khususnya disamping kepada pengundi bukan Islam,” ujarnya.


Ini bermakna kata beliau, Chua mahu mengajar orang Islam bahawa hukum hudud Islam tidak boleh dilaksanakan kerana terbukti negara-negara yang beliau dakwa melaksanakan hukum hudud adalah antara yang ‘paling korup’.

“Apa hak beliau untuk menuding bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan hanya dengan alasan negara lain yang dikatakan melaksanakannya dijangkiti dengan masalah korupsi.

“Ini adalah kesimpulan yang sangat simplistik dan berniat jahat untuk memburukkan hukum Islam di kaca mata bukan Islam,” katanya lagi.


Dengan pendirian itu, tegasnya seluruh umat Islam harus bangkit menyatakan bantahan dan menunjukkan bahawa penghinaan kepada hukum Islam sangat jelas merupakan pendirian rasmi MCA.


Menurutnya, jelas penghinaan itu mencabar bukan sahaja wibawa institusi Islam di negara ini malah juga mencabar kedudukan dan status Islam di negara ini.


“Mempersoalkan dan memberi komen secara menghina dan memburuk-burukkan hukum Islam sepatutnya dilihat sebagai satu hasutan yang akan menimbulkan ketegangan agama.


“Kami melihat kenyataan seperti ini adalah berpunca daripada kegagalan kesepakatan dalam BN yang tidak pernah dijelaskan mengenai Islam dan hukum-hukumnya dengan baik,” ujarnya lagi.

Malah, katanya kenyataan dari kepimpinan orang Melayu Islam sendiri dalam BN yang menggambarkan bahawa hukum Islam tidak boleh dan tidak akan dilaksanakan.

1 comment :

  1. Mana suara Ketua2 Agama Islam? Mana suara Menteri Agama? Mana suara mufti2? Kenapa Majlis Fatwa bisu seribu bahasa? Pekeda? Perkasa? Jati? Apabila MCA memijak2 hukum Allah kenapa mereka2 ni sunyi sepi seperti pekak badak ?

    ReplyDelete