Dr Asri : Umno Perlu Undur Sebab Gagal Sekat Politik Wang


SHAH ALAM : Umno harus berundur dari persada politik negara ekoran pengakuan pemimipinnya bahawa politik wang sudah menjadi budaya di dalam Umno yang perlu diterima oleh masyarakat termasuk agamawan yang ingin menyertai parti itu.
Saranan itu dibuat oleh bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin kerana amalan itu menyebabkan negara diterajui pemimpin yang kaya tetapi tidak semestinya mampu mentadbir negara dengan bijak.
Selain itu, menurutnya budaya politik wang itu akhirnya akan melibatkan unsur-unsur rasuah yang akhirnya tidak dapat dikawal.
“Terima kasih kepada Ustaz Syahrin kerana menjawab dengan jujur, tetapi saya rasa kalau Umno begitu parah bererti Umno kena berundur.
“Kita tidak akan dapat keluar dari masalah ini jika Umno terus dengan cara itu sebab tak kira parti mana akan terpaksa ikut amalan itu.
“Kerana orang Melayu dah terbiasa memilih pemimpin bukan kerana ketajaman minda dia, ada idea dan sebagainya tetapi soal dia banyak duit.
“Sebab itulah bila seseorang itu jadi pemimpin Umno dia mesti ada duit, mesti ada projek dan perkara ini semakin hari semakin disuburkan,” ujar Dr Mohd Asri dalam program Wacana Sinar bertajuk ‘Peranan Ulama Menasihati Pemimpin’ di sini hari ini.
Seorang ahli panelis program itu Syahrin Md Jamaluddin mengakui bahawa wang memainkan peranan amat penting dalam mempengaruhi kedudukan seseorang pemimpin dalam Umno.
Syahrin yang merupakan Exco Pemuda Umno berkata pemimpin Umno samada peringkat bahagian ataupun pusat yang tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh tidak akan bertahan melebihi tiga bulan dalam Umno.
Syahrin memberi contoh di mana ahli Umno akan meminta duit untuk menjalankan program seperti permainan bola sepak dan sambutan keagamaan daripada pemimpin bahagian mereka.
Sementara itu, seorang lagi panelis Datuk Siddiq Fadzil pula berkata mekanisma pemilihan pemimpin berdasarkan wang itu merupakan mekanisma ‘enjit-enjit semut’.
“Ini yang dipanggil mekanisma ‘enjit-enjit semut’, siapa sakit naik atas,’ jadi mekanismanya begitu, pemimpin yang naik atas itu juga pemimpin sakit.

0 Komen pengunjong :